All Articles

Media Sosial: Lapangan Kemenangan Palestin, HAMAS

8 min read
Written by
Sabrina Suhaimi
Published on
December 21, 2023

Ingatkah kalian dengan ugutan seorang jutawan dunia, Elon Musk terhadap pengguna X (dulu: Twitter) yang memuat naik frasa “from the river to the sea, Palestine will be free”?

Kalau nak tahu, sesiapa yang memuat naik frasa tersebut, akaunnya akan disekat kerana kononnya ia mengandungi mesej negatif iaitu mengajak kepada pembunuhan beramai-ramai bangsa Yahudi dan bersifat anti-semitik.

Sikap pilih bulu di dalam kalangan pembangun media sosial bukan hanya tertumpu di X, malah Facebook dan Instagram juga sejak dulu lagi pantang dengan kandungan berkaitan HAMAS atau keganasan Israel di Palestin. Sudah semestinya Meta perlu pertahankan Israel kerana mereka telah bekerjasama sejak 2016 lagi.

Bagaimana pula dengan TikTok? Kajian kes terhadap aplikasi ini membawa kesimpulan yang agak tidak dijangkakan kerana ketika kumpulan pencipta kandungan, termasuk Cinta Gaza Malaysia (CGM) berdepan dengan kemeruduman jumlah tontonan video yang berkaitan dengan Palestin atau ‘shadow ban’, sesuatu yang berlaku sebaliknya. 

Rekod tontonan video yang dimuatnaik bersama tanda pagar - #standwithpalestine meraih dua bilion tontonan global dengan perkongsian sebanyak 621,000. Manakala rekod di Malaysia sahaja sebanyak 71,000 perkongsian dan 236 juta tontonan untuk tempoh 120 hari. Bagaimanapun, trend solidariti di TikTok semakin menunjukkan penurunan sejak 18 November sehingga kini. 

Berbeza pula dengan 371,000 buah artikel yang diterbitkan di laman web, hanya 8% daripadanya menyokong kekejaman Israel dan 64% yang lainnya bersifat neutral dan 24% menentang keganasan Israel di Palestin. 

Walaupun secara psikologinya, HAMAS sudah menang di laman maya seperti media sosial sehingga menyumbang kepada kesedaran isu Palestin dan dibawa ke pentas perhimpunan solidariti umum, adakah wajar untuk kita selesa sekarang?

Berketetapan 21 Disember, jumlah kesyahidan di wilayah Palestin (Gaza & Tebing Barat) telah mencecah lebih 20,000 orang dengan rekod tertinggi adalah dari kalangan kanak-kanak. Adakah wajar untuk kita menarik nafas lega kerana sudah ramai mula cakna tentang isu Palestin walaupun trend sudah mula menurun?

Tidak. 

Di sebalik kemenangan awal ini, ada sesuatu yang perlu kita kalahkan iaitu: pertama - Israel yang sering menyebarkan helah di atas setiap tuduhan membunuh dan, kedua - Amerika Syarikat (AS) yang tidak pernah berhenti menyokong Israel kerana beranggapan wilayah haram itu ada hak untuk mempertahankan diri mereka susulan serangan pada 7 Oktober. 

Ingatlah kalian, insiden 7 Oktober tidak akan bermula jika rejim Zionis tidak menyentuh tanah Palestin pada 1948 sehingga tercetusnya an-Nakbah pada 15 Mei tahun yang sama. 

Teruskan membaca dan berkongsi ilmu berkaitan Palestin sehingga Baitul Maqdis dibebaskan. Semoga kita bertemu di Palestin yang merdeka!