All Articles

Media Massa: Talian Hayat Untuk Rakyat Palestin

8 min read
Written by
Sabrina Suhaimi
Published on
May 2, 2023

Palestin juga sama seperti Malaysia, pernah bergantung kepada bahan media seperti surat khabar dan risalah untuk menerapkan semangat patriotik dan menyebarkan propaganda jahat rejim Zionis. Bukan itu sahaja, televisyen dan radio juga memainkan peranan penting di Palestin, bukan sekadar hanya untuk hiburan tetapi juga menyampaikan berita semasa.

Tanpa sedar, media massa sebenarnya telah menjadi tunjang utama perkembangan komunikasi dalam kalangan masyarakat. Melalui media juga masyarakat berpeluang untuk berinteraksi dan bertukar pendapat sehingga melahirkan tindakan serta perubahan, tidak kiralah secara langsung atau tidak langsung.

Impak Media Massa di Palestin

  • Akhbar

Salah satu medium media massa yang terkenal dan pernah digeruni oleh Empayar Uthmaniyah, kuasa British dan rejim Zionis ialah akhbar Filastin

Mengapa?

Difahamkan akhbar Filastin yang merupakan cetusan dua saudara berkelahiran Palestin - ‘Isa Daud al-‘Isa dan Yusuf Hana al-‘Isa - berjaya mewujudkan satu titik perubahan kepada penduduk tempatan sehingga Empayar Uthmaniyah dan British terpaksa menyekat dan menutup operasi penerbitan akhbar itu. 

Sebelum wujudnya Filastin pada 1911, sudah ada beberapa akhbar yang menjadi wadah bacaan penduduk Palestin. Namun, kelantangan Filastin dalam menyuarakan identiti negara Palestin menyebabkan akhbar itu dianggap sangat agresif sehingga menarik perhatian kerajaan yang memerintah pada ketika itu – Empayar Uthmaniyah.

Susulan daripada itu, akhbar tersebut berdepan dengan sekatan daripada Empayar Uthmaniyah  sebanyak dua kali atas dua faktor iaitu:

  1. Faktor pertama:
    1. Pada Jun 1913 - ‘Isa Daud al-‘Isa dan rakan-rakannya telah menghantar mesej sokongan dan solidariti kepada Kongres Kebangsaan Arab (ANC) yang diadakan di Paris.some text
      1. Kongres itu berlangsung untuk mencapai beberapa perkara, antaranya membantah keputusan Young Turks untuk melancarkan turkisasi (turkization) di  negara-negara Arab yang dikuasai Empayar Uthmaniyah.
      2. ANC juga dilaksanakan atas tujuan untuk menyuarakan polisi Empayar Uthmaniyah yang perlu diperhalusi semula. Pada ketika itu, orang Arab menuntut lebih banyak hak ke atas mereka walaupun empayar tersebut di ambang kejatuhan. 
    2. Pada Oktober 1913 – Kerajaan Uthmaniyah akhirnya menyekat penerbitan Filastin dengan alasan artikel-artikel di dalam akhbar tersebut menjentik sikap prasangka terhadap sesama etnik. 
  2. Faktor kedua:
    1. Ketika Perang Dunia Pertama sedang berada di fasa kemuncak, ‘Isa menggunakan Filastin untuk menggesa kerajaan Uthmaniyah agar kekal neutral dalam konflik tersebut. 
    2. Ekoran daripada itu, Filastin berdepan dengan sekatan penerbitan oleh pihak kerajaan Uthmaniyah.
    3. Usaha ‘Isa tidak terhenti di Palestin. Beliau telah berhijrah ke Damsyik dan menyuarakan perihal yang sama di sana. Akibatnya, beliau dipenjarakan selama 300 hari di Damsyik. 

Kehadiran Filastin boleh dianggap paling digeruni kerajaan Uthmaniyah walaupun rekod sejarah membuktikan sebanyak 36 penerbitan akhbar telah berjaya menembusi pasaran Palestin sejak tertubuhnya kerajaan Uthmaniyah sehingga awal Perang Dunia Pertama. Manakan tidak, selain menentang polisi Uthmaniyah di Palestin, Filastin juga menolak Zionisme menerusi penulisan para jurnalis. Buktinya jelas apabila ‘Isa dan para jurnalis yang lain memberi amaran bahawa kehadiran Zionis merupakan ancaman untuk Palestin sehingga dikatakan analisis yang dibentangkan mereka sangat tepat:

“Filastin’s analysis was spot on, if judged from the perspective of 1948.”

Malah, telah direkodkan pada April 1914 bahawa usaha penentangan terhadap projek Zionis telah dibawa ke Mesir melalui beberapa penulisan artikel ‘Isa Daud al-‘Isa. Tetapi tiada satu artikel berkenaan isu itu berjaya diluluskan oleh pihak editor di sana. 

Pengarah Pusat Kajian Eropah bagi Pengajian Palestin, Ilan Pappé juga mendapati bahawa akhbar Filastin awal-awal lagi sudah melihat Zionis sebagai sebuah gerakan kolonial yang perlu ditentang tetapi pendedahan yang dimuatkan di dalam akhbar itu diabaikan oleh golongan berpengaruh. 

Kebimbangan dalam kalangan ahli politik di Palestin membuktikan bahawa penulisan di dada akhbar dan risalah memiliki kuasa besar yang boleh menganggu gugat pengaruh mereka. Maka, tidak hairan juga jika hal yang sama turut berlaku ke atas platform media sosial, terutamanya TikTok, Twitter dan Facebook. Ketiga-tiga media sosial itu merupakan platform media sosial gergasi dunia dengan rekod pengguna aktif pada Januari sudah mencecah 1.05 bilion, 556 juta dan 2.9 bilion! 

  • Media sosial

Kewujudan media sosial telah mengubah banyak aspek terutamanya corak sosial dalam sesebuah komuniti dan kesedaran masyarakat terhadap isu semasa. Malah, media sosial sebenarnya memiliki kebolehan dalam menyusun semula kuasa dengan mengubah hubungan antara pihak kerajaan dan rakyat melalui peluang kepada rakyat untuk terlibat di dalam isu politik; menyebarkan kesedaran demokrasi; menyuarakan diskriminasi; dan memantau tindak tanduk kerajaan. 

Bagaimanapun, adakah ini bermakna media sosial merupakan senjata yang berjaya dalam mewujudkan kesedaran terhadap isu yang berlaku di Palestin? Merujuk kepada dakwaan ahli Kempen Amerika Syarikat untuk Boikot Kebudayaan dan Akademik Israel (USACBI), Omar Zahzah usaha untuk mengetengahkan isu Palestin di Barat dilihat tiada kemajuan walaupun media sosial antara medium terpantas dalam menyampaikan berita:

“..the exclusion of Palestinian voices from mainstream media narratives in the West – and the attempts to erase the humanity of the Palestinians or whitewash Israel’s crimes against them – continue unabated.”

Tidak cukup dengan itu, dakwaan yang dinyatakan Zahzah turut mengukuhkan lagi analisis seorang pensyarah daripada Universiti Arizona, Profesor Madya Maha Nassar pada tahun 2020. Ketika itu, beliau mendapati artikel pendapat yang diterbitkan oleh akhbar The New York Times dan The Washington Post; serta majalah The New Republic dan The Nation dalam tempoh lebih 50 tahun bermula 1970 sehingga 2019 semakin hilang kesungguhan mengangkat isu Palestin sejajar dengan peredaran masa. 

Jelasnya, “Editorial boards and columnists seem to have been quite consumed with talking about the Palestinians, often in condescending and even racist ways – yet they somehow did not feel the need to hear much from Palestinians themselves.

Sedikit sebanyak, dakwaan-dakwaan yang dilontarkan itu juga secara tidak langsung mencerminkan bagaimana media sosial pada hari ini menyekat isu Palestin. Adakah sekatan yang dilaksanakan oleh lambakan platform media sosial didorong oleh rasa takut atau patuh terhadap kekuasaan Israel serta Zionis? Atau pun, adakah tindakan mereka berdasarkan usaha untuk tidak ikut masuk campur di dalam konflik Israel-Palestin?

  1. Facebook dan Instagram

Sebagai platform media sosial terbesar dunia dengan kadar pengguna aktif bulanan sebanyak 2.963 bilion, setiap tindak tanduk syarikatnya, Meta Platforms pasti akan mendapat perhatian di peringkat global. 

Paling ketara, polisi baharu yang diketengahkan Meta Platforms ke atas kedua-dua media sosialnya – Instagram dan Facebook pada 2021 telah menerima kecaman dan disifatkan telah memberi kesan buruk kepada hak asasi manusia. Malah, sehingga kini kesannya masih dirasai dalam kalangan komuniti advokasi, terutamanya penyokong Palestin. 

Polisi Facebook, Instagram – Apa yang berlaku? 

  • Rentetan daripada beberapa keganasan rejim Zionis dan Israel yang berlaku di Palestin bermula seawal pertengahan April 2021 dan berlanjutan sehingga Mei 2021, Meta memperketatkan lagi polisi mereka agar selari dengan tuntutan dalam Dasar Hak Asasi Manusia Korporat dan tanggungjawab di bawah Prinsip Panduan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (UNGP).
  • Bagaimanapun tindakan Meta menyebabkan kebebasan hak bersuara semakin terhad dan keputusan mereka telah menerima kecaman daripada pelbagai pihak, termasuk pihak konsultan mereka, Business for Social Responsibility (BSR).
  • Daripada pihak BSR sendiri Meta telah dilabel sebagai entiti yang sengaja bertindak berat sebelah.
  • Manakan tidak, Meta telah menyekat segala kandungan yang berkaitan dengan kekejaman Israel ke atas Palestin di Instagram dan Facebook. Malah, kadar perkongsian di dalam Bahasa Arab yang didakwa berbaur unsur perkauman dan dipadam jauh lebih tinggi berbanding perkongsian di dalam Bahasa Ibrani.
  • Perkara itu juga pernah diadu oleh selebriti antarabangsa, Bella Hadid apabila perkongsiannya berkaitan Palestin telah berdepan dengan sekatan (atau shadow-banning) oleh Instagram.
  • Tidak hanya Bella Hadid, ramai lagi pempengaruh yang giat mendedahkan sokongan mereka terhadap Palestin seperti penghasil kandungan Youtube berkelahiran Palestin, Adnan Barq; pengasas Yaqeen Institute, Sheikh Omar Suleiman; dan penulis buku American Islamophobia: Understanding the Roots and Rise of Fear, Khalid Baydoun turut mengadu dan mengkritik tindakan Meta Platform.

Sekatan yang dikenakan Meta Platforms ke atas aktivis pro-Palestin sebenarnya sedikit sebanyak membuktikan bahawa ia merupakan satu rancangan yang sistematik dan bersifat berat sebelah. Mengapa? Difahamkan satu kerjasama antara Israel dan Facebook telah berlaku pada 2016 dan di sinilah bermulanya kebebasan bersuara dan hak asasi manusia semakin terhad di platform itu. Tidak cukup dengan itu, pengasas bersama 7amleh: The Arab Centre for the Advancement of Social Media, Nadim Nashif mendedahkan sekitar 55 nama rakyat Palestin telah disenaraihitamkan dari Facebook, begitu juga hasil penulisan jurnal atau artikel berkaitan konflik di negara anbiya itu. Malah, jangan terkejut juga yang Facebook turut memiliki senarai panjang organisasi-organisasi yang langsung disekat di platform media sosial itu – Facebook Dangerous Individuals and Organisations List.

Situasi ini juga bermakna ruang-ruang untuk berlakunya penyanggahan fakta semakin terbuka luas. Berdasarkan pemerhatian penulis terhadap isu Israel-Palestin dalam kalangan rakyat Malaysia, sukar untuk menafikan bahawa segelintir masyarakat di negara ini masih disuapkan dengan fakta dan kenyataan salah. Misalnya pengalaman penulis pernah berdepan dengan satu komuniti yang mendakwa mereka pernah melawat ke Masjid al-Aqsa dan menyifatkan tingkah tentera Israel sangat menyantuni serta berbudi bahasa terhadap pelawat Muslim. Jelas mereka lagi, dakwaan umum dan pihak media melalui berita yang disampaikan begitu berbeza dengan pengalaman mereka di sana.

Sedangkan itulah kelicikan rejim Zionis dan Israel bertopengkan ‘malaikat’ untuk menutup kekejaman mereka di beberapa kawasan lain di Palestin seperti al-Khalil dan Tebing Barat. Keadaan itu juga mencerminkan satu kenyataan seorang aktivis politik yang mengaku dirinya bekas Israel dan Yahudi, Gilad Atzmon menyifatkan Zionis sebagai entiti yang terlatih dalam memutarbelit jalan cerita sebenar konflik di Palestin:

“Sebagai sebuah gerakan fundamentalis, Zionisme secara kategoris tidak berbeda dengan Nazisme. Hanya bila kita memahami Zionisme dalam konteks nasionalis dan rasisnya, baru kita mulai mengerti betapa dalamnya kekejaman dan kengerian yang diakibatkannya.”

Masa Depan Palestin – Di Manakah Fasa Perjuangan Kita?

Melihat kepada garis masa yang dinyatakan, bermula dengan kemunculan akhbar Filastin sehinggalah era media sosial – Facebook, Twitter, Instagram, dan TikTok – sudah bermacam cara dan usaha, baik secara fizikal atau digital telah dilaksanakan bagi memastikan pembebasan Palestin benar-benar terjadi. 

Namun, di manakah silapnya sehingga menyebabkan Palestin masih belum berjaya menuntut tanah air mereka dan sejauh manakah sebenarnya fasa perjuangan kita?

Walaupun lambakan media sosial mengenakan polisi yang tidak masuk akal kerana menyekat kebebasan bersuara terhadap hak asasi manusia di Palestin, penulis masih percaya dengan kuasa media sosial sebagai senjata yang berkuasa untuk mengangkat solidariti untuk negara itu. Manakan tidak, jika media cetak dan platform media sosial tergamak menutup kejahatan Israel terhadap penduduk Palestin, sudah pasti kedua-dua medium itu juga berupaya makan tuannya.

Merujuk kepada kenyataan penulis Gilad Atzmon: Catatan Kritikal tentang Palestina dan Masa Depan Zionisme, Ahmad Syafii Maarif pernah melontarkan pandangannya yang berbunyi:

“Tampaknya, dari hari ke hari, mata dunia semakin terbuka tentang benarnya tuntutan keadilan rakyat Palestina... Perkembangan teknologi informasi yang serbahebat ini sangat menguntungkan perjuangan rakyat Palestina.”

Malah, sebenarnya jika kita perhatikan kepada keutuhan Israel adalah kerana kebergantungan mereka pada Amerika Syarikat (AS) yang memegang kuasa veto ke atas Resolusi Dewan Keamanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Bayangkan jika api perjuangan pembebasan Palestin dalam kalangan penduduk di negara itu, termasuk penyokong Palestin terus membara dan disalurkan ke platform media sosial, satu persatu kekejaman Israel akan menjadi senjata kepada keruntuhan agenda Zionis.

 “Kaum Zionis di Israel dan di seluruh dunia punya sebuah ketakutan besar – takut pada semangat yang gigih ini, sebuah senjata yang lebih dahsyat dibandingkan bom nuklir. Palestina dan rakyat Palestina tidak dapat ditaklukkan dan ditundukkan.” 

Maka, benarlah media merupakan senjata paling berkuasa dalam mewujudkan kesedaran umum, lagi-lagi apabila ia digunakan untuk perkara bermanfaat seperti mendedahkan kebenaran pada masa yang tepat. 

Jika ditanya di manakah fasa perjuangan masyarakat Islam dan seluruh dunia tanpa mengira bangsa dan agama yang menyokong pembebasan Palestin, jawapan penulis ialah ia masih di fasa awal dan sedang berkembang. Melalui kewujudan media sosial, semangat pembebasan Palestin semakin ketara dan semakin mendapat sambutan. 

Mungkin orang di sekeliling kita kebanyakannya masih belum cakna berkaitan isu ini tetapi sebagai seorang aktivis atau pro-Palestin, jika kita terus menyuapkan mereka dengan kepentingan Baitul Maqdis dan Palestin, lambat laun mereka akan sedar dengan sendirinya. 

Memetik kepada sebuah kenyataan pengurus polisi MENA untuk Access Now yang merupakan sebuah komuniti advokasi hak digital global, Marwa Fatafta: “Social media is an important lifeline for Palestinian activists and journalists to organise, protest, document and report on human rights abuses”.

Oleh sebab itu, jangan pernah putus asa untuk terus memperjuangkan hak asasi manusia dan menuntut kemerdekaan di Baitul Maqdis, termasuk Palestin. Ia mungkin kelihatan tidak membuahkan hasil pada masa sekarang tetapi tidak mustahil keutuhan dan semangat yang membara menjadi ikutan generasi akan datang, seterusnya mampu membebaskan Baitul Maqdis daripada cengkaman rejim Zionis.