All Articles

Kronologi Kesyahidan Ketua Biro Politik HAMAS, Ismail Haniyeh

8 min read
Written by
Sabrina Suhaimi
Published on
August 1, 2024

Sebelum dunia dikejutkan dengan pembunuhan Ketua Biro Politik HAMAS, Ismail Haniyeh, tumpuan semasa pada ketika itu adalah terhadap insiden pengeboman di bandar komuniti Druze di Majdal Shams, Bukit Golan pada 27 Julai 2024. Serangan tersebut menyebabkan 12 orang remaja lelaki terbunuh. 

Manakala pada 30 Julai 2024, serangan balas Israel di Beirut menyasarkan komander tertinggi Hezbollah, Fuad Shukr sebagai dalang kepada insiden di Majdal Shams. Keesokkannya, Israel mendakwa Fuad Shukr telah terbunuh tetapi disangkal Hezbollah.

Kronologi bermula:

  • Ismail Haniyeh dilaporkan menghadiri ke majlis angkat sumpah Masaoud Pezeshkian sebagai Presiden Iran yang ke-9 pada 30 Julai 2024 di Parlimen Iran di Tehran.
  • Ketika di Tehran, Ismail Haniyeh dikatakan menginap di kediaman khas pasukan veteran perang di utara Tehran; atau di bangunan milik Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC).
  • Dalam pertemuan Ismail Haniyeh bersama Pezeshkian ketika majlis angkat sumpah, berkali-kali Presiden Iran itu menyatakan kesungguhan dan komitmen Iran untuk membebaskan Palestin. 
  • Itulah kali terakhir kelibat Ismail Haniyeh dilihat sebelum beliau syahid pada 31 Julai 2024, pukul 10:30 pagi (waktu Malaysia) dalam serangan udara yang menyasarkan penginapannya di Iran. 
  • HAMAS memuat naik kenyataan rasmi pada waktu yang sama, mengesahkan kesyahidan as-syahid Ismail Haniyeh.

Sejarah misi bunuh pejuang Palestin di dalam tangan rejim Israel:

Sebelum kesyahidan Ismail Haniyeh, berikut adalah senarai individu terkenal dan disanjungi rakyat Palestin kerana perjuangan mereka tanpa lelah menentang penjajah haram, Israel.

  • Yahya Ayyash syahid pada 1996 ketika menjawab satu panggilan telefon yang diterimanya di Gaza. Difahamkan telefon itu telah diletakkan bom sebelum diletupkan ketika Yahya Ayyash menjawab panggilan yang diterimanya. Beliau juga merupakan Ketua Unit Bom di dalam HAMAS dan digelar ‘The Engineer’ kerana kemahirannya di dalam menghasilkan bom.
  • Khaled Meshaal yang dilahirkan di Silwad, Tebing Barat hampir syahid pada 1997 dalam misi pembunuhan yang dilancarkan Israel di Jordan. Khaled Meshaal memegang jawatan sebagai Ketua Biro Politik HAMAS bermula 1996 sehingga 2017. Jawatannya kemudian disandang oleh Ismail Haniyeh dan Khaled Meshaal memimpin pejabat HAMAS di luar Palestin sejak 2021 sehingga kini. 
  • Sheikh Ahmed Yassin, pengasas HAMAS telah syahid di Bandar Gaza pada Mac 2004. Beliau antara tahanan yang berkali-kali ditahan Israel dan dibebaskan dalam beberapa perjanjian. Kesyahidan beliau membawa era baharu HAMAS yang mana gerakan penentangan ini dipimpin oleh Abdul Aziz Rantisi.
  • Abdul Aziz Rantisi memimpin HAMAS hanya sebulan kerana beliau syahid di Hospital al-Shifa, Gaza pada tahun kesyahidan Sheikh Ahmed Yassin. Difahamkan rejim Israel melepaskan dua bom misil ke atas keretanya, menyebabkan Rantisi serta dua orang pengawal peribadinya syahid. Rantisi merupakan salah satu individu terkenal dalam HAMAS kerana sikapnya yang tiada kompromi dengan Israel.
  • Mahmoud al-Mabhouh, Pegawai Tertinggi Operasi HAMAS syahid di dalam serangan maut di bilik hotel di Dubai pada Januari 2010. Laporan kematiannya menyatakan Mahmoud maut kerana terkena renjatan elektrik tetapi pihak berkuasa Dubai memaklumkan kesyahidannya ada unsur jenayah. Mahmoud merupakan salah seorang pengasas sayap ketenteraan HAMAS, Briged Izzudin al-Qassam. Beliau terkenal dengan penglibatannya dalam misi penculikan dan pembunuhan dua orang tentera Israel pada 1989.

Sumber:

The Spectator Index

Al-Jazeera

Anadolu Ajansi

The Washington Post