All Articles

Kesyahidan Yahya Sinwar Membawa Pengakhiran Perang di Gaza?

Written by
Sabrina Suhaimi
Published on
October 20, 2024

Jumaat, jam 8 malam waktu Malaysia (3 petang waktu Gaza), HAMAS telah mengesahkan kesyahidan Ketua Biro Politik, Yahya Sinwar. Berbeza dengan kesyahidan Ismail Haniyeh pada 31 Julai 2024, HAMAS kali ini dilihat lebih bertenang dan mengambil masa lama untuk kongsikan kepada umum tentang Yahya Sinwar. 

Pun begitu, Israel dan rakan sekutunya, Amerika Syarikat (AS) sudah meraikan kesyahidan Yahya Sinwar dan menganggap situasi semasa sebagai permulaan kepada pengakhiran. 

Persoalannya, adakah ia sebuah pengakhiran perang di Gaza; pengakhiran HAMAS atau sebenarnya mereka sedang meragui kebolehan tentera Israel dan menganggap ia sebagai permulaan kepada pengakhiran rejim itu di bumi Palestin?

Tidak mustahil ada segelintir masyarakat dunia beranggapan kesyahidan Yahya Sinwar menjadi titik awal pengakhiran perang di Gaza. Namun, jika kita melihat semula kepada lipatan sejarah yang berlaku di Palestin, meskipun sudah beratus ribu umat dibunuh di sana, termasuk beberapa sosok penting di dalam organisasi HAMAS seperti Yahya Ayyash, Sheikh Ahmed Yassin dan Abdul Aziz Rantisi, Israel tetap tidak berganjak.

Malah, onar yang dilakukan tentera Zionis di Palestin terutamanya di Baitul Maqdis, semakin menjadi-jadi – kawasan penempatan haram rancak diluaskan, hak penduduk Islam yang mahu beribadah pada setiap Jumaat di Masjid al-Aqsa disekat dan pencerobohan berkali-kali ahli politik Israel ke dalam perkarangan Masjid al-Aqsa.

Iya, benar Yahya Sinwar adalah mastermind kepada Perang Taufan al-Aqsa tetapi ia tidak semudah itu untuk Israel mengakhiri penindasan di Palestin selagi mana cita-cita Zionis untuk membina Greater Israel belum tercapai. 

Boleh jadi kesyahidan figura penting HAMAS pada abad ke-21 ini, dengan jurang masa yang dekat di antara kesyahidan Ismail Haniyeh dan Yahya Sinwar membenarkan Israel untuk memanfaatkan “kelemahan” HAMAS dan melenyapkan Palestin sekiranya tiada strategi mampan. 

Ingat, ada tawanan Israel di Gaza yang masih belum dibebaskan. Tamatnya riwayat Yahya Sinwar yang sangat terkenal dengan peribadinya yang tiada toleransi terhadap rejim Zionis, malah Israel menggelarnya sebagai a dead man walking, lebih mudah untuk Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menggunakan masa emas ini mendapatkan semula rakyat Israel yang ditahan sejak awal perang Taufan al-Aqsa.

Pun begitu, menjadi musuh terdekat Israel, bermakna HAMAS lebih tahu apa yang akan Israel lakukan selepas kesyahidan Yahya Sinwar. Sejak penubuhannya pada 1988, HAMAS lebih arif membaca gerak-geri Israel di dalam medan perang pada hari ini. Buktinya, genap setahun bertempur di Gaza, Israel masih gagal untuk menghapuskan HAMAS sebagaimana itulah objektif utama Netanyahu.

Sejak 1948, rakyat Palestin sudah pun menyaksikan bagaimana kekejaman Zionis mengubah sejarah negara mereka. Identiti anggota Briged al-Qassam yang sulit, begitu juga latar belakang pemimpin HAMAS yang rata-ratanya daripada kelompok rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal kerana dijajah Israel menjadi tunjang utama kepada kesungguhan mereka untuk terus menentang Zionis sehingga Palestin mencapai kemerdekaan.

Jadi, tiada sebab untuk HAMAS menyaksikan sendiri Zionis menggulung Palestin dan mencapai objektif perang ini iaitu Greater Israel. Ini bermakna, Taufan al-Aqsa akan menjadi lebih agresif – HAMAS tidak akan mudah tunduk dengan cadangan pihak Israel di meja rundingan yang akan merugikan mereka kelak dan; Israel akan terus menggila di selatan Lubnan, sebelum ke Syria, Iran dan negara-negara yang telah dijanjikan tanahnya kepada mereka berdasarkan Kitab Lama.

Mungkin.. ya, mungkin ketika ini kita lihat HAMAS sedang mengalami kerugian kerana kehilangan ramai pemimpin yang berfikiran kritis dan tidak mudah melatah di medan peperangan atau rundingan tetapi selagi mana penentangan terhadap rejim Zionis itu masih tinggi, ada harapan untuk kita menyaksikan kemenangan HAMAS dan pejuang-pejuang Palestin yang lain. 

Abaikan media Barat yang cuba menakutkan kita dengan kehilangan Yahya Sinwar sebagai tiang utama perjuangan mereka di Palestin. Ketika kita menganggap kesyahidan Yahya Ayyash atau Abdul Aziz Rantisi menumbangkan HAMAS, rupanya ada Yahya Sinwar yang masih bersama kita sehingga nafas terakhirnya. 

Benarlah bahawa kesyahidan pejuang Palestin yang disanjungi akan digantikan dengan 1,000 atau 10,000 orang yang lebih hebat daripada mereka.