All Articles

Kesan Penjajahan Israel Terhadap Amalan Korban dan Signifikan Untuk Rakyat Palestin

8 min read
Written by
Haikal Zulkefli
Published on
April 13, 2023

Hampir separuh abad, penjajahan Israel di Tebing Barat termasuk Baitul Maqdis Timur dan Semenanjung Gaza telah memberi kesan dalam pelanggaran hak asasi manusia terhadap rakyat Palestin yang tinggal di situ. 

Sejak penjajahan pertama yang bermula pada Jun 1967, polisi rampasan tanah Israel yang kejam, penempatan haram dan peras ugut yang berpanjangan, termasuk beberapa tindakan diskriminasi telah memberi kesengsaraan kepada rakyat Palestin.

Pemerintahan tentera Zionis telah mengganggu segenap aspek dalam kehidupan seharian di kawasan Palestin yang terjajah. Ia berterusan memberi kesan kepada bagaimana dan bila rakyat Palestin boleh pergi ke tempat kerja atau sekolah, untuk melancong, melawat saudara mara, mencari nafkah keluarga, menghadiri sebarang protes, untuk akses ke ladang mereka mahupun akses kepada sumber elektrik dan sumber air bersih. 

Israel telah mengadaptasi sebuah undang-undang ketenteraan yang rumit untuk menghancurkan sebarang penentangan terhadap dasar-dasar yang dilakukan, dan pegawai kerajaan yang lebih lama telah menggelar rakyat Israel yang membuat advokasi berkenaan dengan Palestin sebagai pengkhianat. 

Ekonomi Gaza sangat bergantung kepada bantuan antarabangsa dan perdagangan tidak rasmi melalui terowong bawah tanah dengan Mesir. Sekatan yang dibuat oleh Israel  itu telah menyukarkan penduduk Gaza untuk mengakses barangan keperluan seperti makanan, ubat-ubatan, dan bahan api, yang telah menyebabkan tahap kemiskinan dan pengangguran yang tinggi.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kadar pengangguran di Gaza kini sekitar 45 peratus, dan lebih 50 peratus penduduk hidup di bawah garis kemiskinan. Sekatan Israel juga telah menyebabkan kerosakan besar kepada infrastruktur Gaza, termasuk sistem air dan elektriknya, yang telah mengehadkan ketersediaan perkhidmatan asas kepada penduduk.

Pencerobohan dan serangan tentera Israel yang kerap ke atas Gaza juga telah memberi kesan buruk kepada ekonomi tempatan, memusnahkan rumah, perniagaan, dan tanah pertanian. Serangan tentera Israel pada 2014 ke atas Gaza, misalnya, menyebabkan kerugian dianggarkan $4 bilion kepada infrastruktur dan ekonomi wilayah itu.

Penjajahan rejim Zionis ini juga memberi impak kepada sambutan Aidiladha bakal tiba oleh rakyat Palestin di Gaza. Kalau kita di Malaysia, sambutan dilakukan dengan penuh kesederhanaan kerana kita budaya di Malaysia, sambutan Aidilfitri itu yang paling meriah, tetapi tidak di Gaza. 

Penduduk Gaza tidak mampu untuk melakukan ibadah korban kerana kegawatan ekonomi yang berlaku di Gaza. Barang keperluan harian terus meningkat naik kerana desifit dagangan yang meningkat menyebabkan penduduk Gaza sukar untuk membeli haiwan korban yang kos tidak menentu dan terus naik. Harga seekor lembu biasa hampir RM 2500 dan jika mahu kualiti yang lebih bagus dari segi kuantiti daging, harga akan lebih dari itu. 

Selain itu, penduduk Gaza mempunyai kawasan yang terhad untuk menternak haiwan kerana kawasan yang sedia ada tidaklah besar dan tanah-tanah kosong ini dirampas oleh Israel sedikit demi sedikit untuk keuntungan mereka. Gaza juga dijadikan medan lapang sasar oleh Israel untuk menguji peluru berpandu dan senjata udara mereka. Mereka akan mensasarkan kawasan pertanian, sumber air dan elektrik penduduk Gaza supaya mereka terus berada di dalam kesempitan.

Penduduk Gaza juga dikenakan sekatan perjalanan disebabkan tembok yang dibina oleh Israel untuk mengepung Semenanjung Gaza dan sempadan juga telah ditutup untuk penduduk Gaza merentasi Mesir melalui pintu Rafah. Ini menyebabkan ekosistem perusahaan haiwan di Gaza tidak mendapat sambutan dan barang dagangan dari luar pula dikenakan kos yang agak tinggi.  

Faktor-faktor ini memberi kesan yang besar kepada penduduk Gaza untuk menyambut Aidiladha yang bakal tiba dan kita melihat bahawa bantuan yang dihulurkan oleh pertubuhan antarabangsa dan kerajaan sangat membantu pengupayaan operasi perusahaan haiwan di Gaza yang semakin dihimpit kesulitan. 

Dalam kita menyambut perayaan Aidiladha nanti, jangan pula kita lupa untuk bersyukur dan mengingati kesusahan yang dialami oleh saudara seagama kita di seluruh dunia termasuk Palestin. Jika falsafah di sebalik perayaan Aidiladha adalah pembersihan jiwa, maka kita perlu memaknai falsafah ini dengan terus berkongsi rasa, memberi makna.