All Articles

Kemunculan Gerakan Kebangsaan Palestin

8 min read
Written by
Haikal Zulkefli
Published on
February 15, 2023

Selepas Perang Dunia Pertama, Dunia Islam telah runtuh dan kuasa penjajah mula menguasai mereka satu persatu. Dunia Islam ketika itu kekurangan sumber dan kemampuan untuk menyerap tekanan politik dan pengaruh kuasa kolonial, di mana mereka turut menyokong idea Zionis untuk menubuhkan sebuah negara untuk Yahudi.

Sebuah deklarasi telah termeterai antara Lord Balfour dan Theodore Herzl pada tahun 1917. Ketika ini, deklarasi tersebut hanyalah sebuah tulisan yang dijanjikan kepada Zionis tetapi ia bukanlah sebuah dokumen rasmi yang mengabsahkan penubuhan negara Yahudi di atas tanah Palestin. Kemudian, pada tahun 1918, Perang Dunia Pertama telah berlaku yang terbahagi kepada dua blok iaitu pihak Bersekutu atau disebut sebagai Kuasa Entente dan Kuasa Tengah.

Di sebalik segala kekusutan dan kelemahan dalam Dunia Islam ini, muncul satu gerakan kebangsaan Palestin yang berjuang demi kemerdekaan Palestin daripada penjajahan Zionis. Dalam perjuangan mereka, mereka telah memberi fokus kepada perkara-perkara berikut:

i) Untuk membatalkan Deklarasi Balfour dan ketidakadilan yang membawa kepada penurunan populasi Arab di Palestin.

ii) Untuk menghentikan imigrasi Yahudi ke tanah Palestin.

iii) Untuk menghentikan sebarang penjualan tanah kepada Yahudi

iv) Untuk menubuhkan gerakan kebangsaan Palestin, yang dipilih melalui Parlimen (Majlis Legislatif), di mana mewakili hasrat rakyat Palestin

v) Untuk membuat negosiasi bersama British bagi menandatangani perjanjian damai yang membawa kepada kemerdekaan Palestin

Maka, setelah pelbagai usaha dilakukan, tertubuhlah Gerakan Kebangsaan Palestin dan mereka pun mengadakan Kongres Arab Palestin yang pertama di Baitul Maqdis pada 27 Januari 1919. Dalam kongres tersebut majoriti menolak perpecahan Bilad al-Syam seperti yang dimahukan oleh penjajah. Sebulat suara bersetuju bahawa Palestin adalah sebahagian dari Bilad al-Syam atau disebut sebagai Syria Raya (Greater Syria). Sebanyak tujuh kongres telah diadakan sehingga tahun 1928. Gerakan kebangsaan ini diketuai oleh Musa Kazim al-Hussaini, yang memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Kongres Palestin, yang kekal di jawatan tersebut sehinggalah beliau meninggal dunia pada Mac 1934. 

Di bawah Mandat British, Haj Amin al-Hussaini menjadi antara tokoh yang menonjol dalam Gerakan Kebangsaan Palestin. Beliau menjadi mufti Jerusalem pada 1921 dan telah menjadi Pengerusi Supreme Muslim Council (SMC) pada 1922, di mana SMC telah menjadi kubu terpenting bagi gerakan kebangsaan. Selepas kematian Musa Kazim al-Hussaini, Haj Amin menjadi pemimpin Palestin sehinggalah berakhirnya penjajah British pada 1948.

Gerakan Kebangsaan Palestin pada Separuh Tahun bagi Kurun ke-20

Kebangkitan penentangan rakyat Palestin terhadap penjajahan Zionis, yang mana telah muncul sebelum Liga Bangsa-Bangsa telah memberikan Britain mandat terhadap Palestin, malah diburukkan lagi oleh penjajahan oleh tentera British di Baitul Maqdis dan kawasan lain di Palestin di penghujung Perang Dunia Pertama. Disebabkan penentangan rakyat Palestin makin memuncak, pihak British telah berjaya mengenakan polisi pecah dan perintah yang telah membawa kepada Great Palestinian Revolt, perlucutan senjata oleh rakyat Palestin dan kemerosotan budaya politik tradisional Palestin. 

Dengan bermulanya kebangkitan Zionisme, masyarakat Arab di Palestin tidak melihat ia sebagai satu kumpulan etnik yang berbeza daripada penjajah Yahudi semata-mata. Sebaliknya, ia dilihat sebagai sebuah identiti politik. Bagi Muslim dan Kristian di Palestin, mereka telah menghantar petisyen kepada pemerintah pusat Turki Uthmaniyah, menghantar delegasi ke sidang Parlimen Turki Uthmaniyah yang baru dibuka dan mempolemikkan ke akhbar mereka. Tindakan ini telah memanjangkan ketegangan selepas pihak British menjajah Baitul Maqdis di penghujung Perang Dunia Pertama.

British sangat berminat dengan Palestin kerana geopolitiknya -- ia melindungi  kawasan timur laut Terusan Suez, yang mana ia dilihat oleh Britain sebagai ‘nyawa’ kepada Empayar British. Salah seorang panglima tentera Turki Uthmaniyah iaitu Jamal Pasha telah menunjukkan kepada British pada Januari 1915, bahawa jika Palestin dibawah kawalan mana-mana pihak, ia boleh menjadi pengkalan tentera untuk melakukan serangan ke atas Terusan Suez. 

Setiausaha Luar British, Sir Arthur Balfour dikenali dengan surat yang ditulis pada 2 November 1917 kepada Baron Edward Rothschild, dan surat-surat yang ditulis ini digabungkan dalam satu deklarasi yang dinamakan Deklarasi Balfour. Ini juga membuktikan bahawa pihak British menyokong penubuhan sebuah negara Yahudi di Palestin. Konflik etnik telah meletus antara Yahudi Zionis dan Palestin ketika Mandat British, malah ia berlaku sebelum Liga Bangsa-Bangsa memberi mandat kepada British. Haganah, yang merupakan salah satu militan Zionis, yang dibentuk pada awal 1920-an dan telah memulakan latihan mereka di Baitul Maqdis. 

Pertembungan keganasan antara etnik telah terjadi pada April 1920.  Untuk menyelesaikan isu ini, pihak Zionis telah menyeru kepada imigran Yahudi untuk datang ke Palestin dan meleraikan ketegangan yang berlaku antara mereka dan orang Arab. Polisi British divide et impera tidak hanya terhad untuk memanipulasi konflik antara etnik. Mereka juga memanipulasi persaingan antara bangsawan Palestin. 

Seperti mana kita ketahui, polisi Turki Uthmaniyah adalah untuk menyeimbangkan kecenderungan pelbagai kumpulan Palestin yang bersaing antara satu sama lain. Polisi British bagai mencurahkan minyak ke dalam api terhadap persaingan yang berlaku. Pihak British telah mengadu domba di antara dua keluarga Palestin yang ternama iaitu, keluarga al-Husseini dan keluarga Nashashibi.    

Ahli keluarga al-Husseini telah diberi tanggungjawab menerajui Majlis iaitu Majlis Tertinggi Muslim di Baitul Maqdis, yang telah menjamin perlantikan Haj Amin al-Husseini sebagai Mufti Baitul Maqdis dan ia juga mempunyai gabungan pengikut yang digelar Majlesiyyoun.

Sebagai bukti adanya perubahan kepada budaya politik Palestin, Majlesiyyoun mempunyai ruang untuk mereka mengekspresikan pendapat mereka di dalam akhbar yang bernama al-Jami’a al-Arabiyya. 

Bagi keluarga Nashashibi pula, mereka telah mengetuai kumpulan Mu’arada, dan menjamin pilihan raya untuk Ragheb al-Nashashibi sebagai Datuk Bandar Baitul Maqdis. Mereka juga mempunyai ramai pengikut yang digelar Mu’aridoun. Mereka juga mempunyai akhbar iaitu al-Karmel yang diterbitkan di Haifa. Perpecahan yang berlaku dalam budaya politik Palestin menjadi lebih parah apabila mereka mula bersaing merebut tempat dalam Kongres Islam pada Disember 1931, yang dilakukan di Sekolah Rawdat al-Ma’aref dan Hotel King David, Baitul Maqdis.

Pada 1932, ketidakpuasan hati serta budaya politik yang tidak berkesan telah sampai ke kemuncaknya apabila Awni Abdul-Hadi, Hami al-Husayni dan beberapa orang lagi telah menubuhkan Parti Istiqlal, di mana ia merupakan parti pertama rakyat Palestin dan mereka telah mempromosi dasar dan polisi untuk tidak bekerjasama dengan British.   

Intifada dan Prospek Ketahanan Gerakan Kebangsaan Palestin 

Beberapa siri protes yang menjadi permulaan kepada Intifada di kem pelarian Jabalia di Gaza diikuti oleh pelanggaran kereta pada 9 Disember 1987 di mana melibatkan kematian empat rakyat Gaza yang dibunuh oleh kereta seorang rakyat Israel. Pada hari pertama, pihak berkuasa Israel telah menembak dan membunuh sebilangan rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak yang bernama Fatmeh Alqidri dari Bandar Gaza. 

Protes telah diadakan dan ia merebak ke Nablus dan seterusnya ke seluruh Tebing Barat pada keesokan harinya, di mana pihak berkuasa Israel telah menembak dan membunuh lebih ramai rakyat Palestin termasuk seorang remaja berumur 18 tahun yang bernama Ibrahim Ekeik. Protes telah tercetus di Baitul Maqdis Timur pada 13 Disember dan pada penghujung minggu pertama, satu mogok besar-besaran telah dilakukan dan ia menyebabkan pelbagai sektor di kawasan Palestin yang dijajah telah lumpuh. Inilah permulaan kepada Intifada.

Beberapa faktor politik perlu diambil kira. Keganasan yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin telah menyebabkan Intifada ini terjadi. Sejak pendatang Yahudi  diberikan kelengkapan dan latihan untuk mengendali senjata, mereka telah melakukan pelbagai keganasan. Tindak balas terhadap semua keganasan ini telah menyebabkan peningkatan bilangan kebangkitan rakyat Palestin terhadap penjajah Zionis di kawasan Palestin yang dijajah. 

Beberapa aspek polisi Intifada juga perlu dilihat. Pergerakan politik Diaspora Palestin pada 1960-an telah bertindak balas dalam kawasan Palestin yang dijajah selepas 1967, memberi ruang kepada kebangkitan penentang yang memberi bencana kepada tentera Israel di Lubnan selepas 1982. Intifada juga menggerakkan beberapa dasar dan polisi berkaitan pembangunan negara -  berkaitan penubuhan kerajaan dan struktur sosioekonomi yang mandiri di Tebing Barat dan Gaza. 

Ini telah memberi kesan kepada budaya politik Palestin. Selepas menolak untuk berurusan dengan PLO selama beberapa dekad, Amerika Syarikat akhirnya pergi perbincangan peringkat rendah bersama PLO di Tunis pada Disember 1988. Perbincangan ini telah ditamatkan dengan arahan Amerika Syarikat sebelum berlakunya Krisis Teluk pada 1990. 

Menginjak ke kurun ke-20, aspirasi rakyat Palestin untuk membina sebuah negara bangsa belum lagi tercapai walaupun sudah strategi yang realistik untuk mencapai objektif tersebut. Menurut terma strategik, perubahan dari mencari cara memusnahkan Zionisme, kepada mencipta penerus bagi wilayah Zionis yang sekular demokratik, kepada mencipta sebuah negara yang akan mengurangkan kuasa geopolitik Zionis di rantau Asia Barat.

Israel adalah sebuah projek yang akan tamat apabila sampai masanya. Zionis hari ini bertahan dengan hanya memberikan ketakutan kepada kepada rakyat Israel, bukan dengan asas yang kukuh untuk bertahan lebih lama. Menurut sejarah, Palestin adalah graveyard of empires dan akan terus menjadi seperti itu. Ia mengambil selama 200 tahun untuk tentera Salib memasuki Palestin sebelum dibebaskan kembali oleh Salahuddin Al-Ayubi. 

Palestin akan bebas.