All Articles

Kanak-Kanak Palestin Ancaman Israel

Written by
Sabrina Suhaimi
Published on
March 20, 2025

Setakat 5 Februari 2025, angka kanak-kanak Palestin yang ditahan di penjara Israel mencatatkan rekod seramai 365 orang dan lebih 100 orang daripadanya dibawah penahanan pentadbiran. Angka ini adalah sebahagian daripada 10,000 tahanan Palestin, baik wanita atau lelaki di penjara Israel. 

Bukan tiada undang-undang untuk melindungi kanak-kanak tetapi Israel yang mencabulinya seakan-akan undang-undang mereka sahajalah lebih berkuasa di dunia. 

Misalnya, kanak-kanak di Palestin, tidak kiralah mereka yang bebas atau di dalam tahanan rejim Israel, telah dijamin keselamatannya berdasarkan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) yang digariskan Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (UHCHR) di bawah Perkara 37 (a): Tiada kanak-kanak boleh tertakluk kepada penyeksaan atau layanan atau hukuman lain yang zalim, tidak berperikemanusiaan atau menjatuhkan maruah. Tiada hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup tanpa kemungkinan untuk dilepaskan boleh dikenakan bagi kesalahan yang dilakukan oleh orang yang di bawah umur lapan belas tahun.

Tetapi Israel tidak mengamalkan Perkara 37 (a) walaupun telah meratifikasikannya pada 1991. Buktinya, penahanan kanak-kanak Palestin terus dilakukan sehingga ke hari ini walaupun tiada alasan yang kukuh. 

Kita lihat dulu tiga kes yang menjadi perhatian badan bukan kerajaan (NGO) dalam melindungi hak kemanusiaan

  • Ahmad Manasra, 13 tahun
    • Pada 2015, dia ditahan rejim Israel dan dijatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun sebelum dikurangkan kepada 9 tahun. Dia ditangkap atas kesalahan bersama sepupunya, Hassan Manasra yang menikam dua orang penduduk haram Israel di penempatan haram, Pisgat Ze’ev di Baitul Maqdis Timur. 
  • Bahaa H., 7 tahun
    • Pada hari raya pertama Aidil Adha 2024 di perkampungan al-Mughayer, Ramallah, dia ditangkap oleh rejim Israel ketika dalam perjalanan ke kedai runcit bersama kawan-kawannya untuk membeli gula-gula. Dia dipukul dan ditangkap atas alasan membaling batu ke arah pasukan rejim Israel. Bagaimanapun, dia dibebaskan selepas 3 jam ditahan.
  • Ayham al-Salaymeh, 14 tahun 
    • Dia juga berdepan situasi yang sama seperti Bahaa atas kesalahan yang sama – membaling batu. Tetapi dia dikenakan hukuman penjara selama setahun selepas ditetapkan perintah berkurung pada usia 12 tahun atas kesalahan tersebut. 

Jika difahamkan keadaan di atas, sebenarnya yang dilakukan oleh mereka bukanlah satu jenayah besar. Misalnya kes Ahmad Manasra, dia ditangkap atas tuduhan niat membunuh walaupun bukan pihak mahkamah telah mendapati dia tidak bersalah. Apa yang kita nampak – tindakan mereka adalah satu bentuk pembelaan diri di dalam tanah air yang sedang dijajah. Seperti Bahaa dan Ayham yang ditahan kerana membaling batu sedangkan tindakan mereka langsung tidak membawa kecederaan kepada rejim Israel. 

Namun, kerajaan Israel tidak teragak-agak menetapkan penahanan kanak-kanak seawal usia 12 tahun pada 2016. Sebelum ini, penahanan kanak-kanak hanya boleh dilakukan jika mereka berusia 14 tahun dan ke atas. Disebabkan itulah, Ayham dikenakan perintah berkurung pada usia 12 tahun sehingga apabila undang-undang baharu diperkenalkan pada 2016, dia dipenjarakan pula.

Tidak cukup dengan itu, Israel telah mengenakan hukuman penjara 20 tahun atas kesalahan membaling batu; memanjangkan tempoh penahanan daripada 96 jam kepada 45 hari; tempoh hakim meneliti rekod penahanan daripada 14 hari kepada 75 hari; dan tempoh penahanan tanpa peguam daripada 21 hari kepada enam bulan sebelum dikurangkan kepada tiga bulan. 

Jelas apa yang dilaksanakan pentadbiran Israel bukan sahaja tidak mencerminkan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak, Perkara 37 (a), tetapi juga Perkara 37 (b)(c)(d). Mengapa? Kerana apa yang mereka lalui di penjara Israel sangat tidak masuk akal dan terlalu kejam sehingga dilaporkan banyak masalah kesihatan terhadap kanak-kanak yang ditahan. Seperti Manasra, dia berdepan dengan schizophrenia dan kemurungan yang kritikal sehingga sukar untuk menghadiri ke perbicaraan di mahkamah.

Kenapa kanak-kanak Palestin?

Menurut sebuah NGO, Save the Children, seramai 10,000 kanak-kanak ditahan di pusat penahanan dalam tempoh 20 tahun yang lalu. Mereka ditangkap dan dipenjarakan atas kesalahan yang enteng tetapi dilihat sebagai satu ancaman untuk Israel.

Jika kanak-kanak seusia 7 tahun sudah berani untuk membaling batu ke arah rejim Israel, ini bermakna mereka juga tidak gentar untuk mencabar dan berdepan dengan sebarang implikasinya pada masa akan datang. Secara tidak langsung, situasi itu juga membuktikan mereka dibesarkan di bawah penindasan sejak era nenek moyang mereka, sekaligus membentuk mereka menjadi anak-anak yang kebal dengan kehadiran tentera Israel di Gaza atau Tebing Barat kerana transgenerational trauma tanpa sedar.

Pada hari ini, 365 orang kanak-kanak Palestin yang masih ditahan di penjara Israel sepatutnya memenuhi 12 buah kelas di sekolah-sekolah Palestin. Tetapi hak mereka untuk mendapatkan pendidikan, mendapatkan rawatan kesihatan dan berjumpa dengan keluarga dinafikan hanya kerana mereka ditahan atas kesalahan membawa ancaman terhadap tentera Israel. 

Kegagalan kita dalam memberikan jaminan keselamatan kepada anak-anak yang tertindas di Palestin menunjukkan kegagalan kita menghadirkan rasa empati dan simpati terhadap isu kemanusiaan. Walhal, apa yang kanak-kanak ini cuma inginkan hanyalah – tidak lagi dipenjarakan, berjaya dan dapat bekerja.