Jamilah al-Shanti, Wanita HAMAS Pertama Antara Syuhada’ Tufan al-Aqsa

Selain nama-nama figura agung ketika mana menyebutkan nama Harakah al-Muqowamah al-Islamiyah (HAMAS) semisal Sheikh Ahmad Yassin, Dr. Abdul Aziz al-Rantisi, Salah Shehadeh, Nizar Rayyan, Ismail Haniyeh, Yahya Sinwar dan ramai lagi, yang mana kesemua mereka telah syahid di tangan keji rejim Israel penjajah. Tahukah anda bahawa di antara barisan syuhada’ ini, terdapat juga sosok seorang wanita?
Syahidnya tokoh ini telah menjadi satu penanda aras bahawa perjuangan penentangan di Palestin khususnya di Gaza hari ini tidak hanya melibatkan kaum lelaki, bahkan kaum wanita turut memainkan peranannya dalam memastikan perjuangan pembebasan tanah air terus berlangsung. Tambahan lagi, wanita Palestin telah membuktikan bahawa peranan mereka dalam mengangkat agenda perjuangan di medan jihad tidak lagi sekadar sebagai pendukung di belakang tabir, tetapi sebagai pejuang yang turut mengambil posisi di barisan kepimpinan.
Jamilah Abdullah Taha al-Shanti, merupakan pemimpin wanita tertinggi HAMAS juga dikenali sebagai Ummu Abdullah, dilahirkan pada tahun 1957 di Kem Pelarian Jabalia, utara Gaza. Beliau merupakan isteri kepada al-syahid Dr. Abdul Aziz al-Rantisi yang syahid pada April 2004. Pada tahun 1980, Jamilah al-Shanti berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Dalam Pendidikan Bahasa Inggeris dari Universiti Ain Shams, Mesir, sebelum berpindah ke Arab Saudi untuk bekerja sebagai guru selama 10 tahun. Ketika menuntut di Universiti Ain Shams, beliau telah menyertai Ikhwanul Muslimin pada tahun 1977. Beliau merupakan sebahagian daripada generasi pertama yang mengasaskan HAMAS pada tahun 1987, justeru tidak hairanlah nama beliau menjadi antara sasaran utama pihak Israel penjajah.
Beliau meneruskan perjalanan akademiknya dan memperoleh ijazah sarjana dalam pendidikan Usul Tarbiah dari Universiti Islam Gaza pada tahun 1998. Selanjutnya, pada tahun 2013, beliau berjaya menamatkan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) dalam Pengurusan Pendidikan, Fakulti Sains Kekeluargaan, Universiti Dubai, UAE secara atas talian.
Jamilah al-Shanti merupakan antara aktivis wanita terawal dalam gerakan HAMAS. Keterlibatan beliau dalam kerja-kerja organisasi bersama HAMAS bermula sejurus selepas kembali ke Gaza dari Arab Saudi pada tahun 1990. Beliau juga pernah dilantik mengetuai Majlis Syura Wanita HAMAS selama dua penggal berturut-turut.
Pada tahun 2006, beliau dipilih sebagai ahli Majlis Perundangan Palestin mewakili parti Islah wa Taghyir (Reformasi dan Perubahan) yang berafiliasi dengan HAMAS. Beliau turut mengetuai sayap wanita dalam gerakan HAMAS selama bertahun-tahun dan pernah dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Wanita dalam kerajaan HAMAS yang mentadbir Gaza pada tahun 2013. Kemudian, pada tahun 2021, beliau menjadi wanita pertama yang dilantik sebagai ahli Biro Politik HAMAS, melalui proses pilihan raya dan bukan pelantikan.
Nama beliau mula menonjol pada 3 November 2006 dalam satu peristiwa apabila beliau mengetuai perarakan wanita yang telah berjaya memecahkan kepungan yang dikenakan oleh tentera Israel penjajah ke atas sebuah masjid di Beit Hanoun, utara Gaza, yang pada ketika itu menempatkan puluhan pejuang Palestin. Tiga hari kemudian, kediamannya telah diserang pesawat tempur rejim penjajah. Percubaan bunuh ke atas dirinya walau bagaimanapun telah gagal namun mengorbankan isteri abangnya serta dua orang anaknya yang berada berhampiran rumah tersebut.
Pada dasarnya, perhatian HAMAS terhadap wanita muncul daripada kepedulian mereka terhadap masyarakat. Keyakinan Ikhwanul Muslimin yang dipimpin oleh Sheikh Ahmad Yassin pada ketika itu, bahawasanya agenda pembangunan ini tidak akan sempurna tanpa kehadiran golongan wanita. Ini bukanlah bermaksud bahawa wanita hanya menjadi sasaran projek-projek yang dilaksanakan oleh gerakan itu, akan tetapi mereka juga perlu terlibat dalam merangka dan melaksanakan projek-projek tersebut.
Artikel ke-17 dalam Piagam HAMAS menyatakan: "Wanita Muslimah memiliki peranan dalam perjuangan pembebasan yang tidak kurang pentingnya daripada lelaki. Di tangan mereka, generasi lelaki terbentuk. Peranan mereka dalam membimbing dan mendidik generasi adalah sangat besar. Oleh kerana itu, musuh sedar akan hal ini, dan mereka melihat bahawa sekiranya mereka berhasil menala dan mendidik (kaum wanita) mengikut acuan yang mereka inginkan, yakni jauh daripada Islam, maka mereka telah memenangi pertempuran."
Oleh yang demikian, bagi HAMAS wanita turut memainkan peranan penting dalam perjuangan pembebasan. Kerana di samping lelaki, mereka juga ada posisi dalam melengkapkan peranan tersebut. Wanitalah yang mendidik generasi dengan acuan pendidikan Islam. Justeru itu, musuh-musuh umat ini tidak akan berhenti ‘merosakkan’ kaum wanita, demi menghalang mereka daripada menjalankan tugas dan tanggungjawabnya di samping berusaha memesongkan matlamat asal mereka.
Minggu kedua Operasi Taufan al-Aqsa berlangsung, 18 Oktober 2023, Jamilah al-Shanti dilaporkan syahid dalam serangan udara yang dilancarkan oleh pesawat rejim Israel ke atas kediamannya. Dengan itu, beliau menjadi anggota ketiga Biro Politik HAMAS yang gugur sejak bermulanya Operasi Taufan al-Aqsa, selepas kesyahidan pemimpin HAMAS, Zakaria Abu Ma’amar dan Jawad Abu Shamala.