All Articles

Isu Palestin: Sudut Pandang Seorang Penterjemah

8 min read
Written by
Lia Maryam
Published on
September 25, 2023

Apa yang bakal dikongsikan dalam artikel ringkas pada kali ini ialah sisi pandang penulis sebagai seorang penterjemah. Walau bagaimanapun, sudut pandang yang dilontarkan dalam penulisan ini adalah hasil daripada pengalaman penulis yang baru setahun jagung dalam dunia penterjemahan, terutamanya berkenaan isu Palestin. 

Ketika kita bercakap soal Palestin, tentunya fikiran kita akan tertancap kepada gambaran suasana peperangan, kezaliman, dan sebuah tanah air yang dijajah. Inilah gambaran yang sentiasa berlegar dalam kalangan masyarakat. 

Dengan situasi yang berlaku pada hari ini, sebenarnya ada banyak fakta baharu yang telah dikeluarkan melalui pelbagai kajian yang telah dilakukan, tetapi tidak berjaya menembusi dinding dunia akademik. Kerana jika diamati segala fakta-fakta ini, Palestin sebenarnya merupakan salah sebuah bahkan mungkin satu-satunya negara yang memiliki sosiobudaya yang unik dan dinamik.

Bahasa adalah antara cabang sosiobudaya, menjadi alat utama yang digunakan dalam komunikasi seharian sesebuah masyarakat. Justeru, dalam dunia penterjemahan, tugas pengalihan bahasa daripada bahasa sumber ke bahasa sasaran tidak hanya mengambil kira aspek bahasa dan makna. Kerana penterjemah perlu memahami budaya bahasa sumber sebelum menterjemahkan sebarang teks. Tugas menterjemah bukan sekadar memindahkan kata, tetapi juga memindahkan perasaan dan nilai budaya bahasa sumber ke bahasa sasaran. Oleh kerana itu, terjemahan yang tepat memainkan peranan penting dalam menanggapi isu Palestin terutamanya dalam konteks komunikasi antarabangsa dengan mendapatkan kefahaman yang lebih baik dalam isu ini.

Antara peranan terjemahan dalam menanggapi isu Palestin adalah ia berfungsi sebagai alat untuk menyebarkan informasi dan kesedaran. Sedar atau tidak, melalui kerja-kerja penterjemahanlah, kita sebagai masyarakat Malaysia memiliki akses untuk memahami maklumat dan berita berkaitan isu Palestin daripada bahasa sumber, iaitu bahasa Arab di samping dapat menyebarkannya dengan lebih meluas di peringkat global. Selain itu, dengan menterjemahkan artikel, laporan, buku dan sumber-sumber maklumat lain daripada bahasa sumber ke bahasa Melayu sebelum dapat digunakan untuk tujuan sesi penerangan kepada masyarakat awam, ia juga dapat meningkatkan kesedaran tentang isu Palestin ini dalam kalangan masyarakat antarabangsa. Namun, dasawarsa ini, maklumat-maklumat sebegini juga sudah lebih mudah diakses dalam bahasa lain seperti bahasa Inggeris yang mungkin lebih difahami masyarakat kita. 

Dalam pada itu, terjemahan juga dilihat berperanan dalam menghadapi propaganda dan salah tafsir yang mungkin berlaku dalam isu Palestin. Hal ini kerana, apabila penterjemah dapat menyediakan terjemahan yang tepat terhadap maklumat yang berasal daripada bahasa Arab, perkara ini secara tidak langsung dapat membantu menyebarkan maklumat yang benar seterusnya mencegah penyebaran berita palsu atau informasi yang terpesong. Sebagai contoh, kenyataan media tokoh-tokoh politik HAMAS yang dikeluarkan dalam laman akhbar pihak musuh sering menjadi bahan sasaran pihak lawan, di sinilah peranan penterjemah untuk melakukan kajian dan bacaan bagi mendapatkan kesahihan berita dan maklumat tersebut. 

Dalam konteks salah tafsir yang berlaku, penterjemah juga sebenarnya memainkan peranan penting dalam memperbetulkan naratif yang kurang tepat berkenaan isu bumi barakah ini. Arus media yang ada pada hari ini banyak menggunakan naratif yang salah. Sebagai contoh dalam konteks warga Palestin ketika mana berdepan dengan rusuhan atau serangan rejim Israel, istilah resistance yang merujuk kepada warga Palestin acap kali diterjemah dengan konotasi negatif; kumpulan penentang. Penggunaan istilah kumpulan pejuang untuk merujuk perkataan resistance adalah lebih sesuai kerana istilah penentang yang digunakan ke atas warga Palestin telah memberikan satu konotasi buruk sedangkan warga Palestin merupakan penduduk asal tanah itu. Oleh kerana itulah, penting bagi seseorang penterjemah memahami sosiobudaya serta latar belakang sejarah sesebuah bangsa tersebut agar hasil terjemahan dapat memberikan makna yang sahih tanpa mengesampingkan nilai asalnya. 

Justeru itu, kerja penterjemahan bukanlah suatu perkara asing dalam isu Palestin. Hal ini kerana, hakikatnya masyarakat Malaysia dan masyarakat antarabangsa umumnya memerlukan kepakaran ini dalam memahami situasi semasa yang sedang berlaku di sana. Pembangunan solidariti di peringkat global tidak akan berlaku sekiranya pelbagai berita dan maklumat yang ada di Palestin, tidak diterjemahkan ke bahasa utama seluruh pelusuk dunia. Lalu, apabila masyarakat antarabangsa dapat memahami dengan lebih baik cabaran dan penderitaan yang dihadapi oleh rakyat Palestin, mereka akan lebih cenderung untuk memberikan sokongan moral, politik dan kemanusiaan kepada Palestin. Benarlah, perancangan terpandu yang melahirkan tindakan strategik tidak akan mampu terhasil tanpa kefahaman yang benar dalam menanggapi isu Palestin yang tiada berkesudahan ini. 

Maka, seseorang penterjemah yang bagus perlu mengambil kira dan mengambil berat aspek kebudayaan dalam teks terjemahannya khususnya isu Palestin, supaya pembaca yang membaca teks terjemahan tersebut dapat menikmati hasilnya dengan baik selain membantu mereka untuk lebih menghayati realiti sebenar yang memerlukan mereka untuk bertindak.