All Articles

Israk Mikraj & Masjid al-Aqsa: Ikatan Yang Tiada Noktah

8 min read
Written by
Sabrina Suhaimi
Published on
January 19, 2023

Israk Mikraj merupakan peristiwa dalam kalendar Islam yang sangat dekat dengan jiwa para muslim. Selain terikat dengan sirah Nabi Muhammad SAW, Israk Mikraj merupakan satu keajaiban yang bukan sahaja membuktikan kuasa Allah SWT tetapi turut mengangkat kedudukan Masjid al-Aqsa. 

Jom kita ulangkaji secara ringkas berkenaan Israk Mikraj yang berlaku pada malam 27 Rejab!

  1. Israk Mikraj merupakan peristiwa ajaib yang menyaksikan perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Sidratul-Muntaha dengan tunggangannya, Buraq.
  2. Perkataan Israk Mikraj membawa maksud dua perjalanan Nabi Muhammad SAW, iaitu:some text
    1. Israk – perjalanan peringkat pertama di bumi, bermula dari Mekah ke Masjid al-Aqsa (Baitul Maqdis).
    2. Mikraj – perjalanan peringkat kedua iaitu bermula dari Masjid al-Aqsa ke Sidratul Muntaha.
  3. Kisah perjalanan pertama Nabi Muhammad SAW telah diceritakan di dalam surah al-Israa’, ayat satu:

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

  1. Perjalanan kedua pula direkodkan di dalam surah an-Najm, ayat 11 hingga 17:

Hatinya tidak mendustakan apa yang dilihatnya. Maka apakah kamu hendak membantahnya tentang apa yang dia lihat itu? Padahal sesungguhnya dia telah melihatnya sekali lagi. Di sisi Sidratul Muntaha. Yang di sisinya ada syurga tempat kembali. Tatkala Sidratul Muntaha itu diliputi oleh sesuatu yang meliputi. Tidak berpaling penglihatan matanya dan tidak dia melampui batas.

Menariknya, peristiwa Israk Mikraj tidak terhenti setakat ini kerana hubungannya dengan Masjid al-Aqsa lebih daripada apa yang telah dirincikan di atas. Malah, peristiwa tersebut sebenarnya adalah bukti kepentingan Masjid al-Aqsa demi pembebasan Baitul Maqdis. 

Telah direkodkan bahawa dalam peristiwa Israk Mikraj, Nabi Muhammad SAW telah bertemu dengan para nabi dan rasul, malah turut mengimami mereka di dalam solat. Difahamkan solat jemaah itu didirikan di dalam Masjid al-Aqsa dan pertemuan Nabi Muhammad SAW dengan para nabi serta rasul merupakan simbolik kepada penyerahan tampuk pimpinan ummah kepada Baginda.

Detik istimewa itulah yang disifatkan sebagai turning point bagi seluruh umat Islam untuk bersaksi bahawa Nabi Muhammad SAW adalah pesuruh Allah SWT. Tidak cukup dengan itu, Masjid al-Aqsa merupakan indikasi kepada akidah umat Islam sebagaimana keajaiban inilah yang mengukur kepercayaan Saidina Abu Bakar RA terhadap Muhammad SAW dan keesaan Allah SWT sehingga beliau dikurniakan dengan gelaran as-Siddiq:

Apabila orang menyatakan kepadanya apakah dia percaya keterangan Nabi Muhammad SAW bahawa Baginda tadi malam solat di Masjid al-Aqsa, beliau telah menjawab dengan jawapannya yang terkenal, “Jangankan keterangannya bahawa dia telah solat di Masjid al-Aqsa, bahkan keterangannya yang lebih daripada itu, keterangannya bahawa dia baru saja kembali dari langit dan membawa berita langit, saya pun percaya. Saya percaya!”.

Seperkara yang menarik berkaitan Masjid al-Aqsa dan Israk Mikraj ialah menerusi ayat pertama surah al-Israa’, dapat kita kenal pasti bahawa masjid yang menyaksikan peristiwa bersejarah dalam hidup Nabi Muhammad SAW merupakan pusat barakah berdasarkan perkataan ‘sekelilingnya’:

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Jika kita perhatikan pula sebaris ayat yang bermula dengan ‘Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya’ jelas menunjukkan bahawa kawasan di sekitar Masjid al-Aqsa iaitu seluruh Baitul Maqdis merupakan kawasan yang diberkati dan pusatnya ialah Masjid al-Aqsa.

Ikatan antara Masjid al-Aqsa dan Israk Mikraj cukup dijelaskan di dalam al-Quran dan jika hancur Masjid al-Aqsa, maka hancurlah juga akidah umat Islam kerana tergamak membiarkan ia rebah di dalam cengkaman Israel dan rejim Zionis. 

Inilah masanya untuk bangkit bersama memperjuangkan pembebasan Palestin agar Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa terus gah berdiri di muka bumi. Sesungguhnya Allah SWT sentiasa melindungi orang yang teraniaya dan menjanjikan kejayaan buat mereka yang berusaha mengubah masa depannya: 

Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu. – Surah Muhammad, ayat 7