All Articles

Israel Tidak Pernah Serius Untuk Gencatan Senjata

Written by
Sabrina Suhaimi
Published on
March 21, 2025

Selepas mereka menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan ke semenanjung Gaza pada awal Mac dan diteruskan dengan sekatan terhadap bekalan elektrik sehingga menjejaskan sumber air bersih, rejim Zionis menjerut leher penduduk Palestin dengan serangan mengejut pada 18 Mac, minggu ketiga Ramadan.

Serangan terbaharu itu merupakan serangan berskala besar sejak gencatan senjata fasa pertama dilancarkan pada 19 Januari. Ia merentap ketenangan penduduk Palestin di semenanjung Gaza, begitu juga harapan untuk membangunkan semula tanah air mereka mengikut garis masa yang disepakati HAMAS dan Israel. 

Gencatan Senjata Wayang Israel 

Enam minggu yang dipersetujui HAMAS dan Israel bukan sekadar untuk melancarkan proses pertukaran tawanan tetapi juga sebagai ruang kepada rejim Israel untuk berundur dari semenanjung Gaza sepenuhnya selepas pengunduran sejauh 700 meter dari sempadan Israel-Gaza dalam fasa pertama.

Rupanya enam minggu ‘tidak cukup’ untuk Israel apabila pihak AS yang diwakili oleh Steve Witkoff di Timur Tengah mencadangkan kepada HAMAS lanjutan tempoh fasa pertama gencatan senjata. Bagaimanapun, cadangan itu ditolak kerana pada hemat HAMAS, syarat fasa pertama dipenuhi oleh kedua-dua pihak. Maka, masanya untuk melangkah ke fasa kedua gencatan kedua. 

Di sinilah Israel menggunakan alasan HAMAS menolak cadangan AS dan enggan membebaskan tawanan Israel untuk menjustifikasikan serangan terbaharu di semenanjung Gaza. 

Secara logiknya, mengapa Israel mahu melanjutkan tempoh gencatan senjata? Kerana Netanyahu tidak pernah terfikir untuk berputus asa mendapatkan semenanjung Gaza. 

Rundingan fasa kedua yang sepatutnya bermula pada awal Februari, sengaja dilewat-lewatkan oleh Netanyahu sehingga awal Mac. Begitu juga tentera Israel yang sepatutnya berundur dari Koridor Philadelphia dalam tempoh awal 8 hari fasa pertama, sebaliknya mereka melanggar perjanjian gencatan senjata tersebut.

Tindak tanduk mereka sepanjang fasa pertama sudah cukup mencerminkan niat sebenar rejim Israel yang tidak mahu berundur dari semenanjung Gaza sebagaimana yang disepakati. Kerajaan Israel hanya bersetuju dengan pengunduran dalam fasa pertama kerana Netanyahu mahu lari dari desakan pelbagai arah – rakyatnya sendiri, lagi-lagi ahli keluarga tawanan di Gaza; kerajaan Israel yang mula berpecah pendapat berkaitan gencatan senjata dan pembebasan tawanan; pihak antarabangsa dan masyarakat dunia; begitu juga Trump yang mengugut negara-negara di Timur Tengah tanpa merincikan sasarannya, “All hell will break out in the Middle East.”

Pun begitu, Trump menjanjikan bahawa tentera Israel akan menyerang semenanjung Gaza apabila tamat fasa pertama. Disebabkan itu, Trump memberitahu dia tidak yakin objektif gencatan senjata dapat dicapai dan Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich kekal di dalam kabinet Israel sehingga kini kerana percaya Netanyahu dan Trump akan melunaskan janji mereka. Jika tidak, Smotrich akan menyandang jawatan mantan bersama-sama Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir yang meletak jawatan pada Januari 2025 susulan tidak berpuas hati dengan keputusan Netanyahu untuk menerima gencatan senjata.

Objektif Asal Perang

Insiden yang berlaku pada 18 Mac 2025 mencerminkan pencabulan Israel ke atas perjanjian gencatan senjata di Gaza sebanyak lebih 900 kali. Gila bukan? Tapi itulah realitinya, Israel buat pelbagai onar di Gaza – membunuh penduduk Palestin, menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan, memutuskan bekala elektrik sehingga menjejaskan sumber air bersih – tetapi tetap lemparkan batu sembunyikan tangan.

Walhal, angka kesyahidan semakin menghampiri 50,000 orang sejak 7 Oktober 2023. 

Israel tidak pernah serius untuk memastikan gencatan senjata di Gaza benar-benar berlaku. Sejak awal lagi, Netanyahu sudah berazam untuk ‘mengosongkan’ Gaza daripada HAMAS, begitu juga penduduk Palestin – inilah yang menjadi jawapan kepada tindakan ganas Israel di Palestin sejak 1948 dan 1987.

Tuduhan yang dilemparkan ke atas HAMAS dengan dakwaan mereka sebagai entiti yang perlu bertanggungjawab dalam serangan terkini tidak wajar dihadam sehingga melahirkan satu cerita yang menolak kebenaran. Keputusan yang diambil oleh pihak HAMAS menunjukkan ketelusan mereka dalam perjanjian gencatan senjata yang dimeterai pada Januari 2025. Tetapi Israel dan AS pula memilih untuk mencabuli perjanjian tersebut dan meletakkan seluruh penduduk Palestin di semenanjung Gaza di hujung tanduk dan tawanan Israel di dalam posisi yang berisiko.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan, situasi sekarang mengheret kita back to square one.