All Articles

Israel: Sebuah Projek Penjajahan Barat di Palestin

8 min read
Written by
Haikal Zulkefli
Published on
January 25, 2023

Israel telah ditubuhkan pada 1948 apabila Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 181 telah mengilhakan Palestin kepada dua wilayah; Palestin dan Israel. Namun, disebabkan beberapa siri peperangan yang berlaku di antara negara-negara Arab dan Israel yang menatijahkan kekalahan kepada negara-negara Arab dan Israel telah menjajah majoriti kawasan Palestin serta menjadikan Israel sebagai wilayah tunggal di atas tanah Palestin yang dijajah. 

Tidak seperti negara lain, Israel tidak menerima idea kepelbagaian budaya (multiculturalism) dan kepelbagaian etnik (multi-ethnicity) dengan hanya mengiktiraf Judaisme sebagai agama rasmi dan bahasa Ibrani sebagai bahasa rasmi. Identiti ini telah membentuk polisi domestik dan polisi luar Israel. Apabila kita melihat isu ini dari kaca mata orang Arab, Israel enggan untuk berundur dari wilayah Palestin yang dijajah dan tidak menerima sebarang penyelesaian yang dicadangkan. Ini kerana kekuatan Israel sendiri terhadap musuh mereka dan sokongan antarabangsa yang tidak berbelah bahagi telah menjadikan isu ini semakin teruk dan tiada harapan untuk sebarang penyelesaian.

Pihak Barat Menyokong Mendirikan Negara Yahudi

Yahudi telah hidup dalam pelarian hampir 2000 tahun selepas dihalau oleh kerajaan Babylon dan mereka berimpian untuk kembali semula ke Palestin, di mana mereka mengatakan bahawa ia adalah tanah dijanjikan Tuhan. Impian mereka ini hanya sekadar mimpi sehingga penghujung kurun ke-19 apabila Pertubuhan Zionis Antarabangsa (WZO) ditubuhkan.

Objektif utama WZO ditubuhkan adalah untuk mencari tempat untuk dijadikan sebuah negara Yahudi  yang bertebaran di seluruh dunia. WZO lebih kepada sebuah gerakan nasionalis berbanding gerakan keagamaan, tetapi mereka menggunakan perjanjian di dalam Kitab Perjanjian Lama sebagai alat untuk mempengaruhi orang Yahudi untuk menyokong gerakan mereka. Di dalam Kitab Perjanjian Lama, ada ayat yang menyatakan,

“I will establish your borders from the Red Sea to the Mediterranean Sea, and from the desert to the Euphrates River. I will give into your hands the people who live in the land, and you will drive them out before you” (Exodus, 23:31)

Jika dilihat kepada satu persatu ayat di atas, mereka percaya bahawa Palestin telah dijanjikan kepada Nabi Ibrahim dan keturunannya. Kemudian orang Arab telah menangkis dakwaan ini dengan mengatakan jika tanah ini diberikan kepada Nabi Ibrahim, orang Arab juga boleh membuat tuntutan yang sama ke atas Palestin kerana mereka juga keturunan Nabi Ibrahim. 

Menolak sebarang aspek keagamaan, penubuhan negara bagi orang Yahudi di Palestin adalah sebahagian daripada agenda penjajah yang dimulakan oleh Napoleon pada 1799. Dia mensasarkan untuk mendapat sokongan dari orang Yahudi, menggunakan orang Yahudi sebagai perisik di seluruh dunia dengan membina semula kuil Yahudi di Jerusalem, membolehkan orang Yahudi untuk kembali ke Palestin dan menjadi ancaman kepada British yang berada di rantau tersebut. 

Selepas Napoleon menyerang ‘Akka (Acre) pada 1799, sebuah akhbar Perancis, Le Moniteur Universel, telah menulis tentang Napoleon Bonaparte telah memanggil semua orang Yahudi di Afrika dan Asia untuk bersama-samanya untuk membina semula kuil lama di Jerusalem. Namun, apabila Napoleon mengalami kekalahan, perancangannya tidak terlaksana. 

Selain daripada Perancis, Rusia dan Jerman yang menunjukkan minat terhadap Palestin, British juga menyimpan hasrat yang sama untuk menguasai wilayah Palestin. Sekitar tahun 1840, rakyat Britain terdiri dari pelbagai latar belakang pekerjaan seperti ahli politik, wartawan, kerani, dan pegawai kerajaan mula berusaha untuk mendirikan tanah air Yahudi secara lantang.  

Pada tahun 1877, Perdana Menteri Britain iaitu Benjamin Disraeli telah menulis bahawa Yahudi akan menjadi sebuah negara di Palestin di bawah telunjuk British selama 50 tahun. Untuk melindungi kepentingan strategik dan ekonomi mereka, British mengubah kehendak agama kepada peluang dan membuka konsulat British di Baitul Maqdis pada 1838. Palestin dilihat sebagai natural buffer kepada Mesir dan pintu masuk ke Iraq. Selain itu, Palestin adalah kawasan yang strategik untuk melindungi India dan mudah juga untuk mereka mengawal laluan perdagangan di Terusan Suez, yang memendekkan jarak perjalanan antara London dan India sekurang-kurangnya 4000 batu.

British merasakan idea mereka untuk menempatkan orang Yahudi di Palestin adalah satu tindakan yang bijak kerana jika Palestin menjadi penempatan Yahudi, maka ia mampu menjadi penghalang kepada cita-cita pemerintah Mesir, Muhammad Ali untuk menguasai Timur Tengah. Sebuah negara Yahudi adalah idea yang baik untuk British kerana jika kuasa lain menguasai Palestin yang dianggap sebagai cordon sanitaire, ia mampu memotong hubungan antara British dan India. Itulah salah satu sebab kenapa British bertindak menguasai Mesir pada 1882 selepas Muhammad Ali bersetuju dengan terma dalam London Convention pada November 1840. 

Pada penghujung kurun ke-19 dan awal kurun ke-20, sokongan Barat terhadap penubuhan negara Yahudi mula menampakkan hasil. Theodor Herzl menyebut dalam bukunya pada 1896, di mana dia menghantar permohonan untuk mendapatkan Cyprus dan Semenanjung Sinai termasuk El-Arish, tetapi perancangan ini ditolak oleh kerajaan British. Untuk memujuk Herzl, British menawarkan kawasan sebesar 13,000 km persegi di Uganda sebagai koloni Yahudi. Namun, Herzl dan ahli Pertubuhan Zionis Antarabangsa (WZO) menolak tawaran itu dan hanya fokus kepada Palestin.

Herzl juga ada menyebut alternatif selain dari Palestin; iaitu Argentina. Ditaja oleh Maurice de Hirsch, perancangannya untuk menubuhkan autonomous region untuk imigran Yahudi tetapi perancangan ini gagal. Maka, Palestin terus menjadi pilihan Zionis. 

Kita melihat bahawa Israel telah diasaskan oleh British dan disokong oleh kuasa Barat. Barat berhajat untuk mendapatkan harta orang Yahudi tetapi tidak ingin bersama orang Yahudi itu sendiri. Britain, Perancis dan Jerman cuba memanfaatkan harta orang Yahudi dan pulangannya mereka menyokong penubuhan Israel. Tambahan pula, mereka menggunakan Yahudi sebagai alat untuk melindungi kepentingan mereka di Timur Tengah. 

Ketika Perang Dunia Pertama, British melihat Jerman dan Rusia cuba untuk mendapatkan sokongan orang Yahudi sebagai kuasa fiskal. Jerman dan Rusia masing-masing telah berhubung dengan orang Yahudi di Amerika Syarikat untuk mempengaruhi pentadbiran Amerika Syarikat. Bimbang melihat Jerman dan Rusia begitu agresif dalam melobi, maka British pun menghubungi golongan elitis Yahudi di Amerika Syarikat untuk memaksa mereka menjadi sekutu dalam perang. Sebagai timbal balik, mereka mengalu-alukan aspirasi Zionis untuk mendirikan sebuah negara Yahudi di Palestin. 

Akhirnya, British telah menarik sokongan orang Yahudi bersama mereka dan terus memberi mereka sebuah negara  melalui Deklarasi Balfour yang tertulis, 

“1– His Majesty’s Government accepts the principle that Palestine should be reconstituted as the National Home of the Jewish People. 2– His Majesty’s Government will use its best endeavours to secure the achievement of this objective and will discuss the necessary methods and means with the Zionist Organisation.”

Selain itu, sebuah ‘tanah air’ untuk orang Yahudi juga disebut dalam terma Persidangan Keamanan Paris, di mana ia dipersetujui oleh semua yang hadir  dan sama juga dengan terma ketika Persidangan San Remo yang dipersetujui oleh Kuasa Bersekutu yang terdiri dari Britain, Perancis, Itali dan Jepun yang bukan sahaja menerima deklarasi yang dibuat tetapi terus memaksa untuk implementasinya. 

Israel: Projek Penjajahan Yang Gagal?

Selepas 75 tahun Israel ditubuhkan,  ada yang menganggap Israel adalah sebuah projek penjajahan yang gagal. Zionis mungkin merasakan impian mereka untuk menghalau orang Arab Palestin dari tanah mereka itu telah tercapai sehingga pemimpin mereka begitu yakin dengan perancangan mereka. 

Seperti apa yang pernah diucapkan oleh Golda Meir,

“There were no such things as Palestinians… They did not exist”

Jika dilihat secara umum, Israel telah berjaya dalam perancangan mereka dengan kekuatan ketenteraan dan keselamatan, kemampanan ekonomi dan teknologi dan semangat ultranasionalisme yang menjadi anutan sebahagian pendatang haram Israel. Tetapi, ramai yang mengatakan mereka hanya berjaya menguasai tetapi tidak mampu mengendalikan dengan baik. 

Dalam hal ini teringat ungkapan Patrick Wolfe, seorang ahli sejarah dalam satu tulisannya,

“Settler colonies were (are) premised on the elimination of native societies… The colonisers come to stay: invasion is a structure not an event”

Pertumbuhan demografi Arab Palestin terus kekal di Palestin dan kawasan mereka yang terjajah dan sebahagian besar dari mereka adalah pejuang yang mempertahankan Palestin sejak 1948. Jika merujuk kepada ungkapan Wolfe, Zionis gagal untuk menghapuskan Arab Palestin yang merupakan orang asal di Palestin. Malah, Israel makin tersepit kerana orang Arab yang berada dalam kawasan Palestin yang terjajah telah mula bangkit menentang Israel dari dalam. 

Untuk melihat secara adil, keadaan rakyat Palestin juga berada dalam keadaan yang berpecah dan gerakan kebangsaan Palestin tiada strategi jangka masa panjang sehingga muncul kumpulan-kumpulan anak muda yang menggunakan pendekatan progresif tetapi dianggap radikal oleh Israel dalam membebaskan Palestin dari penjajahan Israel seperti kumpulan The Lions’ Den.

Jika melihat kepada semua ini, tidaklah bermakna bahawa keamanan di Palestin tidak akan dapat dicapai. Namun begitu, selepas tujuh dekad Zionis cuba untuk menghapuskan orang Arab dan menggantikan dengan orang Yahudi, Zionis menghadapi ketidakstabilan dalam projek penjajahan mereka di abad ke-21 ini. Edward Said pernah menulis tentang ini, 

“Zionism won the political battle for Palestine in the international world in which ideas, representation, rhetoric, and images were at issue.”

Cuma Zionis telah ‘kalah’ dalam pertempuran pada hari ini, di mana ia memberi harapan yang baru kepada mereka yang berjuang untuk keadilan bagi rakyat Palestin. 

Konklusi

Kita dapat melihat bahawa Israel telah ditubuhkan oleh Barat atas beberapa faktor. Sebelum kita membincangkan lebih dalam, ia perlu diakui bahawa Yahudi memainkan peranan yang penting dalam menubuhkan Israel, walaupun sumbangan sangat kecil. Melalui kajian yang telah dilakukan, dapat disimpulkan Israel adalah sebuah projek yang digagaskan oleh British dan disokong oleh kuasa Barat yang lain. 

Pihak Barat sebenarnya hanya ingin mengaut keuntungan dari orang Yahudi yang ketika itu bertelagah atas kepentingan mereka untuk menguasai Timur Tengah. Apabila Perancis gagal untuk melawan British untuk mengeksploitasi orang Yahudi, Stalin yang merupakan pemimpin Soviet pula cuba menggunakan taktik yang sama seperti British dengan menyokong penubuhan Israel pada 1948 dengan tujuan untuk memecahkan monopoli British di Timur Tengah. 

Selain itu, Amerika Syarikat menyokong penubuhan Israel kerana simpati mereka terhadap Judaisme dan kepercayaan mereka kepada tuntutan di dalam Kitab mereka berkaitan Palestin.

Faktor lain yang menyebabkan Eropah menyokong Israel adalah untuk ‘membersihkan’ masyarakat Eropah dari orang Yahudi. Ketika itu, sentimen anti-semitisme telah memuncak sekitar kurun ke-19 dan kurun ke-20. 

Kita tidak juga melupakan faktor lain bahawa diaspora Yahudi di bawah kepimpinan Zionis cuna untuk menubuhkan sebuah negara di atas tanah yang kononnya mereka pernah duduki dan dihalau 2000 tahun yang lalu. Zionis menggunakan semua asetnya untuk mempengaruhi British supaya mereka dapat menubuhkan Israel dan akhirnya dengan segala usaha yang dilakukan, Israel telah tertubuh pada 1948.