All Articles

Israel: ‘Negara’ yang Tidak Mempunyai Perlembagaan

8 min read
Written by
Haikal Zulkefli
Published on
May 22, 2023

Israel adalah salah satu dari lima buah negara yang tidak mempunyai perlembagaan bertulis secara rasmi, di mana negara-negara tersebut adalah New Zealand, Arab Saudi, United Kingdom dan Kanada. 

Jika menurut Declaration of Independence Israel,  ia secara terang menyatakan akan mengeluarkan satu perlembagaan rasmi sebagai bukti penubuhan Israel yang sah,

 “…regular authorities of the State in accordance with the Constitution which shall be adopted by the Elected Constituent Assembly not later than the 1st October 1948, the People's Council shall act as a Provisional Council of State, and its executive organ, the People's Administration, shall be the Provisional Government of the Jewish State, to be called "Israel".

Tapi sehingga kini, mereka masih tidak mempunyai satu perlembagaan yang sah untuk digunakan dalam menjalankan sistem demokrasi di Israel. Pemimpin Zionis ketika itu berbincang selama beberapa bulan tetapi menemui jalan buntu. 

Sejarawan Yahudi, Anita Shapira telah menulis dalam bukunya, Israel: A History:

“It rapidly became clear that…no constitution would be enacted; instead the Knesset would enact a series of Basic Laws that would in time be combined into a constitution” 

Jadi, apa yang berlaku dengan idea perlembagaan Israel dan bagaimana dengan kekurangan ini telah membawa Israel ke lembah krisis reformasi badan kehakiman sekarang?

Apakah Makna Perlembagaan?

Sebelum kita pergi lebih dalam lagi, mari kita lihat dulu apakah makna perlembagaan yang kita sedang bincangkan. 

Menurut International Institute For Democracy and Electoral Assistance (IDEA), perlembagaan merupakan merupakan undang-undang tubuh atau asas sesebuah kerajaan. Perlembagaan merupakan satu koleksi atau dokumen yang menggariskan institusi-institusi kerajaan, hak-hak rakyat, serta had dan tanggungjawab kepada mereka.

Secara amnya, perlembagaan sesebuah negara melambangkan nilai-nilai kebangsaan yang diutamakan di dalam negara berkenaan. Negara yang mementingkan kebebasan dan hak asasi manusia akan memperuntukkan perkara-perkara berkenaan di dalam perlembagaannya. Begitu juga jika negara yang mengutamakan nilai kerohanian dan keagamaan akan memuatkan fasal berkenaan agama di dalam perlembagaannya itu.

Ada cara yang berbeza perlembagaan boleh mengehadkan kuasa sesebuah kerajaan. Ia boleh dipisahkan kepada legislatif, eksekutif dan mahkamah yang menjadi peranan kepada kerajaan supaya ia boleh menjadi semak dan imbang antara satu sama lain.

Kenapa Israel Tidak Membuat Perlembagaan?

Perdana Menteri Israel yang pertama, David Ben-Gurion pernah menyatakan,

“recognized the importance of a constitution as a central symbol of a state that educates its citizens to recognize the rule of law and the principle of equality before the law”

Ben-Gurion sebenarnya tidak mampu untuk mencapai kata sepakat bersama pengasas Israel yang lain. Ini mungkin lima sebab kenapa ia tidak terjadi:

1. Ben-Gurion percaya kepada peraturan majoriti yang tidak dikawal

Pada Januari 1950, di mana mereka membincangkan sama ada perlu atau tidak untuk merangka sebuah perlembagaan, Ben-Gurion telah menyampaikan ucapan yang menentang perbincangan tersebut.

“Would our people agree to a situation in which seven judges…can cancel laws that the people desire? Only the nation determines the constitution; that is, a constitution is what the people want and decide after an open inquiry and a vote.”

Penggubal undang-undang Israel membuat keputusan untuk membentuk kerajaan mereka menggunakan sistem British, di mana British tidak mempunyai perlembagaan.

Mereka beranggapan model perlembagaan Amerika Syarikat, yang memberikan kuasa kepada Mahkamah Tinggi untuk membatalkan sebarang undang-undang yang tidak mengikuti perlembagaan. 

Ben-Gurion lebih mempercayai sokongan majoriti untuk menentukan undang-undang Israel berbanding merangka perlembagaan. 

2. Tidak mempunyai perlembagaan selaras dengan kepentingan Ben-Gurion dan Mapai Party 

Menurut seorang profesor dari George Mason University Law School, Eugene Kontorovich, pertimbangan politik juga memainkan peranan yang penting dalam percaturan Ben-Gurion. Kontorovich pernah membuat kenyataan apabila diwawancara oleh Jerusalem Post,

“Remember, [Ben-Gurion’s party] Mapai held power for 40 years. A constitution would introduce major restrictions to his own power”

3. Kebanyakan pendatang Yahudi ketika itu masih belum ada di Israel

Menurut Naib Presiden Israel Democracy Institute, Suzie Navot, sebab lain para pengasas kepada Israel tidak merangka perlembagaan adalah kebanyakan imigran Yahudi belum melakukan aliyah ke Palestin. Ia adalah satu tindakan yang kurang bijak untuk merangka perlembagaan tanpa penyertaaan rakyat sendiri.

4. Ben-Gurion mahu elakkan perpecahan yang besar antara parti agama dan sekular

Parti keagamaan menyatakan bahawa orang Yahudi sudah mempunyai “perlembagaan” iaitu kitab Tanakh/Taurat (yang telah diselewengkan) dan tiada keperluan untuk buat perlembagaan yang ditulis oleh manusia. 

Selain itu, pada 1949, Israel telah muncul dari War of Independence, di mana ia bermula ketika lima negara Arab bersatu untuk menentang penjajahan Israel. Disebabkan ancaman ini, ia sangat penting kepada Ben-Gurion untuk memelihara kesatuan dalaman. Dia tidak mahu mengambil risiko apabila cuba merangka perlembagaan dalam keadaan yang Israel anggap getir itu.  

Bagaimana Ketiadaan Perlembagaan Ini Membawa Kepada Krisis Di Israel?

Menurut Profesor Yaniv Roznai, pengarah Rubinstein Centre for Constitutional Challenges di Reichman University, disebabkan Israel tidak mempunyai perlembagaan yang mendefinisikan hubungan antara legislatif, kehakiman dan eksekutif,

 “Every branch tries to think towards its own end. The very fact that we don’t have acceptable rules of the game is the reason for all the problems. If we had a proper constitution with a proper Bill of Rights and judicial review, 90% of the problems would have disappeared” 

Krisis yang dihadapi oleh Israel kini adalah kerana kuasa Mahkamah Agung Israel tidak mempunyai sempadan kuasa di antara Eksekutif dan Legislatif yang menyebabkan kuasa mahkamah terbatas dan menjadi berpihak kepada kelompok tertentu. 

Kelompangan ini digunakan oleh ahli politik untuk menjadikan setiap keputusan atau pun dakwaan mahkamah ke atas mereka ditarik serta-merta, dan ia menunjukkan bahawa mahkamah tidak telus dan kuasanya terbatas.