All Articles

Implikasi Pembunuhan Ismail Haniyyah: Bacaan Awal

Written by
Sabrina Suhaimi
Published on
August 3, 2024

Kesyahidan Ismail Haniyyah menjadi antara titik penting di dalam serangan zionis ke atas Gaza yang memasuki hari ke-299 hari ini. 

Pemergian Ismail Haniyyah telah disambut dengan seruan-seruan yang dilaungkan oleh pihak penentang penjajahan di Palestin. Laungan untuk mengadakan mogok, ditambah lagi dengan berbalas serangan antara Hizbullah dan Israel menjadi antara titik-titik yang bakal mencetuskan sesuatu di kemudian hari. 

Walaupun sehingga saat penulisan ini ditulis masih tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab ke atas pembunuhan Ismail Haniyyah di Tehran, tetapi seluruh dunia mula menunjuk kepada Israel. 

Apa yang cuba dicapai oleh Israel melalui pembunuhan Ismail Haniyyah? Netanyahu ketika awal serangan ke atas Gaza dilakukan mengatakan bahawa terdapat tiga objektif utama mereka menyerang Gaza. 

i) menghapuskan HAMAS, 

ii) mengembalikan semua warga Israel yang berada di dalam tahanan mujahidin dan, 

iii) memastikan selepas HAMAS lenyap, tidak akan ada lagi unsur pengganas yang boleh disebarluaskan dalam kalangan penduduk Gaza, seterusnya menjamin keamanan Israel.

Mereka mengira bahawa dengan membunuh para pemimpin, sesebuah gerakan itu akan mati; dalam konteks ini pergerakan penentang di Gaza. 

Sejarah panjang penentangan membuktikan, setiap kali pemimpin gerakan syahid, gerakan sentiasa akan menghasilkan pemimpin baharu untuk terus memimpin penentangan. 

Apa implikasinya terhadap usaha untuk mencapai gencatan senjata di Gaza? 

Usaha ke arah mencapai gencatan senjata di Gaza berjalan setiap masa. Keengganan pihak penentang untuk menerima syarat zionis bukanlah bermakna mereka sengaja melengah-lengahkan proses perdamaian, tetapi demi memastikan proses itu telus, tanpa menyembunyikan agenda tersendiri. 

Pembunuhan Ismail Haniyyah ini jika benar dilakukan oleh Israel, ia menunjukkan keengganan Israel sendiri di dalam menjalankan gencatan senjata di Gaza. Ia bakal memarakkan api yang lebih besar, menggerakkan ketumbukan yang lebih gah di dalam menentang penjajahan dan bakal menjadikan rundingan menjadi lebih sulit untuk dijalankan. 

Pengaruh Haniyyah di dalam fraksi politik dan gerakan penentangan di Palestin memainkan peranan yang penting di dalam soal mobilasi dan kesatuan gerak kerja. 

Mustahil tindakan musuh terhadap pemimpin gerakan penentangan ini hanya akan dibiarkan pergi bak angin lalu? Sudah pasti akan ada tindakan yang bakal menyusul kemudian.