All Articles

Ilmu dan al-Ma’rifah: Pengistilahan Baitul Maqdis mengikut Nabawiyyah

Written by
Lia Maryam
Published on
February 15, 2023

Ketika mana kita membincangkan perihal pembebasan Masjid al-Aqsa dan Baitul Maqdis secara umumnya, masyarakat Muslim seringkali melihat antara langkah yang penting dalam menuju pembebasan bumi penuh barakah ini adalah dengan hanya memfokuskan pada strategi politik dan ketenteraan. Namun kita terlepas pandang pada pra-syarat kepada kedua-dua strategi ini dalam melengkapkan misi pembebasan. Bahkan pra-syarat inilah yang berfungsi sebagai kompas dalam memandu hala tuju strategi politik dan ketenteraan, dalam usaha membebaskan kota suci Baitul Maqdis daripada sebarang bentuk penjajahan; iaitu melalui strategi persediaan ilmu dan ma’rifah (إعداد العلم والمعرفة). 

Ilmu dan al-Ma’rifah, keduanya merupakan istilah berasal daripada bahasa Arab. Menurut Kamus Dewan Pelajar Edisi Kedua, ilmu bermaksud kemampuan untuk mengetahui atau memaklumi kebenaran dan kenyataan tentang sesuatu. Ma’rifah pula bermaksud keupayaan individu dalam memahami dan menyedari fakta yang berlaku di sekelilingnya, dan kesedaran dalam mendapatkan dan memperoleh maklumat. Manakala menurut Syed Qutb pula, di dalam bukunya Afrahul Ruh, yang merupakan kompilasi risalah yang telah diutuskan as-Syahid kepada adiknya, Fatimah Qutb ketika beliau di penjarakan. As-Syahid meringkaskan al-’Ilm itu sebagai al-Fahmu (understanding), manakala al-Ma’rifah adalah al-Idrak (realization). 

Secara ringkasnya, sesuatu ilmu bakal melahirkan kefahaman dalam diri individu, adapun ma’rifah akan melahirkan sebuah tindakan, yang akhirnya membawa kepada pemikiran strategik dan perancangan strategik. Oleh kerana itu, terdapat perbahasan di mana wujudnya perbezaan di antara ilmu (semata) dan ilmu yang bermanfaat. 

 Persediaan ilmu dan ma’rifah merupakan kunci kepada sesebuah kejayaan. Ianya tidak terhad pada bidang keagamaan sahaja, malah ia juga merangkumi bidang-bidang ilmu keduniaan seperti teknologi, sains, kebudayaan, alam sekitar dan sebagainya. Bayangkan sekiranya semua bidang ilmu tidak didasari dengan kefahaman disiplin ilmu yang benar. Sudah tentu masyarakat tidak akan mampu untuk mencapai tahap yang paling mapan seperti hari ini dalam bidang-bidang khusus tersebut. 

Agama Islam juga mengajarkan para umatnya bahawa ilmu merupakan batu asas dalam pembinaan peradaban manusia. Ianya jelas ketika kita meneliti ayat pertama daripada wahyu yang diturunkan kepada Baginda Rasulullah SAW dalam surah al-‘Alaq. Firman Allah: 

ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِي خَلَقَ

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)” - surah al-’Alaq

Frasa (إقرأ) mengajar kita bahawa pendidikan yang menumpukan pada pembentukan ilmu dan ma’rifah merupakan perkara paling asas dalam membina peradaban manusia. Manakala lima ayat pertama daripada surah ini pula dapat menjelaskan kedudukan ilmu yang berfungsi dalam kehidupan manusia; membaca, menulis serta berfikir. Manusia yang tidak berilmu pengetahuan tidak akan mampu mencapai tahap kemajuan. 

Demikianlah bagaimana Islam memuliakan kedudukan ilmu. Namun, dalam langkah menuju pembebasan tanah suci Baitul Maqdis, di sana terdapat perkara utama dalam pembinaan kerangka ilmu pengetahuan yang tepat. Menurut Prof Dr. Abd al-Fattah el-Awaisi ketika membahaskan berkenaan kedudukan ilmu dan al-Ma’rifah dalam langkah menuju pembebasan kota suci ini, beliau menekankan bahawa penggunaan istilah yang tepat merupakan batu paling asas dalam pembinaan kefahaman ilmu dan al-Ma’rifah khususnya dalam bidang ini. 

Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi keempat, istilah bermaksud perkataan atau rangkai kata yang me­nyatakan sesuatu dengan betul, tepat dan sesuai dalam sesuatu bidang ilmu pengetahuan. Hal ini kerana, sesebuah istilah sangat berkait rapat dengan identiti dan konsep sesuatu perkara. Tambahan lagi, dalam konteks perbincangan ini, penggunaan istilah yang tepat sangat penting kerana ia menggambarkan identiti dan budaya sesebuah agama dan bangsa. 

Sepanjang pengembangan Islam yang disaksikan sejarah dunia, di sana terdapat beberapa istilah yang telah diberikan pada kota suci Baitul Maqdis. Malah, ia bermula sejak sebelum kedatangan Islam lagi. Bahkan, nama-nama tersebut dikatakan mencecah lebih daripada 29 nama. Antaranya ialah Jerusalem, Yabus, Bait El, Elia Capatolina, Elia, Dar al-Salam, Madinah al-‘Adl, Nur Islam, Nur al-Ghasaq, Yarah, Kailah, Irbanah, Evan, Madinah al-Anhar, Madinah al-Wadyan, Rasyalim, al-Masjid al-Aqsa, al-Qaryah, al-Madinah al-Jadidah, al-Zaitun, al-Sahirah, al-Mutahharah, al-Ardh al-Mubarakah, al-Ardh al-Muqaddasah, Baitullah al-Muqaddas, al-Quds al-Mahrusah, al-Quds al-Syarif dan al-Quds. 

Persoalannya, istilah manakah yang lebih tepat penggunaannya dalam merujuk kepada Baitul Maqdis selari dengan langkah strategi yang digariskan Rasulullah SAW dalam misi pembebasan ini? 

Kefahaman istilah Baitul Maqdis

Dalam artikel ini, penulis akan menumpukan pada dua pengistilahan yang sering diguna pakai masyarakat Muslim pada hari ini, iaitu Baitul Maqdis, al-Quds. Tujuannya adalah tidak lain dan tidak bukan bagi memastikan misi pembebasan kota ini daripada kuasa penjajah dapat dilaksanakan dengan cara yang paling tepat, efektif, iaitu dengan mengikuti jalan yang telah dilalui Baginda Nabi SAW dan para sahabat serta generasi selepasnya dalam misi membebaskan Baitul Maqdis. 

Pada jalan inilah, akhirnya telah menatijahkan kejayaan dalam membuka kota suci buat pertama kalinya dalam sejarah umat Islam, iaitu pada zaman Umar al-Khattab (634M) dan kali keduanya di bawah pimpinan Salahuddin al-Ayyubi (1187M).

Berdasarkan kajian yang telah dilakukan oleh Prof Dr. Abd al-Fattah el-Awaisi, definisi Baitul Maqdis berbeza sama sekali dengan definisi al-Quds. Beliau mentakrifkan Baitul Maqdis sebagai sebuah wilayah yang unik dan kaya dengan pelbagai latar belakang sejarah, memiliki kepentingan agama yang signifikan, mempunyai hubungan kebudayaan, tuntutan politik dan agama yang berdaya saing, dan kepentingan antarabangsa yang mempengaruhi seluruh dunia dalam kerangka sejarah serta kontemporari masa depan. 

Menurut beliau juga, ia dicirikan dengan tiga unsur acuan pusat yang saling berkaitan: kedudukan geografinya (tanah dan perbatasan), penduduknya, dan wawasannya yang unik, kreatif dan menyeluruh dalam mentadbir urus tanah dan rakyatnya sebagai model wilayah yang memiliki kepelbagaian agama dan budaya, komunikasi ketamadunan serta keselamatan. Jelaslah berdasarkan kenyataan ini, Baitul Maqdis tidak hanya merujuk kepada sebuah kota sebagaimana yang difahami kebanyakan kita sekarang - al-Quds -, malah, al-Quds hanyalah sebahagian saja dari tanah Baitul Maqdis yang merangkumi beberapa buah kota besar dan kecil serta beberapa desa. 

Umum kita tahu, istilah Baitul Maqdis merupakan frasa yang berasal daripada bahasa Arab (بيت المقْدِس). Ia merupakan istilah nubuwwah (kenabian) yang mulia. Dari sudut kronologi sejarah, istilah ini mula digunakan sejak awal kedatangan Islam di Mekkah, di mana pertama kali digunakan oleh Baginda Nabi SAW, selain istilah Iliya’ (إيلياء). Buktinya, kedua istilah ini mudah ditemui dalam matan hadith-hadith yang disandarkan pada Baginda SAW, dalam merujuk kepada Baitul Maqdis. 

Adapun istilah al-Quds, tidak ditemukan walaupun satu pada mana-mana hadith dalam merujuk kepada Baitul Maqdis secara langsung. Di samping itu, istilah Baitul Maqdis lebih banyak ditemukan dalam lafaz Baginda SAW di dalam hadith berbanding istilah Iliya’. Istilah Iliya’ merupakan istilah yang diberikan pada Baitul Maqdis pada era Romawi Byzantium. Justeru itu, tidak hairanlah mengapa pemilihan istilah Baitul Maqdis lebih banyak digunakan Baginda SAW, terutamanya ia mencerminkan identiti Islam itu sendiri (istilah nabawiyah). 

Namun begitu, selain daripada istilah Baitul Maqdis, disana juga terdapat satu istilah lain yang hampir sama, hanya saja berbeza dari sudut baris. Istilah Baitul Maqdis (بيت المَقْدِسِ) dan juga Baitul Muqaddas (بيت المُقَدَّسُ) adalah dua istilah yang membawa maksud berbeza. Pun begitu, kedua-dua istilah ini seringkali diguna pakai dalam perbualan berkenaan isu Palestin. Daripada kajian yang dilakukan Prof Dr. Abd al-Fattah el-Awaisi, istilah Baitul Maqdis (بيت المَقْدِسِ) merujuk kepada kota suci atau wilayah Baitul Maqdis; istilah nubuwah, di mana istilah Quraniy disebut sebagai al-Ardhu al-Muqaddasah (الأرض المُقَدَّسَة). Manakala istilah Baitul Muqaddas (بيت المُقَدَّسُ) diertikan sebagai Masjid al-Aqsa al-Mubarak. 

Pengertian kedua-dua istilah ini jelas ketika mana diteliti penggunaan kedua-duanya di dalam hadith-hadith yang diriwayatkan berkenaan Baitul Maqdis. Antaranya adalah hadith daripada Abu Darda’ dan Jabir R.A, daripada Nabi SAW bersabda: “Kelebihan solat di Masjid al-Haram berbanding di tempat lain adalah 100 000 kali solat, di masjidku ini 1000 kali solat, dan di Masjid Baitul Maqdis adalah 500 kali solat.” Istilah Masjid Baitul Maqdis di dalam hadith ini jelas merujuk kepada Masjid al-Aqsa, bukan kota suci Baitul Maqdis. 

Adapun di dalam hadith yang diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim, daripada Jabir RA Rasulullah SAW bersabda: “Ketika orang Quraisy mendustakanku, aku berdiri di Hijr (Ismail), lalu Allah memperlihatkan Baitul Maqdis kepadaku. Kemudian aku khabarkan kepada mereka tentang tiang-tiang dari apa yang aku lihat.” Maka di dalam hadith ini, Baitul Maqdis merujuk kepada kota suci atau wilayah Baitul Maqdis, kerana Nabi SAW ketika itu menggambarkan  kota ini (sebagai hujah) kepada kaum Quraisy oleh kerana mereka sudah pernah ke sana untuk berniaga dan menziarahinya. 

Selain daripada istilah Baitul Maqdis, istilah yang masyhur dalam kalangan umat Islam yang dinisbahkan pada kota suci ini juga ialah al-Quds. Jelas penulis kitab al-Takhtit al-Istiratijiah Litahrir al-Qadim Lil Masjid al-Aqsa al-Mubarak (Langkah Strategi Menuju Pembebasan Masjid al-Aqsa al-Mubarak) dinyatakan bahawa istilah al-Quds buat pertama kalinya muncul dalam kalangan umat Islam adalah pada zaman Khalifah al-Ma’mun atau nama sebenarnya Abdullah bin Harun al-Rasyid terutama ketika khalifah tersebut mengunjungi Baitul Maqdis pada tahun 216M (831H) dan seterusnya mengarahkan untuk membaik pulih semula Kubah as-Sakhrah (Dome of The Rock) yang berada di Masjid al-Aqsa. Malah, pada tahun seterusnya, sekeping wang telah dicetak dengan istilah al-Quds terpapar padanya, buat kali pertama dalam sejarah Baitul Maqdis. 

Menurut sumber ini lagi, istilah ini muncul dalam kalangan pembesar pada ketika itu oleh kerana pengaruh para penasihat mereka (Abu Huzayl al-Ilaf dan Ahmad bin Abi Daud) yang beraliran pemikiran Mu’tazilah. Tidak hanya itu, banyak keputusan negara telah diputuskan dengan mengambil kira pendapat mereka yang beraliran ini. 

Seperti yang kita ketahui, aliran fahaman ini menjadi suatu fitnah besar terhadap agama Islam pada era itu. Hal ini kerana, fahaman batil yang menganggap bahawa al-Quran itu adalah makhluk, sudah tentulah ianya bertentangan dengan akidah Islam yang sebenar. Bahkan, menjelang tahun 218H, al-Ma’mun telah ‘memaksa’ rakyatnya untuk menerima fahaman tersebut sebagai pegangan mereka. Sehinggakan mereka yang menolak akan diseksa dan dipenjara, termasuklah Imam Ahmad bin Hanbal. 

Dijelaskan lagi, istilah al-Quds berkemungkinan diambil daripada Yahudi kerana terpengaruh dengan Perjanjian Lama, al-Ishah Kesembilan. Golongan Mu’tazilah adalah golongan yang terperangkap dengan pemikiran logik dan falsafah Yunani, falsafah India dan falsafah Parsi. Jadi, tidak hairanlah mereka terpengaruh dengan intipati perjanjian al-Ishah, kerana sebelum kelahiran Nabi Isa A.S, orang-orang Yahudi sudah biasa menggunakan falsafah Yunani untuk menguatkan agamanya. Perkara ini boleh dikaji dalam Perjanjian Lama. 

Di sisi Yahudi, al-Quds juga memiliki kedudukan yang istimewa, yang membawa beberapa makna. Antaranya, ia merujuk kepada suatu sudut/tempat di dalam Haikal (kuil) yang biasa dimasuki ketua imam mereka setahun sekali. Istilah al-Quds dalam Ibrani diertikan sebagai kudus (kadosh) yang mempunyai keterikatan dengan agama serta kefahaman beragama di sisi Yahudi. Tambahan lagi, mereka juga memanggilnya dengan nama Ursalim al-Quds sebelum menyingkatkan istilah itu kepada al-Quds.

Adapun di peringkat dunia, terutamanya dalam bidang akademik, Baitul Maqdis dikenali seluruh dunia sebagai Jerusalem. Manakala Islamicjerusalem (satu perkataan) pula merupakan satu terminologi yang diperkenalkan oleh Prof. Dr. Abd al-Fattah el-Awaisi melalui bukunya, Introducing the New Terminology of Islamicjerusalem and Its Field of Inquiry yang merujuk kepada konsep baharu. 

Pengistilahan bahasa Inggeris ini menurut Prof. adalah istilah yang paling tepat dalam menterjemahkan istilah Baitul Maqdis. Hal ini kerana, jika menggunakan istilah Islamic Jerusalem (dua perkataan berasingan), ia diertikan sebagai kalimah al-Quds al-Muslimah (القدس المسلمة) di mana القدس ‘Jerusalem’ dan المسلمة ‘Islamic’.  Menurut Prof, pengistilihan ini kurang tepat kerana jika diasingkan, istilah al-Quds القدس boleh dinisbahkan juga kepada bangsa lain (bukan kepunyaan mutlak Muslim), seperti القدس المسيحية dan القدس اليهودية. Menurutnya lagi, pengistilahan yang tepat penting untuk menekankan kewujudan sejarah dan kontemporari Islam di tanah Palestin dan kesahihan pemilikannya ke atas Baitul Maqdis.

Demikianlah, dengan pernyataan-pernyataan yang telah diperjelaskan di atas, nyatanya, pengistilahan yang tepat pada sesuatu perkara bakal melahirkan kefahaman yang benar lagi terpandu. Bahkan seterusnya dapat menghasilkan sebuah tindakan yang berkesan. Seharusnya umat ini perlu membebaskan minda terlebih dahulu daripada sebarang bentuk penjajahan; dengan mewujudkan naratif Islamik tersendiri dan seterusnya berbangga dengan kefahaman yang selari dengan kefahaman yang telah diterapkan Baginda SAW ke dalam diri para sahabat, sehingga isu Palestin tidak hanya menjadi isu bermusim, malah menjadi isu pokok dan terikat erat pada setiap jiwa kaum Muslimin pada ketika itu dengan asbab ilmu yang dimiliki. 

Justeru itu, penggunaan istilah yang betul adalah sangat penting dalam merangka strategi menuju pembebasan Baitul Maqdis. Penggunaan istilah yang tepat juga pada hakikatnya dapat menjamin keselamatan dan hak milik umat Islam secara mutlak, dimana istilah yang tepat bakal merujuk kepada objek yang betul bersama konsep dan identitinya yang jelas. Demikianlah apa yang telah dilakukan Baginda SAW dalam membentuk kefahaman para sahabat dengan persediaan ilmu dan ma’rifah, yang akhirnya telah melahirkan generasi penakluk kota suci ini seperti Saidina Umar bin al-Khattab dan Salahuddin al-Ayyubi.