All Articles

ICJ dan Afrika Selatan: Apa Seterusnya?

8 min read
Written by
Syahmi Afiq
Published on
April 8, 2024

Keputusan ICJ di dalam kes yang dibawa oleh Afrika Selatan terhadap tindakan Israel ke atas Gaza sudah pun keluar beberapa jam yang lalu. 

Terdapat beberapa kekeliruan berkenaan berita ini dalam kalangan kita. 

Ya, kelihatan bahawa ICJ mengenakan tindakan terhadap Israel. Yang menjadi persoalannya, apa tindakan yang dikenakan? 

Sebelum kita pergi lebih jauh, mari kita lihat semula apa sebenarnya yang berlaku di ICJ. 

Pada 29 Disember 2023, Afrika Selatan memfailkan kes terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), sebuah agensi utama kehakiman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 

Kes apa yang difailkan? 

Afrika Selatan memfailkan tuntutan kepada ICJ pada 29 Disember lalu, meminta injunksi terhadap Israel atas alasan serangan rejim zionis ke atas Gaza melanggar Konvensyen Genosid.

Konvensyen Genosid ialah sebuah konvensyen yang membincangkan isu kemanusiaan. 

Ia diterima pakai pada tahun 1948 sebagai tindak balas terhadap kekejaman semasa Perang Dunia II dan berdasarkan Resolusi A G 180(II) pada 21 Disember 1947 iaitu PBB mengakui bahawa genosid adalah jenayah antarabangsa yang melibatkan tanggungjawab nasional dan antarabangsa individu dan negara.

Sejak itu, konvensyen berkenaan telah diterima dengan meluas oleh komuniti antarabangsa dan diratifikasi oleh majoriti besar negara.

Kembali semula kepada Afrika Selatan vs Israel. 

Dipendekkan cerita, setelah bersilat selama hampir sebulan di ICJ, hari ini ICJ mengeluarkan keputusan terhadap tuntutan Afrika Selatan. 

ICJ berpendapat bahawa tidak ada kepastian sama ada apakah benar Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai atau tidak. Dalam masa yang sama, ICJ mengeluarkan penghakiman bahawa perlunya ada perintah kecemasan sementara. 

"Negara Israel wajib mengambil semua langkah di dalam kekuasaannya untuk mencegah berlakunya segala perbuatan yang termasuk di dalam skop Artikel II Konvensyen Genosid," ujar Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Pertuduhan mengenai genosid biasanya mengambil masa bertahun-tahun untuk selesai. Sebagai contoh kes antara Bosnia dan Herzegovina vs Serbia dan Montenegro. Kes mula disebut pada tahun 1993, berlanjutan hingga 2007. 

Mana keputusan untuk melaksanakan gencatan senjata? 

ICJ tidak memiliki kuasa untuk mengarahkan gencatan senjata dilakukan. Kerana apa? Kerana HAMAS dianggap sebagai pelaku bukan negara (non-state actor). 

Apa itu pelaku bukan negara? 

Pelaku bukan negara adalah entiti yang mengambil bahagian atau bertindak dalam hubungan antarabangsa. Mereka adalah organisasi dengan kuasa yang cukup untuk mempengaruhi dan menyebabkan perubahan walaupun mereka tidak tergolong dalam mana-mana institusi negara yang kukuh.

Apakah keputusan ICJ ini satu kemenangan kepada perjuangan Palestin?

Pertamanya, walaupun ICJ itu sendiri tidak mempunyai kuasa untuk memastikan keputusan interim itu dilaksanakan, namun ia mampu mempengaruhi situasi peperangan di Gaza. Israel dan Amerika dalam beberapa minggu terakhir ini sudah pun kelihatan mengeluarkan kenyataan berbeza berkenaan perang di Gaza, dan dengan keputusan ini, sudah pasti ia akan menyebabkan tekanan dunia ke atas kedua buah entiti ini untuk menghentikan perang semakin meningkat.

Ianya menjadi satu batu loncatan, membuka mata kepada dunia bahawa apa yang dilakukan Israel ialah satu kekejaman, dan ia sepatutnya dihentikan segera. 

Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah jangan pernah menghentikan sebaran berkenaan kesedaran dan maklumat tentang Gaza kepada masyarakat sekeliling kita. 

Semakin ramai ambil tahu, semakin ramai akan sedar dan berterusan boleh menebarkan gelombang untuk memastikan pihak berkepentingan menekan kedua entiti melalui apa sahaja cara, menghentikan kekejaman mereka di tanah Gaza. 

Moga Allah SWT mendengar segala doa kita. 

Ya, semoga.