All Articles

Hubungan Arab Saudi dan Iran: Impak Terhadap Israel

8 min read
Written by
Haikal Zulkefli
Published on
July 31, 2024

Pengenalan

Hubungan antara Arab Saudi dan Iran adalah isu yang kompleks dan telah lama dikategorikan kepada persaingan serantau yang mendalam, ketegangan geopolitik, dan perpecahan mazhab. Kedua-dua negara adalah pemain utama di Asia Barat, dengan pengaruh besar ke atas politik, ekonomi dan keselamatan serantau.

Punca utama ketegangan antara Arab Saudi dan Iran adalah perpecahan mazhab mereka. Arab Saudi adalah negara Islam yang bermazhab Sunni, manakala Iran adalah negara yang majoriti penganutnya berfahaman Syiah. Ini telah membawa kepada persaingan lama untuk pengaruh serantau, dengan kedua-dua negara berusaha untuk menyebarkan jenama Islam mereka sendiri dan mendapatkan kawalan ke atas negara Islam lain di rantau Asia Barat.

Satu lagi isu utama ialah perang proksi yang berterusan di Yaman, di mana pakatan yang diketuai Arab Saudi memerangi pemberontak Houthi yang disokong Iran. Iran juga telah dituduh menyokong kumpulan bersenjata lain di seluruh rantau ini, termasuk Hezbollah di Lubnan dan pelbagai militan Syiah di Iraq dan Syria.

Hubungan antara Arab Saudi dan Iran yang bagaikan anjing dan kucing adalah akibat ketegangan geopolitik, termasuk perselisihan pendapat mengenai pengeluaran dan eksport minyak, serta hubungan serantau dengan negara lain seperti Amerika Syarikat dan Israel.

Walaupun banyak percubaan diplomasi dan rundingan, ketegangan antara Arab Saudi dan Iran kekal memuncak, dengan kedua-dua negara terus terlibat dalam retorik dan tindakan bermusuhan antara satu sama lain. Konflik yang berterusan antara kedua-dua negara mempunyai kesan yang ketara terhadap kestabilan serantau, serta pasaran minyak global dan keselamatan.

Pemerhatian: Strategi China Sebagai Mediator Detente Arab Saudi-Iran

Semenjak kebelakangan ini, diplomasi pengantaraan (mediation diplomacy) telah muncul sebagai salah satu teras utama dalam objektif dan amalan dasar luar China, di mana China mula memposisikan diri mereka sebagai pendamai di MENA (Middle East and North Africa). 

Walau bagaimanapun, peranan pengantaraan yang dimainkan oleh China di rantau ini adalah sebahagian daripada strategi yang dirangka mengikut kesesuaian kerangka polisi non-inteference. Oleh sebab itu, usaha pengantaraan China pada konflik yang berlaku di MENA adalah berfokus kepada pengurusan konflik yang membina berbanding penyelesaian konflik itu sendiri.

Detente Arab Saudi dan Iran memberi isyarat kepada peningkatan yang konsisten bagi pengaruh China terhadap wilayah Teluk, di mana Amerika Syarikat telah lama mendominasi kuasa sebagai broker di kawasan tersebut. Konflik antara Arab Saudi dan Iran ini telah memberi kesukaran kepada usaha Amerika Syarikat dan Israel untuk memperkukuhkan pakatan serantau untuk berhadapan dengan Iran atas sebab program nuklear. 

Ini adalah pengalaman pertama kali buat China dalam mencampuri urusan pertelagahan politik di Asia Barat. Bagi China, semua ini adalah untuk membina jaringan di Asia Barat dan menjadi pemain yang signifikan  dalam isu keselamatan di wilayah tersebut, juga memberi tanda kepada kemerosotan pengaruh Amerika Syarikat.  

Satu Analisis Berkaitan Strategi Hubungan Dua Hala Tehran dan Riyadh

Arab Saudi dan Iran adalah musuh tradisi yang mempunyai sejarah yang cukup panjang selama beratus-ratus tahun. Namun, tidak disangka mereka akan menjadi kawan. 

Sejak beberapa tahun yang lepas, China telah membina jaringan ekonomi bersama Iran dan Arab Saudi, di mana kedua-duanya adalah penting sebagai pembekal minyak kedua terbesar di dunia. Cuma inilah pertama kali Beijing masuk campur secara langsung dalam pergolakan politik di Asia Barat. Bagi Iran, ini adalah cara untuk membebaskan negara mereka daripada diplomatic isolation - secara rasmi dapat meleraikan tekanan anti-Iran dan menawarkan Tehran lebih banyak peluang dari sudut ekonomi. 

Bagi Arab Saudi pula, perdamaian ini tiba apabila hubungan antara Washington dan Riyadh, telah bertambah tegang kerana jaminan keselamatan Amerika yang semakin berkurangan dan keputusan Arab Saudi untuk mengurangkan pengeluaran minyak untuk memastikan harga mentah sentiasa tinggi ketika perang Rusia-Ukraine. 

Arab Saudi merasakan sudah sampai masanya untuk mencari jaminan keselamatan selain daripada Amerika Syarikat yang ditadbir oleh Joe Biden. Mereka merasakan dengan menggerakkan kuasa-kuasa besar untuk berlawan sesama sendiri, Riyadh mampu untuk meningkatkan tekanan ke atas Amerika Syarikat di dalam cubaan untuk memperolehi jaminan keselamatan dan kebenaran untuk membangunkan program nuklear. 

Apa Impak China Sebagai Mediator Pendamai Arab Saudi-Iran Kepada Israel?

Sehari sebelum Arab Saudi dan Iran buat keputusan untuk menjalinkan hubungan diplomatik, Riyadh menawarkan untuk menormalisasikan hubungan mereka dengan Israel sebagai pertukaran dengan jaminan keselamatan yang Amerika Syarikat berikan kepada Arab Saudi dan bantuan membangunkan program nuklear. 

Bagi Israel, ia boleh menyukarkan usaha Amerika Syarikat untuk memperkukuhkan hubungan serantau untuk berhadapan dengan Iran. Sebenarnya Amerika Syarikat mahu menjadi broker perjanjian damai antara Arab Saudi dan Israel, di mana ia akan menyuburkan lagi hubungan Israel dan dunia Arab.

Walau bagaimanapun, kebimbangan Israel terutamanya parti pembangkang, bahawa pendekatan Arab Saudi-Iran untuk berdamai akan bertentangan dengan kepentingan Israel adalah meleset. Perdamaian ini boleh menyebabkan Arab Saudi termasuk China mendesak Iran untuk mengambil tindakan yang boleh meningkatkan keamanan dan kestabilan Asia Barat dan ini sebenarnya membantu Israel, kerana sebarang tindakan keganasan yang diambil oleh Iran akan mengakibatkan international isolation

Selain itu, pemulihan semula hubungan antara Riyadh dan Tehran tidak menolak sebarang cadangan yang dikemukakan Arab Saudi. Komitmen Amerika Syarikat dari sudut pertahanan negara boleh mengurangkan ketakutan tersebut dan memberanikan Israel pada saat apabila menjalin semula hubungan Arab Saudi dengan Iran boleh mengubah dinamik persaingan kedua-dua negara.