Gencatan Senjata di Gaza: Apa Yang Menghalang?
329 hari serangan ke atas Gaza berterusan, apa sebenarnya yang menjadi penghalang kepada terhentinya kekejaman ini?
Terbaru, pertikaian terhadap cadangan baru untuk gencatan senjata ditolak oleh HAMAS. Cadangan terbaru yang dikemukakan Israel melibatkan kehadiran secara berterusan tentera Israel di dua koridor yang strategik di Gaza; Koridor Philadelphi dan Koridor Netzarim.
Koridor Philadelphi ㇐ Netzarim: Apa Fungsi Sebenarnya?
Kedudukan kedua koridor ini memungkinkan banyak perkara. Israel mendakwa Koridor Philadelphi digunakan oleh kumpulan penentang, terutamanya HAMAS untuk menyeludup senjata masuk ke dalam Gaza. Manakala koridor Netzarim pula digunakan oleh Israel sebagai pusat kawalan Israel untuk memintas segala pergerakan penentang dan mengawal secara terus semenanjung Gaza.
Koridor Philadelphi, zon penampan yang terletak di sempadan Gaza dan Mesir ini terbentuk melalui perjanjian Mesir dan Israel; yang menjajah Gaza antara 1967 dan 2005. Selepas draf Rancangan Pengunduran 2004 dikemukakan dan pengunduran Israel sepenuhnya dari Gaza pada 2005, Israel dan Mesir bersetuju sempadan Rafah menjadi titik pemisah antara Mesir, Gaza dan Israel. Seksyen yang bersaiz 100 meter lebar dan mengunjur sejauh 14 kilometer; dari Laut Mediterranean hingga ke Kerem Shalom, titik pertemuan sempadan antara Mesir, semenanjung Gaza dan Israel ini menjadi antara perkara penting di dalam rundingan gencatan senjata antara Israel dan HAMAS.
Koridor Netzarim pula terletak di bandar Gaza ialah kawasan yang dicadangkan oleh Israel untuk diwujudkan sebagai zon penampan di dalam Gaza. Koridor ini telah pun wujud sejak kali pertama disebutkan dalam Pelan Lima Jari (Five Finger-Plan) yang diperkenalkan pada 1970-an, bertujuan untuk membahagikan semenanjung Gaza dan membenarkan kawalan penuh rejim Israel ke atas Gaza.
Mengapa dinamakan Netzarim? Asalnya kawasan koridor ini merupakan penempatan warga Yahudi di di Gaza. Apabila Israel berundur sepenuhnya daripada koridor Philadelphi pada 2005, sejumlah 9000 warga Yahudi yang tinggal di 21 buah penempatan di dalam Gaza turut keluar meninggalkan Gaza, termasuklah mereka yang tinggal di Netzarim.
Selepas daripada itu, ada beberapa insiden yang menunjukkan kepentingan kawasan tersebut kepada Israel. Sebagai contoh, serangan Israel ke atas Gaza pada 2008-2009 (Operation Cast Lead/Perang al-Furqan) memperlihatkan fungsi kawasan Netzarim apabila ia menjadi pintu masuk Israel ke Gaza dengan membawa 150 kereta kebal Merkava dan kenderaan ketenteraan yang lain. Penjajahan ke atas kawasan tersebut menyebabkan Israel dapat mengasingkan kawasan bandar Gaza dengan kawasan selatan Gaza dan melemahkan penguasaan mujahidin terhadap kawasan tersebut.
Koridor sepanjang 6 kilometer yang bermula di sempadan Israel mengunjur ke kawasan pantai di selatan Gaza dengan lebar 2 kilometer sekiranya menjadi realiti bakal menjadi peluang besar untuk kerajaan Israel mengawal kehidupan di dalam Gaza. Awal serangan ke atas Gaza berlaku, rejim Israel telah pun mengawal kawasan Netzarim dan membangunkan semula koridor tersebut dengan tujuan untuk membahagikan semenanjung Gaza kepada dua bahagian dan menghalang mereka yang berasal dari utara Gaza untuk kembali semula ke kawasan tersebut.
Kawalan Israel ke atas koridor Netzarim akan membenarkan Israel untuk berterusan memantau dan mengawal pergerakan warga Palestin di utara dan selatan Gaza. Berdasarkan laporan Haaretz, rejim Israel berpandangan bahawa kawalan secara terus di koridor Netzarim perlu dilakukan dalam usaha memastikan senjata dan mujahidin tidak memasuki kawasan utara Gaza sekiranya orang awam dibenarkan untuk balik semula ke Gaza.
Melalui perbincangan pada 25-26 Ogos 2024 yang melibatkan Israel, Mesir dan Amerika Syarikat, Israel menuntut untuk membatalkan Perjanjian Philadelphia dan mengajukan perubahan terhadap beberapa perkara terkait keselamatan sempadan Mesir, Negev dan Gaza diletakkan secara terus di bawah Israel. Dalam masa yang sama, Israel menuntut untuk berterusan meletakkan tentera mereka di koridor Philadelphi dan koridor Netzarim dalam usaha untuk “mengekalkan keselamatan ke atas semenanjung Gaza.”
Terbaru, rejim Israel mula menjalankan projek pembangunan empat buah pos ketenteraan di koridor Netzarim. Tujuannya untuk meletakkan secara terus beratus orang tentera Israel di koridor tersebut. Begitu juga di kawasan Rafah, rejim Israel telah pun membuat jalan baru sepanjang koridor Philadelphi.
Kabinet rejim Israel telah pun memutuskan untuk mengekalkan kehadiran tentera di kedua koridor itu dijadikan sebagai antara syarat perjanjian untuk melepaskan tahanan. Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant satu-satunya yang menentang syarat tersebut.
Penentangan terhadap usul ini oleh Gallant bertitik tolak daripada desakan keluarga tahanan. Di dalam undian tersebut Gallant menegaskan kepada kabinet Israel untuk melihat pengunduran tentera mereka dari koridor Philadelphi sebagai titik tolak untuk “menyelamatkan tahanan yang masih ada di Gaza.”
Gerakan masyarakat sivil di Israel mula mengeluarkan kenyataan mengecam tindakan Netanyahu sebagai “tidak akan pernah melepaskan peluang untuk menggagalkan rundingan gencatan senjata untuk berjaya.”
Einav Zangauker, ibu kepada salah seorang tawanan menyebutkan tindakan kabinet Israel sebagai sebuah “khayalan,’ dan “menunjukkan Netanyahu tidak pernah berminat dengan perjanjian untuk membolehkan para tawanan kembali.”
“Netanyahu memutuskan untuk membunuh semua tawanan yang masih hidup di dalam terowong di Gaza,” antara lain respon yang mengecam tindakan kabinet Israel berkenaan penetapan kehadiran tentera rejim Israel di kedua koridor di Gaza.
Kerana kedua koridor ini, perbincangan berkenaan dengan gencatan senjata masih lagi tergantung. Israel melalui Netanyahu bertegas untuk berterusan meletakkan tentera mereka di kawasan tersebut walaupun HAMAS telah meminta untuk pengunduran sepenuhnya tentera rejim Israel dari Gaza.
Tindak tanduk Netanyahu ini menunjukkan keengganannya di dalam mencapai gencatan senjata di Gaza kerana ia akan mewajahkan satu kegagalan dan kekalahan Israel di tangannya. Serangan yang berterusan ini hanya menjadi sebab untuk dia mencari sokongan demi memanjangkan hayat politiknya di Israel.
Serangan berterusan.
Jumlah kematian semakin meningkat.
Para pemain politik berterusan memainkan bidak catur masing-masing di pentas dunia.
حَسْبُنَا اللهُ وَنِعْمَ ٱلْوَكِيلُ