Gaza Berhadapan Dengan Krisis Kemiskinan Tenaga?
Sejak 2006, rakyat Palestin di Gaza telah menderita akibat daripada krisis tenaga yang semakin teruk disebabkan oleh kepungan yang dilakukan oleh rejim Israel. Penduduk Gaza telah mencari jalan alternatif bagi sumber tenaga yang didanai oleh sumbangan orang ramai, kerajaan dan sektor swasta. Namun, semua ini hanya alternatif jangka masa pendek untuk memenuhi keperluan tenaga dan mereka tetap gagal untuk berhadapan dengan kepungan Israel, sekaligus mengurangkan politik krisis tenaga dan mengekalkan status quo.
Krisis tenaga di Gaza adalah sebuah isu yang agak rumit. Walaupun begitu, kita perlu melihat kepada konteks yang lebih luas dalam memahami dan menyelesaikan krisis ini serta strategi yang digunakan oleh penduduk Gaza termasuklah penggunaan teknologi tenaga solar. Tenaga yang mampan mampu menyelesaikan pelbagai masalah yang sedang berlaku di Gaza.
Jadi artikel ini akan menceritakan serba sedikit berkenaan krisis tenaga di Gaza dan apakah penyelesaiannya.
Sumber Tenaga Di Bawah Penjajahan Israel
Polisi Israel telah menghalang rakyat Palestin untuk mendapatkan akses kepada tenaga, di mana ia telah menyebabkan kemiskinan tenaga yang sangat kronik. Di kawasan C Tebing Barat, rejim Israel telah melarang rakyat Palestin daripada menyambungkan kediaman mereka ke grid kuasa dan menafikan permit untuk mereka untuk memasang sistem tenaga solar.
Pada 2018, mereka juga mengugut untuk menghancurkan projek tenaga solar di kawasan A dan kawasan B, kononnya ia di bawah penguasaan Palestinian Authority (PA) yang tidak dilesenkan mengikut undang-undang Israel. Di Gaza, bukan sahaja rejim Israel menekan mereka dengan mengehadkan sumber tenaga, ia juga mensasarkan satu-satunya loji jana kuasa berasaskan diesel, bertujuan untuk melumpuhkan ekonomi Gaza dan mata pencarian rakyat Palestin.
Di antara 2010 dan 2020, import sumber tenaga eletrik rakyat Palestin di Tebing Barat dan Gaza dari rejim Israel telah bertambah dengan kadar 56 peratus, mewakili 91 peratus jumlah tenaga elektrik yang telah diimport. Ini menunjukkan 11 kali lebih banyak pemperolehan tenaga elektrik dari Palestine Electric Company di Gaza.
Pada 2017, isi rumah Palestin dan perniagaan mereka termasuklah Gaza Power Generating Company (GPGC) telah membelanjakan USD 769.7 juta (22 peratus daripada KDNK Gaza) melalui sumber tenaga yang diimport dari rejim Israel, termasuklah petroleum, diesel, gasolin, gas cecair propana dan elektrik.
Bekalan setiap sumber yang diimport dari Israel berubah-ubah mengikut keadaan semasa politik dan ekonomi. Sebagai contoh, pada 2017, rejim Israel telah menindas rakyat Palestin akibat daripada keengganan PA untuk membayar tenaga yang telah diimport. Jika dilihat pada tahun tersebut, daripada 120 megawatts (MW) yang diberikan secara purata harian, Israel telah mengehadkan bekalan bulanan ke Gaza kepada 70 MW sehari sepanjang enam bulan terakhir pada 2017.
Isu Struktur Krisis Tenaga di Palestin
Pada 2020, sebanyak 83.8 peratus daripada bekalan tenaga di Tebing Barat dan Gaza serta hampir keseluruhan kepada permintaan kepada minyak mentah telah diimport dari Israel. Selebihnya pula telah diimport dari Palestinian Electricity Transmission Company sebanyak 5.3 peratus dan Jordan sebanyak 2.6 peratus.
Pada 2021, rejim Israel telah melanjutkan sekatan kepada kemasukan bekalan minyak ke Gaza selepas gencatan senjata yang dilakukan dengan Hamas pada Mei 2021.
Krisis tenaga ini sebenarnya memberi kesan yang buruk kepada rutin harian dan kehidupan sosial di Palestin terutama di Gaza di mana ia telah menghalang keupayaan sektor awam untuk menyediakan perkhidmatan asas yang berkaitan dengan sumber air dan pengurusan sisa, institusi kesihatan dan pendidikan. Sebagai contoh, loji rawatan sisa pepejal di Gaza tidak dapat beroperasi dengan baik disebabkan oleh kekurangan tenaga elektrik, dan kesannya sejumlah air besar air terawat telah dibuang ke Laut Mediterranean.
Krisis elektrik juga memberi impak kepada sektor swasta. Sebahagian perniagaan telah dipaksa untuk mengecilkan operasi atau memberhentikan operasi. Ada beberapa laporan yang menyatakan bahawa berlaku peningkatan sebanyak 30 peratus dalam kos operasi untuk mendapatkan sumber elektrik daripada sumber alternatif. Ini memberi kesan dan peningkatan kepada peratusan pengangguran dan impaknya sangat besar terhadap kehidupan sosial rakyat Palestin di Gaza.
Maka, di sini kita dapat melihat bahawa kesan daripada penjajahan Israel terhadap Palestin telah menyebabkan hak yang asas kepada rakyat Palestin sama ada di Gaza atau Tebing Barat dikurangkan malah disekat. Ini menggambarkan bahawa rejim Israel telah menjalankan dasar apartheid dan ini seharusnya diberi perhatian oleh pemimpin-pemimpin dunia terutama para pemimpin dunia Islam.