All Articles

Frequently Asked Question (FAQ): Hukum dan Cara Terbaik Penyimpanan Daging Korban

8 min read
Written by
Sabrina Suhaimi
Published on
April 5, 2023

Hari Raya Aidil Adha boleh dikatakan musim perayaan yang aktif kerana di mana-mana sahaja ada aktiviti ibadah penyembelihan haiwan korban. Bukan itu sahaja, tidak mustahil dalam tempoh sebulan selepas meraikan Aidil Adha, juadah harian kita adalah daging korban – sup daging, rendang daging, daging masak kurma, daging masak kicap atau sate daging.

Menyentuh perihal persiapan juadah, ia tidak lari dengan topik cara terbaik penyimpanan daging korban supaya ia kekal segar dan dalam keadaan yang baik sebelum dimasak. Pada masa yang sama, topik yang sedang dibincangkan ini mengingatkan kita larangan menyimpan daging korban lebih dari tiga hari berdasarkan sepotong hadis daripada Nabi Muhammad SAW.

Adakah larangan tersebut sebenarnya terkait dengan kesegaran daging? 

Menarik untuk kita fahami dahulu hukum menyimpan daging korban di sisi Islam sebelum mengambil tahu cara terbaik penyimpanan daging tersebut.

Betul Ke Kita Dilarang Menyimpan Daging Korban Lebih Dari Tiga Hari?

Sebenarnya, tiada masalah untuk kita menyimpan daging korban melebihi tiga hari. Beberapa hadis telah menyatakan keharusan menyimpan daging korban melebihi tiga hari, antaranya:

Pertama; 

Daripada Abdul Rahman bin ‘Abis, ayahnya telah bertanyakan soalan kepada ‘Aisyah RA – adakah Rasulullah SAW telah melarang dari memakan daging korban melebihi tiga hari? Jawab ‘Aisyah RA ketika itu:

“Tidaklah Rasulullah SAW melakukannya (iaitu melarangnya) pada tahun di mana manusia berasa lapar dan demikian itu Rasulullah SAW mahukan akan yang kaya dapat memberi makan kepada yang miskin. Namun kemudiannya kami juga menyimpan bahagian kaki kambing dan memakannya 15 hari kemudiannya”.                                           - (Riwayat al-Bukhari, 5423)

Kedua;

Daripada Salamah bin al-Akwa’, Rasulullah SAW telah berkata:

Sesiapa yang melakukan korban janganlah kamu menyimpan sesuatu pun daripada daging tersebut di rumah. Ketika mana tibanya tahun hadapan, para sahabat bertanyakan kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah SAW, adakah perlu kami melakukan sepertimana tahun lepas. Jawab Baginda SAW: “Makanlah kalian, berikanlah makan kepada orang lain dan simpanlah kerana pada waktu itu (tahun yang lepas) manusia berada di dalam kesusahan (iaitu kelaparan) dan aku menginginkan agar kamu membantu yang lain”.                                                                                         - (Riwayat al-Bukhari, 5569 & Muslim, 1974)

Ketiga; 

Daripada Abu Said al-Khudri RA, Rasulullah SAW telah bersabda:

Wahai ahli Madinah. Janganlah kalian makan daging korban melebihi tiga (hari). Maka para sahabat mengadu kepada Rasulullah SAW sesungguhnya mereka mempunyai anak-anak dan juga hamba yang perlu diberi makan maka Rasulullah SAW berkata: “Makanlah, dan berikan makan kepada orang lain dan simpanlah (daging tersebut)”.                           - (Riwayat Muslim, 1973)

Banyak lagi hadis yang mengharuskan penyimpanan daging korban melebihi tiga hari dan secara tidak langsung, koleksi hadis ini telah membatalkan hadis terdahulu (mansukh) yang mengharamkan penyimpanan daging korban melebihi tiga hari. 

Salah satunya daripada hadis riwayat Muslim (1970), Rasulullah SAW telah bersabda: 

Janganlah salah seorang dari kamu memakan daripada daging korban melebihi 3 hari.

Jika kita melihat kepada alasan Baginda menyatakan larangan tersebut, ia sebenarnya kerana telah berlakunya musim kelaparan pada masa itu. Maka dapat disimpulkan bahawa tujuan larangan tersebut adalah untuk memastikan mereka yang berada di dalam kesusahan dapat dibantu, sesuailah dengan hikmah melakukan ibadah korban iaitu memberi makan kepada mereka yang memerlukan. 

Kalau begitu, tiada masalah untuk kita menyimpan lama daging korban. Tapi, bagaimana pula caranya untuk menyimpan daging korban dengan baik untuk tempoh yang lama?

Tips Penyimpanan Daging Korban Supaya Daging Segar & Elok Dimasak

Setiap orang ada cara penyimpanan daging korban yang tersendiri dan tidak semua cara yang diterapkan itu betul. 

Pengalaman penulis sendiri pada tahun sebelumnya agak mencabar apabila daging korban yang disimpan di bahagian beku tidak mahu membeku. Di situlah penulis sedar bahawa ada cara penyimpanan daging yang betul untuk mereka yang terpaksa menyimpan daging dalam kuantiti banyak. 

Pertama – Simpan daging dalam saiz sekali masak

Bagi mereka yang memperolehi daging yang banyak, disarankan untuk memotongnya kepada saiz kecil dan membahagikannya kepada beberapa bahagian mengikut kuantiti atau jumlah sekali masak.

Misalnya daging bersaiz dua kilogram dibahagikan kepada enam bahagian. Setiap satu bahagian disimpan di dalam bungkusan plastik yang berbeza sebelum dimasukkan ke dalam ruang beku. 

Cara ini sangat sesuai dalam memastikan kesegaran daging untuk tempoh yang lama tanpa mengalami proses pembekuan yang berulang. Tidak ramai yang tahu bahawa pembekuan yang berulang menjadi punca utama mengapa tekstur daging menjadi rosak dan tidak sedap apabila dimakan. 

Kedua – Pastikan suhu yang tepat

Suhu juga memainkan peranan dalam memastikan daging benar-benar disimpan baik dan segar ketika masak. Menurut perkongsian Dr. Ahmad Samhan melalui aplikasi Telegram, suhu terbaik untuk menyimpan daging adalah sekitar -18˚C atau pada 0˚C sehingga 5˚C.

Mengapa? Jika suhu melebihi daripada kadar yang ditetapkan (misalnya 5˚C sehingga 65˚C), pertumbuhan bakteria pada daging akan menyebabkan masalah kesihatan iaitu keracunan makanan. Disebabkan itu juga pembekuan berulang sangat tidak digalakkan ke atas daging, termasuk ikan, ayam dan makanan laut.

Ketiga – Jangan basuh, bersihkan daging dari sebarang bendasing

Apabila memperoleh daging korban, jangan dibasuh menggunakan air. Tetapi cukuplah sekadar membuang bendasing yang terlekat pada daging seperti daun pisang, pasir, batu dan serpihan kayu.

Hanya basuh daging korban apabila anda mahu memasak daging tersebut bagi mengelakkan pertumbuhan kuman di dalam pori-pori daging yang berpunca daripada basuhan awal.

Keempat – Simpan daging dengan bahan perapan

Tip ini mungkin sesuai jika anda bercadang untuk bakar atau goreng daging korban. 

Siapa sangka, bahan perapan sebenarnya bersifat antibakteria dan merupakan agen pengawet makanan. Cukup dengan bahan perapan yang mudah iaitu garam, bawang, kunyit, serbuk lada hitam atau lada putih. Malah sebenarnya inilah kaedah yang digunakan orang zaman dahulu sebelum wujudnya peti sejuk. 

Jimatlah sikit masa anda untuk memasak! Tak perlu dibekukan, boleh masak pada bila-bila masa. 

Kelima – Simpan daging secara berasingan

Seperkara lagi yang perlu anda tahu, penyimpanan daging mentah juga perlu jauh daripada makanan yang sudah dimasak atau sedia dimakan dan diminum. Misalnya – manisan, minuman, bubur, sup, aiskrim dan lain-lain. 

Mengapa? Penyimpanan yang berasingan adalah untuk tujuan mengelakkan pencemaran silang berlaku. Pencemaran silang di dalam peti sejuk berlaku apabila bakteria berpindah dari satu makanan ke makanan yang lain. Ia boleh berlaku secara langsung apabila darah daging mentah tertumpah atau terkena pada makanan lain; dan secara tidak langsung apabila anda menggunakan pisau memotong daging untuk memotong sayur tanpa mencucinya terlebih dahulu. 

Apa-apa pun, janganlah simpan daging mentah terlalu lama. Berdasarkan dapatan daripada FoodSafety.gov, daging mentah seelok-eloknya disimpan selama empat hingga 12 bulan. Begitu juga bahan mentah yang lain seperti ikan (dua hingga lapan bulan) dan ayam (9 bulan hingga setahun).

Diharapkan tips yang telah dikongsikan dapat membantu pembaca untuk menyimpan daging korban sepanjang tempoh perayaan Hari Raya Aidil Adha dan hari-hari seterusnya.