All Articles

Frequently Asked Question (FAQ): Daging Korban Jadi Haram Kalau Rasa Kasihan?

8 min read
Written by
Sabrina Suhaimi
Published on
April 5, 2023

Setiap kali tiba Hari Raya Aidil Adha, ibadah sunat yang perlu dilaksanakan sebaik sahaja selesai solat sunat hari raya dan dua khutbah ringan adalah sembelihan korban. Umum mengetahui bahawa haiwan yang boleh dikorbankan adalah an’am iaitu kategori haiwan ternakan yang boleh dizakatkan seperti kambing, biri-biri, lembu, kerbau dan unta. 

Dalam Islam telah ditegaskan bahawa ibadah korban adalah sunat muakkad bagi mereka yang mempunyai lebihan harta dari keperluan dirinya dan keluarga yang ditanggung pada hari raya haji dan hari-hari tasyriq. Sebagai tambahan, penyembelihan haiwan korban perlu dilakukan pada Hari Nahar (10 Zulhijah) dan Hari Tasyrik (11 hingga 13 Zulhijah).

Bagaimanapun, masih ramai yang kurang jelas tentang perasaan kasihan terhadap haiwan sembelihan sehingga timbul rasa was-was sama ada ia halal atau haram dimakan. 

Hukum  Memakan Daging Korban Yang Dikasihani

Sebenarnya, topik rasa kasihan dan halal haram haiwan sembelihan merupakan satu topik yang agak terkenal ketika musim Hari Raya Aidil Adha. 

Rasa belas kasihan terhadap haiwan adalah satu perasaan normal kerana itulah fitrah manusia. Ia langsung tidak ada kaitan dengan status halal haram daging binatang korban terhadap mereka yang mengasihaninya kerana perkara itu bergantung kepada syarat-syarat sembelihan yang telah digariskan oleh para ulama.

Memetik perkongsian daripada laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (2019), terdapat tujuh syarat untuk melaksanakan penyembelihan binatang korban, iaitu:

  1. Penyembelih (sama ada lelaki atau perempuan, baligh atau mumaiyyiz) mestilah berakal
  2. Penyembelih mestilah beragama Islam atau ahli kitab. 
  3. Binatang buruan yang halal; bukannya jenis binatang buas dan ganas.
  4. Menyebut nama Allah SWT ketika melakukan penyembelihan. Sekiranya terlupa atau bisu, masih dibolehkan untuk memakan haiwan korban tersebut.
  5. Tidak mencampur adukkan dengan membesarkan Allah SWT dan selainnya, sama sebutan secara jelas atau tidak.
  6. Mesti memutuskan halkum dan urat marih bagi mempercepatkan kematiannya.
  7. Peralatan sembelih perlulah tajam dan bukannya diperbuat daripada tulang, kuku dan gigi.

Jika lihat pada syarat-syarat di atas, adakah dinyatakan perasaan kasihan menyebabkan daging sembelihan haram dimakan? Jelasnya, TIDAK. 

Bahkan, berdasarkan dua syarat terakhir yang dinyatakan sebelum ini, sudah cukup membuktikan bahawa Islam menuntut rasa kasih dan belas agar haiwan sembelihan tidak terseksa:

  1.  Mesti memutuskan halkum dan urat marih bagi mempercepatkan kematiannya.
  2. Peralatan sembelih perlulah tajam dan bukannya diperbuat daripada tulang, kuku dan gigi.

Buktinya, Nabi Muhammad SAW pernah menyuarakan rasa prihatinnya kepada seorang lelaki yang menajamkan mata pisaunya di hadapan haiwan sembelihan:

Seorang lelaki membaringkan biri-biri yang dia hendak menyembelihnya, di samping ketika itu dia menajamkan mata pisaunya. Maka Nabi s.a.w bersabda: “Apakah engkau mahu membunuhnya beberapa kali? Mengapa tidak engkau tajamkan mata pisaumu sebelum engkau membaringkannya?!” – Hadis Riwayat al-Hakim.

Malah, melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abi Ya’la bin A’us RA, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda:

“Apabila kamu membunuh, maka bunuhlah dengan baik, dan apabila kami menyembelih, maka sembelihlah dengan baik.” – Hadis Riwayat Muslim (1955).

Justeru, boleh disimpulkan bahawa rasa kasihan terhadap haiwan sembelihan harus dizahirkan melalui tindakan kita yang memastikan proses penyembelihan tidak dilakukan dengan kejam agar kesakitan haiwan disembelih dapat dikurangkan. 

Pada masa yang sama, huraian yang dinyatakan di atas telah menyangkal dakwaan status daging korban haram dimakan jika seseorang itu rasa kasihan terhadap haiwan sembelihan. Maka, janganlah ragu-ragu untuk menikmati juadah daging korban walaupun anda kasihankan haiwan tersebut.