All Articles

Fiqh Korban Bersempena ‘Aidil Adha

Written by
Lia Maryam
Published on
April 7, 2023

Saban tahun umat Islam di seluruh dunia meraikan kedatangan bulan Zulhijjah khususnya 10 hingga 13 hari bulan, yang merupakan tarikh Hari Raya Korban dan hari-hari Tasyriq. Hari Raya Korban agak berbeza dengan nuansa Hari Raya Aidil Fitri di mana pada hari raya ini umat Islam disyariatkan untuk menunaikan ibadah korban bagi mereka yang berkemampuan. Namun, bagi memastikan ibadah kita ini diterima secara sempurna di sisi Allah dan dapat dilaksanakan dengan baik, umat Islam perlu mengetahui serta memahami ‘pantang larang’ yang telah digariskan agama Islam. 

Tentunya terdapat pelbagai hukum hakam apabila kita berbicara tentang ibadah korban. Malah, perbincangannya menjadi lebih meluas kerana pada bulan yang sama, umat Islam turut diperintahkan mengerjakan ibadah haji di Baitullah al-Haram, juga bagi mereka yang berkemampuan. Secara tidak langsung, persoalan-persoalan seputar dua ibadah mulia ini menjadi perkara biasa setibanya bulan Zulhijjah. Meskipun demikian, artikel ini tidaklah bertujuan untuk memetik kesemuanya melainkan lima sahaja yang terkait secara umum. 

  • Berkongsi bahagian korban lebih daripada jumlah yang diizinkan 

Sedia maklum, perintah untuk melaksanakan ibadah korban dituntut ke atas orang Islam yang merdeka, baligh, berakal dan berkemampuan. Seseorang itu dikira berkemampuan apabila dia mempunyai lebihan harta daripada keperluan diri dan tanggungannya bagi Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijjah) dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah) Maka, mereka yang tidak menepati terma ini tidak perlu khuatir, kerana ia menjadi sunat ke atas mereka yang berkemampuan sahaja. 

Kadar bahagian bagi haiwan korban; seekor kambing atau satu bahagian (1/7) lembu atau unta hanya boleh dijadikan korban untuk seorang individu sahaja. Kadar ini telah ditetapkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana dalam hadis:

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللهِ، قَالَ: نَحَرْنَا مَعَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَامَ الْحُدَيْبِيَةِ الْبَدَنَةَ عَنْ سَبْعَةٍ، وَالْبَقَرَةَ عَنْ سَبْعَةٍ               

“Kami menyembelih korban bersama Rasulullah SAW pada tahun Perjanjian Hudaibiyyah. Seekor unta untuk tujuh (bahagian) dan seekor lembu untuk tujuh (bahagian).” (Riwayat Muslim)

Justeru itu, seseorang individu boleh mengambil lebih daripada satu bahagian. Tetapi seekor lembu atau unta tidak dibolehkan untuk berkongsi lebih daripada tujuh orang. Hal ini kerana, hukum asal pada satu bahagian hanya untuk seorang penama sahaja. Adapun ketua keluarga boleh melakukan korban seekor kambing atau satu bahagian (1/7) lembu atau unta untuk dirinya dan seluruh keluarga yang di bawah tanggungannya. Dalam sebuah hadis Aisyah RA yang diriwayatkan oleh Imam Muslim (no. 1967) dalam Sahihnya, bahawa Rasulullah SAW berkorban dua ekor kibasy dan bersabda:

بِاسْمِ اللهِ، اللهُمَّ تَقَبَّلْ مِنْ مُحَمَّدٍ، وَآلِ مُحَمَّدٍ، وَمِنْ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ
“Dengan nama Allah. Ya Allah! Terimalah (korban ini) daripada Muhammad, keluarga Muhammad, dan daripada umat Muhammad.”

Imam al-Nawawi berkata: “Ulama berpandukan hadis ini bagi membenarkan ibadah korban seseorang itu bagi dirinya dan keluarganya, dan pahala itu dikongsi oleh dirinya dan ahli rumahnya. Inilah pandangan mazhab kami (Syafi’iyyah) dan jumhur, sedangkan dianggap makruh oleh al-Thauri, Abu Hanifah dan sahabat-sahabatnya.”

  • Mengurus haiwan sembelihan dengan sikap ihsan 

Adab dan akhlak seseorang muslim merupakan cerminan kepada agama Islam yang dianutinya.  Jika baik akhlaknya, maka Islam dihormati atas sikapnya yang terpuji. Begitu juga sebaliknya. Bahkan dalam perihal korban, akhlak dan adab terhadap haiwan sembelihan turut ditekankan Baginda SAW. Demikianlah Islam, agama yang rahmah terhadap sekalian alam. Rasulullah SAW bersabda: 

إنَّ اللهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ: فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ، وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذِّبْحَةَ، وَلْيُحِدْ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ، وَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

“Sesungguhnya Allah menulis (mewajibkan) ihsan atas segala sesuatu. Apabila kamu mahu membunuh (dengan alasan yang sah), maka perelokkanlah pembunuhan itu. Apabila kamu mahu menyembelih, maka perelokkanlah penyembelihan itu, dan hendaklah kamu menajamkan mata pisau dan hendaklah dia merehatkan (menyenangkan) haiwan sembelihannya itu.” (Riwayat Muslim).

Berdasarkan hadis ini, kita dituntut untuk memperlakukan haiwan sembelihan dengan sebaiknya sebelum ia disembelih. Umat Islam seringkali terlepas pandang perkara ini ketika proses merebahkan haiwan, cara menggunakan pisau dan meletakkan haiwan dalam ketakutan, meskipun ianya kelihatan remeh. Namun kita diwajibkan untuk bersifat ihsan dan simpati ketika menguruskan mereka apatah lagi ianya adalah ibadah korban yang ingin dipersembahkan kepada Allah. 

Pelajaran daripada hadis ini, umat Islam dituntut untuk menajamkan pisau sembelihan terlebih dahulu sebelum merebahkannya. Antara kesalahan yang acap kali dilakukan segelintir daripada kita adalah, mengasah pisau atau menyembelih haiwan korban di hadapan haiwan korban yang sedang menunggu giliran untuk disembelih. Perbuatan ini secara tidak langsung telah menafikan sifat ihsan. 

أَنَّ رَجُلًا أَضْجَعَ شَاةً يُرِيدُ أَنْ يَذْبَحَهَا وَهُوَ يَحُدُّ شَفْرَتَهُ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "أَتُرِيدُ أَنْ تُمِيتَهَا مَوْتَاتٍ؟ هَلْ حَدَدْتَ شَفْرَتَكَ قَبْلَ أَنْ تُضْجِعَهَا

Dalam riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak, daripada Ibn ‘Abbas RA: “Bahawa seorang lelaki membaringkan biri-biri yang dia hendak menyembelihnya dan dalam masa yang sama dia sedang menajamkan mata pisaunya. Maka Nabi SAW bersabda: “Apakah engkau mahu membunuhnya berulang kali? Mengapa tidak engkau asahkan mata pisaumu terlebih dahulu sebelum engkau membaringkannya?!.” (Riwayat al-Hakim, dinyatakan sahih dan dipersetujui oleh al-Zahabi)

  • Daging korban sebagai upah kerja

Menjadi adat kebiasaan masyarakat kita dengan berbudi kepada mereka yang membantu. Persoalannya, bolehkah memberi daging korban sebagai upah kepada tukang sembelih atau mereka yang membantu melapah daging sepanjang proses tersebut? Perlu diketahui, menjadikan daging sembelihan korban sebagai upah kepada mereka yang terlibat menjalankan kerja-kerja korban seperti tukang sembelih, tukang lapah dan lainnya bererti menjual daging dan membeli tenaga kerja. 

Larangan memberikan daging atau bahagian lain daripada haiwan korban sebagai upah kerja kepada golongan yang disebutkan sudah termaktub dalam hadis-hadis sahih yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Daripada Ali bin Abi Talib RA, katanya: 

أنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَهُ أَنْ يَقُومَ عَلَى بُدْنِهِ، وَأَنْ يَقْسِمَ بُدْنَهُ كُلَّهَا، لُحُومَهَا وَجُلُودَهَا وَجِلاَلَهَا، وَلاَ يُعْطِيَ فِي جِزَارَتِهَا شَيْئًا

“Sesungguhnya Rasulullah SAW telah memerintahkan aku menyembelih unta-untanya (sembelihan ketika haji). Baginda memerintahkan agar aku membahagikan kesemuanya; daging, kulit dan apa yang menutupi belakang unta-unta itu (seperti pelana dan seumpamanya). Baginda juga memerintahkan agar aku tidak memberikan kepada jazzar (penyembelih dan pelapah) sedikit pun darinya.” (Riwayat al-Bukhari Muslim)

Sebaliknya, jika memberi upah sebagai sagu hati dalam bentuk wang dan bukannya daging korban, adalah diharuskan, dengan syarat wang tersebut mestilah dibayar daripada duit penganjur atau penama korban itu sendiri. Oleh itu, tidak menjadi masalah sekiranya pihak penganjur korban menetapkan harga korban termasuk kos pengurusan yang munasabah di sesuatu tempat. Hal ini sebagai mengambil kira atas kepakaran dan tenaga yang telah digunakan. 

  • Menjual daging korban 

Dalam situasi ekonomi yang menyesakkan pada hari ini, masyarakat semakin terdedah dengan idea menjual barang-barangan terpakai. Begitu juga dalam perkara melibatkan daging korban. Perlu difahami, bilamana ianya melibatkan perkara ibadah yang sudah digariskan hukum hakamnya disisi agama, masyarakat perlu beramal dengan ilmu, bukan sekadar berpandukan logik akal. 

Menurut jawapan yang diberikan di laman Irsyad al-Fatwa siri ke-41: Hukum Menjual Daging Korban, perbuatan menjual kembali daging korban yang diperolehi adalah dilarang jika penerima daging korban tersebut ialah daripada golongan yang kaya. Manakala jika penerima tersebut daripada golongan miskin, maka perbuatan tersebut dibenarkan. Meskipun begitu, di sana ada hujah-hujah yang boleh kita teliti sebab-sebab serta hikmahnya. Agar kita tidak terikut-ikut membuta tanpa ilmu dan kefahaman yang betul dalam beramal. 

Antara tujuan utama ibadah korban adalah sebagai tanda prihatin terhadap masyarakat melalui pengagihan daging-daging korban kepada mereka yang berhak menerimanya khususnya fakir miskin dan mereka yang memerlukan. Firman Allah SWT dalam surah al-Hajj (28):

فَكُلُوا مِنْهَا وَأَطْعِمُوا الْبَائِسَ الْفَقِيرَ

Dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.”

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa sepakat disisi mazhab Syafie bahawa dilarang menjual apa-apa bahagian daripada haiwan korban. Hal ini samada ibadah korban itu sunat atau nazar. Larangan ini termasuklah daging, lemak, kulit, tanduk dan lain-lain. Seterusnya, Ibn Rusyd menyatakan bahawa ulama bersepakat dalam larangan menjual daging korban. Perkara ini dinyatakan dalam kitabnya Bidayah al-Mujtahid Wa Nihayah al-Muqtasid 2/201:

وَالْعُلَمَاءُ مُتَّفِقُونَ فِيمَا عَلِمْتُ أَنَّهُ لَا يَجُوزُ ‌بَيْعُ لَحْمِهَا

“Pada pengetahuanku ulama bersepakat bahawa daging korban tidak boleh dijual”

Namun begitu, jika penerima daging korban tersebut adalah dari golongan miskin maka mereka boleh menjual daging tersebut. Habib Abdul Rahman al-Ba’lawi menyatakan di dalam kitabnya al-Bughyah al-Mustarsyidin, 319:

وللفقير التصرف في المأخوذ ولو بنحو بيع الْمُسْلَمِ لملكه ما يعطاه، بخلاف الغني فليس له نحو البيع بل له التصرف في المهدي له بنحو أكل وتصدق وضيافة ولو لغني، لأن غايته أنه كالمضحي نفسه

Bagi golongan yang fakir, membelanjakan bahagian korban yang diterimanya walaupun seperti menjual barang diterima kerana telah menjadi miliknya, berbeza dengan golongan yang kaya tidak dibenarkannya untuk melakukan perkara seperti menjualnya namun ia boleh menggunakan bahagian korban yang diberikan itu dengan cara dimakan, sedekah dan menjamu tetamu walaupun mereka kaya, ini kerana kedudukannya seperi orang yang melakukan korban.

  • Memberi makan daging korban kepada non-Muslim

Dasawarsa ini, komuniti masyarakat kita yang dilatari pelbagai bangsa dan agama mulai hidup majmuk dan harmoni. Penganut pelbagai agama mula dilihat makin meriah meraikan keraian agama masing-masing di negara ini. Bagi masyarakat Muslim, mereka memiliki sikap yang sentiasa meraikan dan menyantuni jiran-jiran dan sahabat handai daripada agama yang berbeza. Muncul persoalan baru khususnya musim perayaan ‘Aidil Adha tertutamanya bagi mereka yang hidup berjiran dengan komuniti non-Muslim. Bolehkah memberi makan daging korban kepada non-Muslim? 

Meskipun terdapat perselisihan pendapat dalam kalangan ulama’, namun perkara ini telah dikupas dengan begitu baik oleh mereka. Antara pendapat yang boleh kita perhatikan adalah: 

  • Al-Imam Abu Hanifah Rahimahullah memberikan rukhsah (keringanan) bagi kafir zimmi yang fakir untuk diberikan kepada mereka daging korban. Ini juga adalah pendapat al-Hasan al-Basri Rahimahullah dan juga Abu Thaur Rahimahullah.
  • Mazhab Maliki berpendapat hukumnya makruh seperti memberi makan kepada Yahudi atau Nasrani. 
  • Mazhab Hanbali berpendapat hukumnya harus dihadiahkan kepada orang kafir daripada daging korban yang sunat. Adapun yang wajib tidak diharuskan.
  • Dalam mazhab Syafi’e, yang masyhur tidak dibolehkan kerana korban adalah ketaatan untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Pun begitu, perbincangan ini juga perlu dilihat dari sudut maslahah dan siyasah syar’iyyah agar masyarakat dapat hidup lebih harmoni di samping umat Islam menjadikan ia sebagai senjata dakwah kepada masyarakat non-Muslim. Sekiranya dalam komuniti masyarakat Islam di sesuatu tempat terdapat jiran-jiran mereka yang bukan Islam dan mereka itu dikenali dengan sifat baik serta ramahnya dengan masyarakat setempat, jika terdapat lebihan dari hasil korban maka dibolehkan untuk diberikan kepada mereka. Namun jika hasil korban itu hanya mencukupi untuk orang Islam, maka dahulukanlah umat Islam setempat yang lebih memerlukan. 

Ini kerana terdapat dalil daripada Al-Quran agar berbuat baik kepada orang bukan Islam yang mana Allah telah berfirman dalam surah al-Mumtahanah ayat 8:

لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ 

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” 

Demikianlah beberapa kaedah fiqh yang telah ditetapkan dan dibincangkan dalam membantu umat Islam bermuamalah dengan daging korban dengan cara yang betul lagi benar setibanya Zulhijjah. Pun begitu, perkara-perkara sebegini tidak seharusnya diabaikan umat Islam, kerana ibadah yang ‘sihat’ adalah ibadah yang dilakukan atas ilmu dan kefahaman yang benar. Maka, sudah pasti kita dapat melaksanakannya dengan penuh yakin penerimaannya di sisi Allah.