All Articles

Ertinya Menjadi Seorang Sukarelawan, Aktivis

Written by
Sabrina Suhaimi
Published on
September 13, 2024

Menyoroti soalan-soalan yang diajukan oleh mereka yang berminat dengan program Training of Volunteer (TOV), penulis tertarik dengan dua soalan ini:

“Program ini pergi ke Gaza ya?”
“Ohh..saya ingatkan pergi jadi sukarelawan di Palestin.”

Ada benarnya soalan mereka kerana apabila menyebut perkataan sukarelawan, secara tidak langsung mereka beranggapan inilah peluang untuk melaksanakan misi di bumi Palestin. Lagi-lagi apabila Cinta Gaza Malaysia (CGM) sejak awal penubuhan lagi sudah memfokuskan kepada kebajikan penduduk dan pelarian Palestin.

Bagaimanapun, seorang sukarelawan mahupun aktivis perlu faham bahawa setiap tindakan yang diambil sebenarnya bukan sekadar “kita perlu bantu mereka” tetapi adalah sebuah penglibatan atau komitmen dan tindak balas belia terhadap isu kritikal global sekaligus membuahkan penyelesaian konflik.

Paparan media yang menunjukkan sukarelawan atau aktivis turun ke lapangan kemanusiaan untuk memberi bantuan tidak wajar diromantiskan (romanticised) kerana setiap keputusan dan tindakan bukanlah untuk mendapat nama atau merebut pahala semata-mata. Malah, bukan hanya untuk melihat tempat orang untuk dijadikan pengalaman seumur hidup. 

Tetapi, untuk menjadi sukarelawan dan aktivis perlukan persoalan-persoalan yang pada akhirnya noktahkan satu permasalahan. 

Misalnya, adakah wajar seorang sukarelawan atau aktivis menjadikan idea ‘turun ke lapangan untuk beri bantuan, bertemu dengan masyarakat yang memerlukan dan pulang ke rumah bagi meneruskan kehidupan seperti biasa’ sebagai satu kitaran yang diulang berkali-kali tanpa titik. Jadi, apakah ini bermakna menjadi sukarelawan itu hanya beri bantuan semata-mata tanpa strategi mampan yang memastikan pembangunan sesebuah komuniti sehingga ia mampu berdikari sendiri? 

Jika ya, bagaimana pula dengan masyarakat yang belum mendapat perhatian golongan sukarelawan ini? Tahukah anda, berdasarkan pemerhatian pada 2024, lebih 308 juta populasi dunia memerlukan bantuan kemanusiaan dan perlindungan yang merangkumi 71 buah negara.

Ketika kita memandang berat terhadap nasib penduduk Palestin di Gaza, ada pelarian Palestin di Turkiye, Lubnan dan Syria yang masih mengharapkan perhatian kita. 

‘Endgame’ Seorang Sukarelawan, Aktivis

“Bacalah!”

Perkataan yang ringkas tapi cukup membuktikan bahawa apa-apa sahaja yang berkaitan dengan maklumat atau ilmu, seseorang itu perlu membaca dan memahami agar mesejnya berjaya disampaikan. Telah lama diturunkan pada 610 Masihi dengan Nabi Muhammad SAW sebagai penerima pertama, perkataan itu masih relevan sehingga kini.

Sejarah mencatatkan pembebasan Baitul Maqdis dari tentera Salib perlukan strategi dan strategi itu tidak diilhamkan dalam satu malam. Ia menelan tempoh masa berpuluh tahun lamanya selepas pembebasan pertama oleh Saidina Umar al-Khattab kerana strategi yang disusun berasaskan kefahaman ilmu agar tidak bertindak secara semberono. 

Tidak cukup dengan itu, Sukarelawan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNV) juga menitikberatkan ahlinya yang berilmu serta bermotivasi bagi memastikan usaha keamanan, kemanusiaan dan pembangunan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Justeru, inisiatif berbentuk pendidikan dan pertukaran pengetahuan telah dikembangkan kepada pelbagai peluang baik secara atas atau luar talian. Berdasarkan rekod pada 2023, seramai 10,647 ahli UNV menyertai 162 kelas atas dan luar talian. Pada masa yang sama, seramai 6,800 ahli UNV telah terlibat dalam aktiviti pembelajaran kendiri. Peluang-peluang inilah melahirkan sukarelawan dan aktivis yang memiliki pengetahuan teras dan kemahiran bersilang dalam pelbagai isu kritikal seperti keganasan; perkauman; gangguan dan eksploitasi seksual. 

Walaupun secara umumnya peranan sukarelawan dan aktivis telah dipisahkan berdasarkan perbezaan objektif dan definisi, tetapi kedua-dua ini saling melengkapi. Cuba kita lihat di dalam konteks pelarian Palestin di Lubnan:

Seorang sukarelawan turun ke padang untuk memberi bantuan berbentuk bekal makanan dan wang tunai agar anak-anak mereka tidak tercicir di dalam pendidikan atau kebajikan masyarakat. Tetapi bantuan sedemikian tidak akan menjamin masa depan anak-anak mereka kerana ia bersifat sementara. Justeru, sukarelawan perlu menjadi aktivis untuk mendesak undang-undang antarabangsa agar menggesa kerajaan Lubnan memansuhkan sekatan penglibatan buruh dalam kalangan pelarian Palestin terhadap 75 sektor pekerjaan. Bersama usaha itu, aktivis juga boleh menggesa kenaikan gaji minimum, sekurang-kurangnya ke paras yang membolehkan mereka menabung dan mendapatkan rawatan kesihatan tanpa perlu berkira-kira. 

Merujuk kepada situasi di atas, tidakkah endgame seorang sukarelawan dan aktivis adalah untuk membawa perubahan yang membolehkan golongan ini berdiri sendiri, sekaligus membangunkan komuniti dan negara mereka kelak? 

Bayangkan, melalui usaha-usaha ini, tidak mustahil apabila nasib pelarian Palestin benar-benar terjamin dan kukuh, merekalah antara orang paling hadapan yang mampu meruntuhkan pengaruh negara Barat serta Zionis dalam usaha memerdekakan Palestin.

Dan apabila Palestin merdeka, adakah perjuangan ini akan tamat?

Tidak. Sukarelawan dan aktivis inilah yang akan bersama-sama mengekalkan keamanan itu, sekaligus membuat perubahan kepada komuniti-komuniti yang memerlukan sama seperti apa yang telah diperjuangkan terhadap pelarian Palestin di Lubnan atau di mana mereka berada.

Inilah harapan sebenar yang kita mahu bawa kepada mereka. Ia bukan harapan yang bersifat sementara tetapi untuk selama-lamanya.