All Articles

Cabaran Wanita Palestin di Bawah Penjajahan Israel

8 min read
Written by
Sabrina Suhaimi
Published on
July 27, 2023

Wanita Palestin tidak kurangnya seperti wanita seluruh dunia yang sering dikaitkan dengan sifat malu, berbudi bahasa, lemah lembut dan paling penting, merekalah manusia hebat yang mampu melahirkan dan mendidik anak-anak supaya menjadi penerus generasi yang berilmu. 

Bagaimanapun, realiti kehidupan wanita Palestin pada hari ini sebenarnya begitu berbeza dengan kehidupan wanita yang lain kerana keterbatasan hak mereka di tanah air sendiri. Menurut Al-Zaytouna Centre for Studies and Consultations menerusi Am I Not A Human?: The Suffering of the Palestinian Woman under The Israeli Occupation, penjajahan Israel di Palestin telah membawa kesan negatif baik secara peribadi, sosial, ekonomi atau politik ke atas golongan wanita di tanah anbiya itu. 

Sedikit sebanyak, peranan wanita Palestin yang asalnya – seorang anak, seorang ibu, seorang isteri, seorang kakak atau adik – telah berubah, menanggung tanggungjawab dinamik. Sama ada sebagai seorang pengasuh, pejuang, jururawat, pekerja atau guru, kedudukannya di dalam komuniti tertentu sentiasa jelas iaitu menolak penjajahan Israel dan menolak keabsahan identiti penduduk haram Yahudi di tanah Palestin.

Keterhadan Hak Asasi Wanita Palestin

 “Palestinian women have no rights as long as Palestine is not free.”

Tidak dinafikan bahawa penjajahan Israel bukan sahaja memberi impak negatif kepada wanita Palestin, tetapi juga golongan lelaki Palestin, terutamanya apabila kita menyebut perihal peranan dan tanggungjawab. Pun begitu, penindasan hak dan kekejaman yang dilakukan rejim Israel ke atas wanita Palestin boleh dikatakan melampaui batas dengan tindakan yang tidak masuk akal! Lebih parah, suara mereka dalam mempertahankan hak tidak didengari di mana-mana platform media massa. 

Penulis tertarik dengan perkongsian Samar Sbeih berkaitan pengalaman beliau sebagai tahanan wanita Palestin di penjara Israel wajar dijadikan sandaran kepada perjuangan hak wanita Palestin. 

Ketika Samar Sbeih ditahan rejim Israel, beliau sedang mengandung dua bulan. Sepanjang tempoh penahanan, beliau acapkali diugut tentera Israel untuk menggugurkan kandungannya di dalam soal siasat yang panjang iaitu selama 18 jam setiap hari untuk selama 66 hari! Tidak cukup dengan itu, Samar melahirkan anaknya dengan kaedah Caesarean dan hanya dalam tempoh 30 minit sahaja tangan Samar bebas digari besi. Bayi yang baru dilahirkan itu dibawa ke unit khas dan menerima layanan sama seperti para tahanan yang lain. Samar dapat menyusukan bayinya, itupun di dalam keadaan yang kurang selesa kerana hanya sebelah tangan dan kakinya sahaja yang ditanggalkan gari sepanjang penyusuan.

Samar Sbeih telah kehilangan haknya sebagai seorang wanita dan ibu, apatah lagi bayinya tidak mendapat keselesaan yang bersesuaian, mendapatkan makanan yang berkhasiat dan mendapatkan pendidikan awal yang sewajarnya.

Kisah penderitaan wanita Palestin tidak terhenti dengan perkongsian oleh Samar Sbeih. Di dalam skop yang lebih luas, para tahanan wanita yang dipenjarakan turut berdepan dengan ugutan rejim Israel untuk menahan dan membunuh ahli keluarga yang lain; menghancurkan kediaman mereka; termasuk mengasari mereka dengan menampar dan memukul; serta mencabul kehormatan tahanan wanita Palestin ketika sesi soal siasat dan penahanan.

Sementara itu, adakah ini bermakna wanita Palestin yang lain tidak dihadkan hak hanya kerana mereka tidak dipenjarakan? Tidak. Wanita Palestin yang lain juga berdepan dengan penindasan dari pelbagai aspek terutamanya dalam bidang politik, keluarga dan sosio-ekonomi. Bezanya, mereka tidak ditahan di dalam penjara. 

  • Penindasan wanita Palestin di dalam institusi keluarga

Ketika kebanyakan negara Islam sudah menandatangani Undang-undang Perlindungan Keluarga yang melindungi wanita daripada keganasan domestik, masih ada beberapa negara Islam yang lain menolak undang-undang ini kerana isu itu dianggap masalah keluarga yang sering terjadi. Salah satu negara tersebut, Palestin yang dikatakan telah gagal untuk menandatangani undang-undang perlindungan terhadap wanita. 

Direkodkan pada November 2020, rang undang-undang itu telah diusulkan setelah melibatkan kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk bahagian advokasi, peguam, pihak kerajaan, organisasi dalaman dan komuniti berkaitan. Bagaimanapun, usaha itu gagal mendapatkan sambutan yang positif kerana masyarakat di situ melihat cadangan itu sebagai satu unsur asing yang tidak menepati budaya Palestin dan undang-undang Islam. 

Untuk pengetahuan, seramai 30 peratus wanita seluruh dunia adalah mangsa kepada keganasan berasaskan jantina (GBV). Pada masa yang sama, statistik daripada Palestinian Central Bureau of Statistics mendedahkan bahawa pada 2011, seramai 37 peratus wanita menjadi mangsa keganasan rumah tangga dengan rekod berdasarkan kawasan – Tebing Barat (29.9 peratus) dan sempadan Gaza (51.1 peratus).

Sementara itu, tinjauan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) telah mendapati bahawa sekitar 2021, rekod GBV sedikit menurun kepada 29.4 peratus dengan Gaza dan Tebing Barat masing-masing mencatatkan 37.5 peratus dan 24.3 peratus.

Walaupun kes GBV menunjukkan penurunan, peratusan yang direkodkan masih berada di paras membimbangkan kerana masih ada segelintir wanita Palestin yang rela diperlakukan sedemikian. Mengapa? Mereka bimbang jika laporan dibuat, mereka akan kehilangan pasangan yang menjadi ketua dan tunjang utama kepada ekonomi keluarga. 

Pada masa yang sama, keadaan ini turut membuktikan kes GBV masih di tahap yang tinggi di kawasan itu adalah kerana kekurangan informasi terhadap cara menangani isu tersebut. Maka tidak hairanlah jika GBV dianggap normal, selagi mana mereka percaya ia tidak bercanggah dari budaya di Palestin.

  • Penindasan wanita Palestin di dalam komuniti Israel

Palestin adalah penjara terbesar dunia. Percaya atau tidak, itulah kenyataan tanah Palestin yang bukan semata-mata dijajah Israel, tetapi juga dikawal ketat dengan pelaksanaan sekatan di setiap penjuru tempat yang dikenali sebagai checkpoint.

Dikatakan lebih 560 checkpoints di seluruh West Bank dan 175 daripadanya adalah checkpoints kekal yang dibangunkan rejim Israel. Pembinaan checkpoints sebenarnya menyukarkan pergerakan rakyat Palestin untuk keluar masuk antara kawasan yang sudah ditakluk Israel sepenuhnya dengan Sempadan Gaza dan Tebing Barat. Manakan tidak, selain bertindak menutup checkpoints sebagai tindak balas terhadap sebarang serangan yang berlaku diantara pihak Palestin dan Israel, rejim terkutuk itu turut mengenakan masa berkurung (curfew) dan permit keluar masuk kawasan; menjadikan checkpoints sebagai tapak pengawasan; ruang penahanan rakyat Palestin tanpa bersebab; pemeriksaan dan rampasan kad pengenalan; ruang ancaman dan penghinaan terhadap warga Palestin.

Inilah punca utama mengapa keadaan rakyat Palestin di dalam pengurungan rejim Israel sangat menyedihkan kerana pergerakan mereka sangat terbatas sehingga mengancam nyawa dan meletakkan ekonomi Palestin di hujung tanduk.

Berdasarkan sebuah tinjauan yang dilakukan, kematian wanita Palestin di checkpoints di antara awal Intifadah al-Aqsa sehingga 28 Februari 2005 telah mencecah 18.1 peratus daripada jumlah kumulatif kematian wanita Palestin pada masa itu. Di dalam tinjauan yang lain pula, pihak Dana Populasi Negara PBB (UNFPA) telah mengenalpasti seramai 15 dan 8 ibu mengandung pada tahun 2004 dan 2005 telah ditahan di checkpoints rejim Israel sementara menunggu giliran untuk dipindahkan ke hospital. Lebih parah, mereka terpaksa menunggu giliran selama satu hingga dua setengah jam; atau lebih daripada tempoh tersebut bergantung kepada jarak penempatan. 

Pemerhatian tersebut membawa kepada lebih daripada 70 kes kelahiran lewat dan keadaan ini boleh menyebabkan kelahiran berisiko tanpa pantauan pengamal perubatan; serta kematian ibu dan bayi yang baru lahir.

  • Penindasan wanita Palestin dari aspek sosio-ekonomi

Penglibatan golongan wanita dan lelaki Palestin dalam merancakkan ekonomi negara boleh dianggap agak meruncing berdasarkan rekod pada 2022. Bagaimanapun, jika dibandingkan antara lelaki dan wanita, hasil tinjauan mendapati bahawa wanita Palestin paling terkesan dalam penglibatan ekonomi.

Hal ini dibuktikan melalui sebuah laporan pada Jun 2022, Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial PBB bagi Asia Barat mendedahkan bahawa penglibatan wanita Palestin di pasaran buruh hanya 18.9 peratus berbanding lelaki mencatatkan rekod 70.5 peratus. Manakala pengangguran pula menunjukkan jumlah wanita lebih ramai dengan rekod mencecah 40.6 peratus, dua kali ganda berbanding lelaki (21.4 peratus). Difahamkan masalah pengangguran tertinggi berlaku di Gaza dengan rekod 47 peratus jika dibandingkan dengan Tebing Barat (14 peratus).

Difahamkan masalah pengangguran berpunca daripada ekonomi Palestin yang bergerak perlahan sehingga gagal menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan lelaki dan wanita di sana. Tetapi, impaknya lebih terkesan terhadap wanita Palestin kerana faktor lain yang menyumbang kepada masalah ini adalah disebabkan sekatan atau checkpoints rejim Israel. Manakan tidak, ketakutan dan kebimbangan terhadap keganasan dan pencabulan tentera Israel ke atas wanita menyebabkan ada keluarga Palestin terpaksa menahan kakak, adik perempuan atau isteri mereka untuk bekerja. Pada masa yang sama, sekatan dan pengepungan rejim Israel di tanah Palestin juga menyebabkan ekonomi negara itu semakin terasing sehingga dilabel “lives in a dead end”.

Sarah Edgcumbe di dalam perkongsiannya melalui New Thinking telah dinukilkan satu kisah yang berlaku semasa Intifada Kedua - dikatakan rejim Israel telah menyerang Nablus dan menembak seorang lelaki yang dikehendaki mereka. Seorang sukarelawan medik, Samar menerima mangsa itu untuk dirawat sehingga sembuh di salah satu kediaman di bandar lama Nablus. Tujuh bulan kemudian, rejim Israel mencari Samar kerana mahu wanita itu bertanggungjawab atas rawatan yang diberikan kepada lelaki tersebut. Samar telah ditahan pada tengah malam dan berada di bilik pengasingan untuk disoal siasat selama sebulan empat hari. Beliau kemudian dijatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun tujuh bulan. 

Bayangkan saja, untuk berbakti ke atas negara sendiri pun disekat haknya, apatah lagi untuk menyumbang kepada ekonomi Palestin? Saban hari berita harian daripada Palestin membuktikan banyak kedai di sekitar bandar-bandar utama Palestin seperti Nablus dan Jenin telah dimusnahkan dengan sengaja demi menunjukkan kekuasaan mereka dan meluaskan kawasan jajahan haram Israel.

Wanita Palestin: Berdiam Diri Atau Bertindak?

Apa yang telah dikongsikan ini boleh dikatakan permukaan atau lapisan pertama kepada isu-isu yang terkait dengan wanita Palestin. Sudah tentu juga ia tidak mencerminkan sepenuhnya keadaan sebenar yang jauh lebih teruk berbanding fakta di dalam artikel ini. 

Situasi yang dialami wanita Palestin sejak bermulanya penjajahan Yahudi dan Israel pada 1917 telah memaksa mereka untuk tidak terikat dengan peranan konvensional. Apa yang dimaksudkan dengan peranan konvensional ialah mereka tidak lagi memegang peranan wanita yang dilahirkan untuk menjadi seorang isteri atau ibu yang menjadi tunjang kepada keterikatan dan keteguhan institusi kekeluargaan. Sebaliknya, mereka perlu sentiasa bersiap-sedia menjadi singa yang mengaum di hadapan musuhnya demi memastikan keselamatan keluarga dan maruah mereka terpelihara, serta tanah air mereka tidak dirampas sewenang-wenangnya.  

Itulah peranan wanita Palestin pada hari ini. Namun, tidaklah semua wanita Palestin memiliki hati yang cekal untuk melawan kebiadapan rejim Israel. Masih ada segelintir di antara mereka yang memilih untuk memejamkan mata, memekakkan telinga dan menahan diri apabila rejim Israel bertindak kasar ke atas mereka. Maka, tidak hairanlah mengapa masih ada penindasan wanita di Palestin.

Persoalannya, tidakkah wanita Palestin ada perancangan yang strategik seperti mewujudkan gerakan wanita untuk melawan rejim Israel dalam menuntut hak mereka di tanah air sendiri?

Sebenarnya sejak awal penjajahan kuasa asing di Palestin, sudah ada gerakan wanita yang memperjuangkan hak mereka dan kemerdekaan tanah air. Tetapi impaknya terhadap wanita Palestin pada hari ini seakan tidak memberi kesan yang mampan – mengapa? 

Topik ini menarik untuk dikongsikan kelak bagi meninjau sejauh mana keberkesanan perjuangan mereka dalam menuntut hak asasi wanita di Palestin dan adakah PBB berjaya memainkan peranan mereka dalam memartabatkan wanita di negara itu. 

Tuntasnya di sini, suara wanita Palestin perlu didengari dan tuntutan mereka ke atas tanah air Palestin harus diambil secara serius kerana ia dapat membantu kebangkitan tanah air mereka dalam pelbagai aspek. 

Kekerasan rejim Israel ke atas wanita Palestin juga perlu diambil tindakan kerana jenayah yang dilakukan melampaui batas seorang manusia. Ini bermakna PBB dan negara kesatuan Eropah sebagai entiti yang mengaku komited dalam perjuangan hak manusia perlu bertindak agresif, tidak hanya bermain dengan sentimen ‘kenyataan tegas’ semata-mata kerana tanpa tindakan, apalah erti perjuangan hak kemanusiaan yang kononnya demi kesejahteraan umat seluruh dunia.