All Articles

Baitul Maqdis dan Bulatan Barakah

Written by
Sabrina Suhaimi
Published on
March 6, 2023

Apabila bercakap tentang ‘barakah’, acapkali terma ini dikaitkan dengan keredaan Allah SWT. 

Barakah berasal daripada perkataan Arab – “ba-ra-ka” atau بركة yang bermakna penambahan, kebahagiaan dan tumbuh. Manakala Kamus DBP versi dalam talian pula menakrifkan perkataan barakah sebagai sesuatu yang ada hubungan dengan rezeki, ilmu, amalan dan sebagainya mendapat reda daripada Allah.

Dikatakan perkataan barakah boleh dikenal pasti melalui 31 ayat yang merangkumi 24 surah di dalam al-Quran. Salah satunya surah Fussilat, ayat 10:

Dan Ia menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya (tersergam tinggi) di atasnya, serta Ia melimpahkan berkat padanya, dan Ia menentukan ada padaNya bahan-bahan keperluan hidup penduduknya, sekadar yang menyamai hajat yang diminta dan dikehendaki oleh keadaan mereka.

Profesor Dr. Abd al-Fattah el-Awaisi pernah memberitahu bahawa barakah merupakan hadiah atau anugerah Allah dalam apa-apa jua bentuk mahupun aspek kepada umat manusia baik secara individu atau berkumpulan. Mereka ini boleh jadi orang yang dipilih Allah SWT seperti para nabi, para syuhada atau di sesebuah tempat, begitu juga masa.

Misalnya tragedi Mavi Marmara yang berlaku pada 31 Mei 2010 telah menyaksikan lebih 600 sukarelawan kemanusiaan dari 40 buah negara berdepan dengan rejim Zionis di Gaza. Bagaimanapun, atas takdir Allah SWT hanya 10 orang diantara mereka telah syahid. 

Menurut Prof. al-Fattah, walaupun sebagai hamba yang tiada kedudukan sama seperti para nabi dan para sahabat, jika seseorang itu bekerja lillahi ta’ala,  itulah keberkatan yang diterima berdasarkan cara Allah SWT memilih dan memandu kehidupan hambanya.

Bagaimana pula barakah di dalam masa?

Ini sangat menarik perhatian penulis kerana keberkatan di dalam masa tidak hanya terhad kepada doa dan usaha-usaha yang ikhlas dan baik untuk menjadikan masa lebih barakah.

Tetapi Allah SWT telah pun memberkati masa secara lebih spesifik iaitu pada bulan Ramadan:

Dalam setahun, kita mempunyai 12 bulan. Di antara bulan-bulan tersebut, Allah SWT kurniakan kepada umat Islam bulan Ramadan. Di dalam bulan mulia itu, kita ada 30 hari untuk berpuasa dan 10 hari terakhir telah disebutkan ada  malam-malam ganjil. Manakala di dalam malam-malam ganjil itu pula hanya ada satu malam yang Allah SWT hadiahkan kepada hambanya yang terpilih iaitu malam Lailatul Qadar.

Setakat ini sahaja kita boleh lihat bagaimana terperincinya Allah SWT menunjukkan barakah-Nya secara jelas jika seseorang hamba itu melihat setiap kejadian itu dengan penuh rasa rendah diri.

Begitu juga seluruh Palestin, termasuk Baitul Maqdis yang telah diberkati Allah SWT. Pun begitu, kenyataan itu tidak sepenuhnya mendakwa Mekah atau Madinah tidak diberkati kerana jelaslah setiap tempat di dunia ini ada barakahNya tetapi dengan kadar yang berbeza. 

Misalnya Allah SWT telah memilih Mekah sebagai pusat gerakan dakwah Islam yang mana menjadi punca penyebaran hidayah ke seluruh dunia. Malah, Kaabah adalah kiblat orang Islam selepas perintah Allah SWT ke atas Nabi Muhammad SAW untuk beralih arah dari Masjidil Aqsa.

Madinah pula telah dipilih Allah SWT sebagai pusat penyebaran rahmat kepada sekalian alam. 

Manakala Baitul Maqdis pula ialah pusat barakah bagi seluruh dunia sebagaimana firman Allah SWT melalui ayat-ayat kitab suci al-Quran. Salah satunya telah disebutkan-Nya secara spesifik di dalam surah al-Israa’, ayat 1:

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya.

2 Jenis Barakah: Hissiyah dan Ma’nawiyah

Prof. al-Fattah awal-awal lagi menjelaskan bahawa barakah adalah sesuatu yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar tetapi bukti keberkatan itu dapat disaksikan berdasarkan lokasi dan iklimnya yang menyumbang kepada kesuburan hasil aktiviti pertanian di sesebuah tempat. 

Inilah dikatakan barakah hissiyah yang boleh dilihat pada iklim dan kedudukan strategik di Baitul Maqdis.

Jika hendak dibandingkan antara Malaysia dan Baitul Maqdis, mungkin negara ini berada di lokasi yang strategik kerana jauh daripada benca alam serius seperti tsunami atau gempa bumi. Tetapi Baitul Maqdis sangat unik kerana di dalam satu negeri itu ada empat musim dalam satu masa, bermula dari utara sehingga ke barat. Keadaan ini secara tidak langsung telah menyuburkan tanah Baitul Maqdis dengan empat jenis tanaman:

Bahagian selatan: terbentangnya padang pasir yang menjadi kawasan pertanian gandum.

Bahagian utara: berdiri teguh bukit dan gunung-ganang sekitar bandar al-Khalil. Kawasan pergunungan ini sangat terkenal dengan tanaman buah zaitun dan buah tin. 

Bahagian barat: bermula dari bandar al-Khalil sehingga Tebing Barat, ada tanah rata sehinggalah bertemu dengan pesisir pantai Laut Mediterranean. 

Bandar al-Khalil terkenal dengan tanaman anggur. Dikatakan di daerah itu sahaja terdapat 20 jenis anggur! Di Malaysia, hanya ada dua jenis anggur sahaja yang dikenali umum – berwarna hijau atau ungu; berbiji atau tanpa biji.

Manakala di sekitar kawasan pesisiran pantai, tanaman buah seperti citrus (sitrus), limau, lemon, grapefruit (limau gedang) sangat subur.

Bahagian timur: wujudnya kawasan lembah yang lebih rendah dari paras laut. Kawasan ini dikatakan sangat meriah dengan pertanian pokok pisang dan buahnya merupakan yang terbaik di dunia.

Bayangkan sahaja keunikan Baitul Maqdis, terutama di Haifa, tempat berdirinya Gunung Karmel di pesisir pantai telah menggabungkan angin panas dan sejuk, menjadikan kawasan tersebut sangat mendamaikan. Maka tidak hairanlah Prof. al-Fattah menyifatkan inilah syurga Allah SWT yang sebenar di muka bumi. 

Sementara itu, barakah ma’nawiyah pula lebih melibatkan penghayatan melalui minda dan mata hati. 

Sedia maklum bahawa Baitul Maqdis terkenal sebagai tanah atau bumi para nabi. Namun, timbul persoalan jika tanah itu diberkati kerana pernah menjadi tempat tinggi para nabi atau lebih awal sebelum hadirnya para nabi.

Prof. al-Fattah ada menjelaskan bahawa barakah Allah SWT ke atas Baitul Maqdis adalah sebelum hadirnya para nabi. Buktinya, keberadaan para nabi di Baitul Maqdis suatu ketika dahulu adalah tanda tanah suci itu diberkati. Sehingga kini umat Islam masih boleh merasakan keberkatan Allah SWT terhadap Baitul Maqdis dengan membayangkan makam para nabi dan para sahabat, malah ada sebahagian beberapa bangunan pada zaman nabi masih kekal sehingga sekarang.

Ini bermakna, para nabi bukanlah asbab Masjidil Aqsa dan Baitul Maqdis diberkati. Surah al-Anbiya, ayat 71 juga menegaskan perihal ini dengan mengisyaratkan bahawa keberkatan ke atas Baitul Maqdis telah berlaku zaman kenabian Ibrahim AS, bahkan boleh jadi sejak Allah menciptakan bumi:

..negeri yang Kami limpahkan berkat padanya untuk umat manusia.

Makna Istimewa surah Al-Israa’ Berkaitan Masjid al-Aqsa dan Baitul Maqdis

Surah al-Israa’ tidak dinafikan sangat terkenal kerana kaitannya dengan peristiwa Israk Mikraj yang menjadi turning point bagi seluruh umat Islam. Berdasarkan rekod sejarah Islam, pada malam insiden bersejarah itu, pertemuan antara Nabi Muhammad SAW dengan para rasul dan nabi telah menjadi simbolik penyerahan tampuk pimpinan ummah kepada Baginda.

Pada masa yang sama, satu hal menarik yang telah dikupas Prof. al-Fattah di dalam program Road 2 Baitul Maqdis pada September lalu ialah pada sebaris firman Allah SWT: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya” di dalam surah al-Israa’ ayat 1.

Jika diperhatikan secara dekat, ayat tersebut jelas berbeza dengan empat ayat lain yang turut menyentuh perihal barakah di Baitul Maqdis. Misalnya:

Al-Anbiya, ayat 71

Dan Kami selamatkan dia dan (sepupunya) Nabi Lut ke negeri yang Kami limpahkan berkat padanya untuk umat manusia.

Al-Anbiya, ayat 81

Dan (Kami mudahkan) bagi Nabi Sulaiman angin yang kencang tiupannya, bertiup menurut kehendaknya ke negeri yang Kami limpahi berkat padanya; dan adalah Kami mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Saba’, ayat 18

Dan - di antara tempat tinggal mereka (di negeri Yaman) dengan bandar-bandar (di daerah negeri Syam) yang Kami limpahkan berkat kepadanya (dengan kemakmuran)

Al-A’raaf, ayat 137

Dan Kami wariskan kepada kaum (Bani Israil) yang telah tertindas itu akan daerah-daerah timur bumi (Palestin) dan daerah-daerah baratnya, yang Kami telah melimpahkan berkat padanya.

Berdasarkan ayat pertama di dalam surah al-Israa’, sudah jelas Allah SWT berfirman secara spesifik bahawa Masjid al-Aqsa merupakan pusat keberkatan dan sekelilingnya juga turut menerima barakah sebagaimana ditekankan melalui ayat – “yang Kami berkati sekelilingnya”.  

Perkataan ‘sekelilingnya’ membawa konteks yang menunjukkan bahawa keberkatan yang direkodkan di dalam al-Quran bergerak di dalam sebuah lingkaran atau bulatan sekitar Masjidil Aqsa. Ini juga bermakna, selagi mana Masjidil Aqsa masih teguh berdiri, maka keberkatan itu masih menjangkaui seluruh pelusuk dunia walaupun kadarnya bergantung pada jarak lokasi yang berbeza - semakin jauh dari pusat barakah itu, semakin kurang barakahnya.

Malaysia juga tidak terkecuali, turut menerima barakah Masjidil Aqsa meskipun jarak dua tempat ini sangat jauh. Namun, sudah tentulah tidak menerima barakah yang sama seperti beberapa kawasan terdekat seperti al-Khalil atau Haifa.

Masjid al-Aqsa, Titik Barakah yang Perlu Dipertahankan

Apabila mengetahui Malaysia berada di dalam barakah-Nya kerana kewujudan Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis, tidakkah ia menjentik satu perasaan perjuangan yang perlu dijulang di dalam diri pembaca?

Tidak cukup dengan itu, surah al-Israa’ kini sudah mencapai sudut perspektif yang pelbagai, tidak hanya menceritakan tentang kejadian Israk dan Mikraj tetapi lebih daripada itu. 

Surah ke-17 yang terdapat di akhir separuh pertama al-Quran ini telah menjelaskan firman Allah SWT turut membawa makna sebenar di sebalik perjalanan malam Nabi Muhammad SAW yang menjadi titik perubahan orang Islam dan seluruh Baitul Maqdis. Malah, Allah SWT juga secara spesifik berfirman tentang barakah di sebalik ayat pertama surah al-Israa’ dengan perkataan “sekelilingnya”. 

Ketika surah ini diturunkan, pembaca perlu tahu bahawa ia berlaku pada era Rasulullah SAW. Di sini sahaja sudah cukup menyimpulkan bahawa perjuangan yang telah diusahakan Baginda pada zamannya, iaitu membebaskan Baitul Maqdis daripada penjajahan kuasa asing perlu terus dipertahankan.

Bayangkan, Masjid al-Aqsa hilang dari perhatian dunia kerana ketamakan rejim Zionis mahu merampas Palestin, tidakkah ia membuktikan bahawa umat Islam gagal menjadi pelindung kepada satu-satunya tanah orang Islam di dunia?

Janganlah menjadi umat yang takut untuk memperjuangkan hak orang Islam sedangkan Allah SWT sudah menjanjikan kemenangan bagi orang yang teraniaya dan berusaha mengubah masa depan kaumnya sendiri:

Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu. – Surah Muhammad, ayat 7