Minoriti di Puncak Kuasa: Bagaimana Pelampau Kanan Membentuk Suasana Politik Israel
Selama hampir setengah abad, Israel telah pun diperintah majoritinya oleh gerakan kanan. Ada beberapa ketika parti berhaluan kiri memimpin Israel. Ketika di fasa awal penubuhan negara haram Israel, Parti Buruh yang dibentuk melalui penyatuan tiga buah parti iaitu Mapai, Ahdut HaAvoda dan Rafi pernah memerintah Israel bermula tahun 1960-an sehinggalah dijatuhkan melalui pilihan raya pada 1977.
Kerajaan yang dibentuk oleh Benjamin Netanyahu di penghujung tahun 2022 merupakan kerajaan berhaluan kanan melampau (far-right). Apa maksud haluan kanan melampau? Haluan kanan melampau, juga dikenali sebagai kanan ekstrem merupakan antara haluan yang ada di dalam spektrum politik. Haluan kanan ekstrem ini selalunya memiliki ciri ciri radikal konservatif, ultra-nasionalis dan autoritarian.
Kerajaan negara haram Israel yang wujud pada hari ini merupakan kerajaan yang terdiri daripada enam buah parti politik yang mengumpulkan 64 buah kerusi daripada 120 kerusi selepas pilihan raya yang berlangsung pada 1 November 2022. Gabungan yang terdiri daripada parti Likud yang dipimpin oleh Netanyahu turut disertai dua buah parti ultra-ortodoks dan tiga buah parti berhaluan kanan melampau; United Torah Judaism, Shas, Religious Zionist Party dipimpin oleh Bezalel Smotrich, Otzma Yehudit yang dipimpin oleh Itamar Ben-Gvir dan parti Noam.
Berdasarkan data, kerajaan sekarang hanya mewakili 10.8% daripada jumlah undi keseluruhan, bermaksud hanya 1 daripada 10 orang yang mengundi menyokong ideologi kanan melampau ini, tetapi ia membentuk polisi-polisi dan tindakan penting kerajaan.
Gabungan parti yang membentuk kerajaan ini mempunyai kepercayaan yang rapuh kepada institusi kerajaan dan mereka yang bekerja dengan kerajaan ⸺ daulah terpendam (deep state) ⸺ kerana itu banyak pertembungan antara tentera dan para pendatang haram Israel yang ada di Tebing Barat juga turut menjadi antara konflik kerajaan kerana ada dalam kalangan menteri Netanyahu yang lebih menyebelahi para pendatang berbanding mereka yang bekerja dalam sektor kerajaan; dalam hal ini tentera Israel itu sendiri.
Sebagai contoh, kejadian rusuhan yang berlaku di Sde Teimen, pusat tahanan yang turut menempatkan para tahanan Palestin yang dituduh sebagai HAMAS. Kejadian rusuhan itu bertitik tolak daripada tindakan polis tentera Israel yang menahan sembilan orang tentera simpanan atas dakwaan melakukan penderaan seksual ke atas tahanan di pusat tahanan tersebut. Puluhan warga aktivis mewar-warkan protes di media dan kemudiannya berarak menuju ke pusat tahanan tersebut. Kemudiannya mereka berarak ke Beit Lid yang terletak di tengah Israel, sebuah pusat ketenteraan yang menempatkan mahkamah tentera, tempat di mana perbicaraan dijalankan dan memasuki kawasan tersebut dengan paksaan.
Dalam hal ini ada dua perkara yang banyak memainkan peranan di dalam menyemarakkan api keganasan puak pelampau; media dan tindakan para pemimpin kerajaan.
Apa tindakan para pemimpin kerajaan? Itamar Ben-Gvir, Menteri Keselamatan Nasional dan Bezalel Smotrich, Menteri Kewangan Israel turut bersama di dalam rusuhan tersebut dan menempelak tentera Israel dan meminta kepada peguam tentera untuk “melepaskan genggaman mereka daripada tentera simpanan yang didakwa.” Polis ⸺ yang berada di bawah kekuasaan Ben-Gvir selaku Menteri Keselamatan Nasional ⸺ mengambil masa selama dua minggu sebelum menjalankan siasatan terhadap dakwaan tersebut.
Di mana Netanyahu? Senyap dan langsung tidak mengambil sebarang tindakan terhadap ahli kabinetnya yang turut terlibat di dalam rusuhan tersebut. Insiden ini hanyalah insiden kecil yang berlaku sepanjang masa; terutamanya di Tebing Barat apabila para pendatang ekstremis merasakan para tentera Israel tidak bertindak dengan apa yang mereka inginkan dan dirasakan bahawa tentera Israel menghalang mereka mencapai apa yang mereka inginkan. Kerana itu ada banyak pertembungan antara puak ekstremis dan tentera Israel berlaku.
Kini segala keganasan dan pelanggaran undang-undang itu bukan sahaja berlaku di Tebing Barat, malah sudah mula menjalar ke dalam negara haram Israel; insiden Sde Teiman antara buktinya. Kerajaan Netanyahu yang berhaluan kanan melampau ini melihat segala perkara ini sebagai bukan sahaja cara untuk mempromosikan pengilhakkan Tebing Barat tetapi dalam masa yang sama sebagai cara untuk melemahkan institusi yang ada di dalam negara seterusnya lebih menjamin cengkaman mereka terhadap kuasa; pentadbiran Israel itu sendiri.
Pengaruh Agama di dalam Spektrum Politik Kanan Melampau
Pandangan dunia (worldview) kerajaan Israel ini tidak jauh berbeza daripada aliran anarkis, sangat anti-kerajaan, dan paranoid seperti yang dilihat dalam Trumpisme. Namun, dalam konteks Israel, elemen agama adalah yang paling utama; malah, jarang sekali kita temui golongan kanan ekstrem yang tidak taat beragama. Oleh itu, agenda sayap kanan ini bukan sahaja bertujuan untuk meruntuhkan asas liberal dan demokrasi negara, tetapi juga menggantikannya dengan kerajaan yang lebih autoritarian serta menjadikan Israel sebuah negara teokratik. Malah, ramai yang percaya bahawa peperangan dan keganasan yang melanda Israel pada masa kini akan membawa kehadiran Mesiah dan penebusan. Mereka mahu menggalakkan lagi keganasan dan peperangan.
Bulan-bulan awal pentadbiran Netanyahu menyaksikan sayap kanan cuba melemahkan negara dari dalam. Reformasi kehakiman, yang bertujuan menundukkan sistem kehakiman kepada ahli politik, menjadi pusat kepada kempen tersebut. Namun, itu bukan satu-satunya langkah yang dilakukan. Ben-Gvir melalui posisi menteri yang dia dapat, menjadikan pasukan polis sebagai orang suruhannya, menjadikannya alat untuk melindungi pihak kanan dan menekan protes anti-kerajaan. Di Tebing Barat, Smotrich menguasai hal ehwal awam dan secara unilateral meneruskan dasar aneksasi de facto, merampas tanah secara haram, dan membina penempatan haram di kawasan yang dirampas.
Apabila pemimpin sayap kanan semakin yakin dengan cengkaman mereka terhadap kuasa, pengikut mereka merasa lebih bebas untuk membawa agenda mereka ke jalanan. Tiada bukti secara jelas bahawa Ben-Gvir dan Smotrich secara peribadi mengarahkan tindakan ganas yang berlaku ini, tetapi mereka menggalakkannya. Ben-Gvir memastikan polis mengelak daripada berdepan atau menyiasat keganasan yang dilakukan oleh mereka yang berfahaman haluan kanan. Dia juga telah melonggarkan peraturan pemberian lesen senjata api, membolehkan lebih daripada 100,000 lesen dikeluarkan sejak 7 Oktober, dalam banyak kes tanpa penapisan atau pengawasan yang ketat.
Tidak mungkin terdapat strategi besar untuk menyebarkan keganasan dari Tebing Barat ke Israel, tetapi wilayah yang diduduki telah berfungsi sebagai medan ujian. Di bawah kerajaan semasa, peneroka ekstremis merasa lebih berkuasa dan kebal dengan mengetahui bahawa ramai yang berada dalam koridor kuasa menyokong mereka, manakala selebihnya berdiam diri. Hasilnya, keganasan sayap kanan meningkat secara mendadak.
Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) menganggarkan bahawa dalam 10 bulan pertama perang, pendatang haram Israel bertanggungjawab terhadap kira-kira 1,250 serangan ke atas penduduk Palestin di Tebing Barat, di mana sekitar 120 daripadanya menyebabkan kematian atau kecederaan. Kebanyakan insiden ini berskala kecil, namun dari semasa ke semasa melibatkan puluhan atau lebih perusuh. Serangan besar-besaran yang terbaru berlaku pada 15 Ogos, apabila kira-kira 100 peneroka bertopeng menyerang Jit, sebuah perkampungan warga Palestin, menembak, membakar kenderaan dan rumah, serta membaling batu. Seorang rakyat Palestin terbunuh. Siasatan tentera mendedahkan bahawa tentera yang tiba di tempat kejadian pada awalnya gagal menghentikan perusuh, yang nampaknya termasuk anggota simpanan luar tugas, lengkap dengan seragam dan senjata yang dikeluarkan oleh tentera.
Tiada petunjuk bahawa keganasan ini disokong oleh majoriti rakyat Israel atau pun majoriti Yahudi yang taat beragama, yang hanya membentuk kurang daripada satu perempat rakyat Israel. Namun, semua ini tidak penting kerana sayap kanan telah menguasai sebahagian besar kerajaan. Setelah ditolak oleh golongan kanan tengah, Netanyahu melihat sayap kanan sebagai satu-satunya cara untuk kembali berkuasa dalam pilihan raya 2022 dan berjaya mengatur penggabungan antara parti Religious Zionism and Otzma Yehudit untuk memastikan mereka dapat mengumpul seberapa banyak undi yang mungkin. Hari ini, mereka mempunyai kuasa untuk menentukan nasib kerajaan dan telah mengukuhkan kuasa mereka ke atas polis, belanjawan negara, dan dasar di Tebing Barat. Bertekad untuk kekal berkuasa dengan apa cara sekalipun, Netanyahu memejamkan mata terhadap provokasi yang dilakukan puak pelampau kanan dan penghinaan berulang kali terhadap kewibawaannya.
Sejak 7 Oktober, sayap kanan turut mensasarkan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) sebagai satu lagi benteng nilai sekular. Trauma akibat kegagalan semasa serangan Hamas pada 7 Oktober dan sibuk dengan peperangan, IDF lambat bertindak balas terhadap peningkatan keganasan di Tebing Barat dan penembusan nilai sayap kanan ke dalam barisannya, terutamanya di kalangan anggota simpanan.
Pihak pertahanan rejim Israel akhirnya tersedar dari lena. "Jenayah nasionalis telah muncul di bawah perlindungan peperangan dan membawa kepada tindakan balas dendam serta menimbulkan malapetaka dan ketakutan dalam kalangan penduduk Palestin yang tidak menimbulkan ancaman," amaran Mejar Jeneral Yehuda Fuchs dalam ucapan perpisahan kepada pasukan tentera pada Julai sebelum meletakkan jawatan sebagai ketua tentera di Tebing Barat. Dalam surat yang ditujukan kepada para menteri pada Ogos, Ronen Bar, Pengarah Shin Bet, perkhidmatan keselamatan dalaman Israel, memberi amaran tentang "serangan balas dendam yang mencetuskan satu lagi medan peperangan dalam konflik pelbagai medan yang sedang dihadapi; melibatkan lebih ramai pihak dalam kitaran keganasan; dan membawa kepada perasaan hilang kawalan."
Amerika Syarikat dan beberapa kuasa Barat lain turut cuba mengawal keganasan ini dengan mengenakan sekatan terhadap pelaku yang dikenali. Namun, tindak balas ini dijangka tidak akan memberi kesan mendalam terhadap kerajaan yang melihat pihak pertahanan sendiri dan sekutu Israel sebagai musuh. Lagipun, ‘tangan” IDF sebahagian besarnya terikat kerana ia berada di bawah kuasa ahli politik awam yang menjadi punca menyebabkan masalah ini. Di dalam Israel, tentera tidak mempunyai kuasa untuk bertindak, dan kini polis kelihatan berada sepenuhnya di bawah kawalan Ben-Gvir.
Ke mana arah tujuannya? Setelah berjaya melakukan tindakan di Sde Teiman dan Beit Lid, golongan kanan radikal pasti akan cuba menyerang lagi di dalam Israel. Tinjauan menunjukkan bahawa rakyat Israel semakin hilang kepercayaan terhadap institusi-institusi negara, dan media sosial boleh menjadi alat yang berkesan untuk mengumpulkan orang ramai. Sama ada mereka mampu memperluaskan gerakan anarki ini dengan melibatkan ratusan atau ribuan orang untuk turut serta, masih belum dapat dipastikan. Setakat ini, sayap kanan masih belum berjaya membentuk sebuah organisasi massa yang mampu menjalankan kempen kekacauan secara berterusan. Namun, dengan cengkaman kuat mereka terhadap kuasa, mereka mungkin tidak memerlukannya gerakan massa, selagi mana mereka masih memiliki cengkaman yang kuat terhadap kuasa; kerajaan Israel itu sendiri.