AS Memperlekehkan Situasi Gaza, Ugutan Israel Hanya Sekadar Wayang
Amerika Syarikat (AS) adalah satu watak yang tidak boleh disangkal lagi, sangat manipulatif apabila melibatkan penindasan manusia seperti yang berlaku di Gaza dan Lubnan, begitu juga demi mempertahankan Israel.
Pada minggu lepas, AS telah mengambil tindakan yang berbeza dalam tempoh 24 jam - pertama, menyalurkan bantuan ketenteraan seperti senjata, bahan letupan dan dana, termasuk mengerahkan 100 anggota tentera ke Israel; kedua, menyeru Israel untuk memulihkan keadaan kemanusiaan di Gaza atau jika tidak, mereka perlu menanggung akibat yang tidak dipastikan.
Walaupun tidak dijelaskan impak yang akan ditanggung Israel dan dikatakan tiada kaitan dengan pilihan raya presiden pada bulan hadapan, namun kenyataan AS boleh dianggap sebagai satu ancaman kosong terhadap Israel. Lagi-lagi kita sedia maklum bahawa tidak lama lagi akan ada pilihan raya presiden untuk penggal seterusnya di AS. Semestinya mereka mahu manfaatkan peluang dengan memancing pengundi yang mendukung hak kemanusiaan di Palestin.
Jika kita lihat kepada ketegasan AS terhadap Israel yang pernah direkodkan sebelum ini, tidak pernah sekalipun negara yang ditadbir Joe Biden itu benar-benar melaksanakan hukuman undang-undang ke atas rejim penjajah di Palestin sejak 7 Oktober 2023.
Mahu lebih nampak ketidakpedulian AS, lihat sahaja kepada Perjanjian Oslo yang kononnya bertujuan untuk mengiktiraf hak autonomi penduduk Palestin ke atas Gaza dan Tebing Barat yang dikawal rejim Israel sejak an-Naksah pada 1967. Apa yang dilakukan pentadbiran AS - ditadbir oleh Presiden Bill Clinton - selepas perjanjian itu ditandatangani adalah menolak resolusi-resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan alasan ia sudah tidak relevan, menjadikan perjanjian itu sebagai helah untuk merampas keseluruhan Palestin dengan meluaskan lagi penempatan haram bangsa Yahudi dan enggan meninggalkan kawasan yang dijamin untuk penduduk Palestin.
Jadi tidak hairanlah jika pada hari ini, Resolusi 181 yang menjadi asas kepada penubuhan negara haram Israel pada 1948 gagal membela nasib rakyat Palestin. Disebabkan resolusi PBB dianggap sudah tidak relevan, maka Israel tidak malu untuk bertindak agresif walaupun ditentang oleh majoriti penduduk dunia.
Menyentuh perihal perbelanjaan AS untuk menyokong genosid Israel di Gaza, termasuk serangan ke beberapa negara lain dalam tempoh setahun bermula 7 Oktober 2023 sehingga 7 Oktober 2024, Watson Institute for International & Public Affairs Brown University mendedahkan sebanyak $17.9 bilion telah dibelanjakan. Pecahannya boleh dikenalpasti dengan nilai berikut: Kewangan Ketenteraan Luar ($6,800 bilion), Pertahanan Misil ($4,500 bilion), Pertahanan Misil - Iron Beam ($1,200), Penghasilan Artileri ($1,000), Penambahan Senjata yang Dihantar kepada Israel dari Saham AS ($4,400).
Dikatakan juga, Israel-AS masih terikat dengan perjanjian bantuan tentera bernilai $38 bilion selama 10 tahun yang dirunding ketika pentadbiran Barrack Obama. Perjanjian itu juga melibatkan bantuan ketenteraan selama setahun, bernilai $3.3 bilion yang boleh dibelanjakan untuk sebarang peralatan ketenteraan, ditambah dengan $500 juta sebagai pembiayaan pelbagai sistem pertahanan peluru berpandu.
Hasilnya, Israel telah membelanjakan sebanyak $4.7 bilion daripada $1.8 bilion sejak 7 Oktober 2023 sehingga ke hujung tahun yang sama. Untuk tahun 2023 sahaja, sebanyak $27.5 bilion telah dibelanjakan, menjadikan Israel berada di tempat ke-15 selepas Poland tetapi mengatasi Sepanyol dan Kanada.
Secara ringkas, inilah perbelanjaan yang AS sanggup taburkan kepada Israel demi menjayakan kepentingan masing-masing. Ia tidak bermula dengan 7 Oktober 2023, malah lebih awal daripada itu - seawal Perang Dunia Kedua (WWII).
Ketika ini, untuk menyaksikan sendiri AS bertegas dengan Israel terlalu mustahil. Tahun berganti tahun, pemimpin berganti pemimpin, tidak pernah sekali pun kita menyaksikan pembelaan nasib rakyat Palestin yang serius oleh mana-mana pentadbiran AS.
Apa yang jelas, ancaman untuk Israel demi ‘keamanan’ Gaza hanya sebuah wayang selagi mana AS terus mendanai Israel, menentang mana-mana resolusi di dalam Majlis Keselamatan PBB (UNSC) dan bermain dengan helah untuk mencapai objektif masing-masing.