AS Memfailkan Tuduhan, Sengaja Melemahkan Hamas?
Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) telah memfailkan tuduhan ke atas enam pemimpin HAMAS, iaitu Yahya Sinwar; Ismail Haniyeh; Marwan Issa, selaku timbalan pemimpin HAMAS di Gaza; Khaled Mashaal, mantan pemimpin HAMAS; Mohammed Deif dan Ali Baraka ekoran daripada jenayah di wilayah haram Israel pada 7 Oktober 2023.
Keenam-enam pemimpin HAMAS itu berdepan dengan tujuh tuduhan termasuklah jenayah keganasan, konspirasi pembunuhan warga AS dan konspirasi menggunakan senjata dalam kemusnahan besar-besaran sehingga mengakibatkan kematian.
Dakwaan terkini ke atas HAMAS secara tidak langsung dilihat sebagai satu helah yang bertujuan untuk melemahkan peranan pemimpinnya sebagai orang tengah di dalam konflik Israel-Gaza. Malah, sebenarnya ia bukanlah satu kejutan memandangkan AS sememangnya pendukung besar Israel.
Melalui satu rakaman video, Peguam Negara, Merrick Garland menjelaskan bahawa pertuduhan terkini itu merupakan sebahagian daripada usaha mereka menyasarkan setiap aspek operasi HAMAS, terutamanya dalam insiden 7 Oktober. Pada ketika itu, seramai 1,200 penduduk haram Israel, termasuk 40 orang warga AS terbunuh dan beberapa ratus yang lain ditangkap.
Bagaimana pula dengan jenayah Israel ke atas seluruh Palestin - Gaza dan Tebing Barat - yang menyebabkan lebih daripada sejuta warga Palestin terkesan sejak an-Nakbah pada 1948 sehingga ke hari ini?
Ketika Ketua Pendakwa Raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Karim Khan sudah memberi lampu hijau untuk hakim segera membuat keputusan untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan para menterinya yang lain, Jabatan Kehakiman AS langsung tidak menyuarakan keadilan untuk Palestin sama seperti yang dilakukan pada hari ini.
Dan yang lebih pasti, melalui pertuduhan terkini, sebagai orang tengah di dalam rundingan gencatan senjata, AS seakan-akan sedang berunding dengan HAMAS tanpa bertemu mata. Begitu juga Israel yang acapkali mencabuli rundingan gencatan senjata sehingga menyebabkan keamanan di Gaza tertangguh sehingga 10 bulan lamanya.
Manakan tidak, tindakan AS mendakwa pemimpin HAMAS tidak mustahil akan mengeruhkan kedudukannya sebagai orang tengah di dalam rundingan gencatan senjata di Gaza. Boleh jadi HAMAS menarik semula persetujuan mereka dalam rundingan pada 2 Julai 2024 kerana kehilangan kepercayaan terhadap seluruh institusi di AS.
Tidak cukup dengan itu, dakwaan terkini diumumkan beberapa hari selepas penemuan 6 mayat tawanan di terowong di selatan Gaza. Seakan-akan Israel menghantar satu mesej melalui AS bahawa mereka nekad membuktikan jenayah HAMAS ketika amarah penduduk haram Israel semakin memuncak.
Jelas melalui pertuduhan ini, AS dan Israel mahu meletakkan jenayah 7 Oktober 2023 ke atas HAMAS tanpa mengira betapa ramainya penduduk Gaza yang sudah syahid dan mengabaikan hak orang Palestin untuk mempertahankan tanah air mereka.
Barangkali dengan cara kotor ini, Israel dan AS mahu mendapatkan semula sokongan dunia untuk keadilan nyawa-nyawa rakyat yang sudah hilang akibat ketamakan mereka sendiri.