All Articles

Analisis Perang Hamas-Israel vs Ukraine-Rusia

8 min read
Written by
Syahmi Afiq
Published on
November 10, 2023

Siapa masih ingat perang antara Ukraine dan Rusia? 

Perang yang memakan masa selama 536 hari itu bermula pada 24 Februari 2022 dan berlarutan sehingga 10 September 2023 telah mengakibatkan sejumlah 9,614 penduduk Ukraine terbunuh (554 daripadanya adalah kanak-kanak), manakala 17,535 yang lain tercedera (1,180 daripadanya adalah kanak-kanak).

Natijah daripada perang ini, seramai 46,000 warga Ukraine memilih untuk keluar melarikan diri dari negara mereka dan berhijrah ke wilayah haram Israel.

Selepas setahun sejak hari pertama perang Ukraine-Rusia berlaku, seramai lebih 31,000 daripada 46,000 yang sampai ke Israel, termasuk 1,000 yang layak mendapatkan kewarganegaraan Israel sudah pun keluar dari Israel untuk ke negara lain ataupun kembali ke Ukraine. 

Inilah bahana kerakyatan dua negara - tiada kesetiaan terhadap tanah air. Disebabkan itu jugalah, permohonan untuk mendapat dua kerakyatan perlukan perbincangan yang telus agar tidak menimbulkan kesan kepada struktur asas perlembagaan bagi sesebuah negara.

Tetapi, beberapa buah negara seperti Australia, Jerman, AS, Jepun, Korea Selatan dan Filipina membenarkan rakyatnya untuk memiliki dua kewarganegaraan. Mereka tidak melihatnya sebagai satu masalah besar (ye la, mungkin senang untuk mereka bergerak dari satu negara ke negara lain atau dah tak perlu lagi buang masa mengisi borang sebagai pendatang luar).

Berbalik kepada topik asal, Perang Taufan al-Aqsa yang melibatkan HAMAS dan rejim Israel kini sudah memasuki hari ke-33. Dalam tempoh yang singkat ini, jumlah mereka yang terkorban sudah menjangkau lebih 10,500 orang. Rekod tersebut melibatkan jumlah korban dalam kalangan kanak-kanak adalah seramai lebih 4,300 orang dan hampir 3,000 wanita. Manakala 26,475 yang lain tercedera. 

Bagaimana jumlah yang terkorban di Gaza lebih tinggi berbanding perang Ukraine-Rusia yang mengambil masa lebih 500 hari? 

Jawapannya, kerana saiz Gaza yang kecil dan jumlah penduduk yang padat. Hanya satu bom atau serangan udara yang dilancarkan rejim Israel, pasti akan ada yang terkorban. 

Tidak cukup dengan itu, sikap Zionis yang tidak berhati perut kerana menyerang fasiliti awam seperti rumah ibadah, hospital dan sekolah yang menjadi tempat perlindungan rakyat Gaza; termasuk serangan ke atas ambulans, kedai roti, tangki air bersih dan panel solar sudah cukup jelas menunjukkan mereka seolah-olah melepaskan geram terhadap wilayah itu. 

Kononnya Zionis mendakwa mahu memusnahkan HAMAS, mengapa pula hampir keseluruhan Gaza mahu dimusnahkan? Dimanakah hak asasi kemanusiaan yang diperjuangkan oleh PBB dan sesetengah negara besar? 

Beri amaran sahaja tidak cukup. Nyawa penduduk Palestin di Gaza bukan boneka pakai buang. Pembunuhan insan yang tidak bersalah di Gaza tidak wajar dipandang enteng. Tindakan yang diambil itu jauh lebih penting kerana ia bukti bahawa mereka tidak omong kosong.

Jadi, ketika kita ada sesuatu untuk diperjuangkan demi penduduk Palestin, teruskan semangat itu, jangan pernah ia luntur ditelan masa dan biasa.

Kalau bukan kita yang membantu dan mendoakan mereka, siapa lagi.