All Articles

Analisis: Operation Shield and Arrow Israel di Gaza

8 min read
Written by
Sabrina Suhaimi
Written by
Nur 'Afifah
Written by
Lia Maryam
Published on
May 8, 2023

Tidak lama selepas kesyahidan Syeikh Khader Adnan di penjara Israel, para penduduk Palestin telah mengadakan protes di bandar-bandar sekitar Tebing Barat. Pasukan ketenteraan di Gaza juga telah melepaskan tiga roket yang dilepaskan di kawasan terbuka. 

Susulan daripada tindak balas sedemikian dari pihak Palestin, penjara Israel membuat keputusan untuk menutup kesemua sel penjara dengan tujuan bagi mengelakkan kekecohan yang lebih besar. Malah, rejim Israel meneruskan agenda penjajahan mereka dengan membuat serangan terhadap penduduk di Gaza yang dinamakan sebagai Operation Shield and Arrow.

Operasi terbaharu yang dilancarkan rejim Israel ini bertujuan untuk mensasarkan pemimpin Jihad Islami atau Palestinian Islamic Jihad (PIJ) kerana dianggap sebagai ancaman kepada Israel ketika ini selepas kematian tragis Syeikh Kader Adnan di penjara Israel. 

Susulan daripada serangan rejim Israel, rekod kesyahidan rakyat Palestin semakin meningkat. Malah tiga orang pemimpin Jihad Islami telah syahid pada Selasa, sebelum komander unit pelancaran roket, Ali Ghali diumumkan turut syahid dalam serangan terbaharu di Khan Younis. Difahamkan kejadian itu berlaku pada awal pagi ini waktu Malaysia. 

Menurut laporan lanjut, bukan pemimpin PIJ sahaja yang menjadi sasaran, tetapi pimpinan Briged al-Quds turut terkorban di dalam Operation Shield and Arrow yang dilancarkan rejim Israel ini. 

Jika melihat kepada situasi semasa di Palestin, ketegangan yang sedang berlaku tidak menunjukkan tanda bertenang. Pada masa yang sama, reaksi daripada pelbagai pihak yang mengikut rapat terhadap perkembangan keadaan antara Israel-Palestin cukup pelbagai. Misalnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah menggesa kedua-dua pihak yang terlibat untuk menghentikan serangan berbalas memandangkan rekod mangsa Operation Shield and Arrow sudah mencecah seramai 15 orang.

Bagaimanapun, setakat ini pergerakan HAMAS masih menjadi teka-teki walaupun dilaporkan bahawa terdapat serangan balas terbaharu daripada PIJ di Bandar Sufa, Sempadan Gaza. 

Perkembangan pergelutan antara Palestin-Israel ketika ini menarik untuk dikupas melalui analisis terkini:

  1. Jihad Islami, HAMAS - Adakah serangan balas daripada mereka?

Kesyahidan seorang lagi komander tertinggi Jihad Islami dalam serangan terkini Israel tidak mustahil telah memicu kemarahan kumpulan pejuang Palestin ini. Buat masa sekarang, jangkaan terhadap serang balas Jihad Islami ke atas rejim Israel adalah sangat tinggi dengan kemungkinan serangan yang lebih agresif berbanding sebelum ini. Ini dapat dilihat dari kenyataan yang dikeluarkan oleh jurucakap PIJ iaitu Jihad Dawoud Shehab,

“The (Israeli) occupation and its leaders who initiated the aggression must prepare to pay the price”

Bersama-sama dengan sokongan daripada Hezbollah yang berpangkalan di Lubnan, tidak mustahil dalam masa terdekat Jihad Islami akan menyerang rejim Israel. Namun, serangan tersebut mungkin tidak memberi impak yang mendalam sebagaimana jika HAMAS masuk campur.

Sehingga kini, HAMAS masih belum menunjukkan taring. Bagaimanapun, HAMAS telah lantang memberi amaran kepada rejim Israel bahawa setiap nyawa yang terkorban di tanah Palestin perlu dibayar. HAMAS juga dilihat tidak mengeluarkan sebarang kenyataan untuk bertindak balas dengan tindakan Israel. 

Tetapi adakah itu tanda bahawa HAMAS sedang menunggu waktu yang bersesuaian untuk membuat serang balas? Untuk rekod, kali terakhir HAMAS dan rejim Israel bertemu mata peluru adalah pada tahun 2021.

Sebenarnya, strategi serangan balas perlu disusun rapi kerana impaknya bukan sahaja terhadap pasukan ketenteraan Israel atau Palestin tetapi ia melibatkan keseluruhan tempat. Malah, serangan balas yang akan dilancarkan turut akan mengganggu gugat ekonomi dan keselamatan penduduknya. Mungkin inilah salah satu sebab mengapa HAMAS dikhabarkan tidak mengambil nasihat daripada Iran untuk menyerang Israel dari Lubnan. 

Namun, tidak mustahil HAMAS akan melancarkan serangan balas kerana pada pandangan Hezbollah berdasarkan corak provokasi oleh rejim Israel, kesyahidan pemimpin PIJ dan Briged al-Quds akan mengukuhkan lagi tunjang kesatuan dan kesungguhan para pejuang Palestin untuk menuntut keadilan di tanah itu. 

  1. Reaksi Israel - Adakah satu provokasi atau demi keselamatan? 

Dalam sebuah kenyataan daripada penganalisis keselamatan negara Haaretz, rejim Israel tidak akan melakukan sebarang serangan balas dan pergerakan mereka bergantung kepada tindak-tanduk HAMAS. Jika pun ada serangan, ia adalah untuk menghentikan gencatan senjata demi keselamatan penduduk.

Namun, secara adatnya pihak Israel tidak menepati janji mereka jika dapat dilihat kembali dalam peristiwa Saif al-Quds pada 2021.  Pihak Israel menunjukkan kebimbangan mereka terhadap rakyatnya dengan serangan yang akan dilakukan pihak lawan dengan memindahkan seramai tujuh ribu orang rakyatnya yang menetap di sempadan Gaza ke kawasan yang lebih selamat dalam tempoh 24 jam. 

Benjamin Netanyahu sekarang dilihat tertekan kerana operasi ini adalah untuk ‘memancing’ undi dari penyokong akar umbi partinya dan parti ultra-nasionalis. Hossam Aldajani, seorang penganalisis politik telah mengatakan bahawa,

“First, there is a lot of pressure on (Israeli Prime Minister Binyamin) Netanyahu from [National Security Minister Itamar] Ben-Gvir and other extremist members of the government, especially after the suspension of his vote and his party in the Knesset until their escalatory demands are met

Hossam juga meneruskan,

“On the one hand, Netanyahu is exporting his government’s internal crises by hitting Gaza targets, and on the other hand, he is trying not to allow a confrontation whose title is Jerusalem, which could open several military front, such as what happened in the battle of Saif al-Quds (Operation Guardian of the Walls in 2021) so he chose the assassination path.”

Pada masa yang sama, serangan demi serangan diteruskan sehingga kesyahidan sasaran mereka, Ali Ghali pada awal pagi ini waktu tempatan dan pemimpin Bridged al-Quds semalam. 

Jika dilihat dari sebuah wawancara yang dilakukan oleh ILTV Israel News terhadap Yoni Ben Menachem yang merupakan seorang wartawan dan Felo Kanan Penyelidikan Jerusalem Centre for Public Affairs, beliau tiada keraguan untuk sebarang serangan balas daripada PIJ dan HAMAS dan berkata PIJ sepatutnya bertindak balas. 

Sudah tentu tindakan rejim Israel adalah satu provokasi yang bukan sahaja mencetuskan kemarahan para pejuang Palestin tetapi membuka ruang untuk lebih banyak kematian penduduk di kedua-dua pihak. Lagi-lagi apabila laluan utama sempadan Gaza ditutup, ini akan lebih menyukarkan pergerakan penduduk Palestin untuk mendapatkan bekalan makanan dan rawatan bagi tempoh 18 bulan lamanya. 

Banyak aspek yang perlu dipertimbangkan oleh pejuang HAMAS, namun tidak bermakna Israel boleh bersenang-lenang sekarang kerana rejim Israel perlu membayar nyawa-nyawa pejuang Palestin yang syahid pada masa akan datang.

Berdasarkan analisis daripada pihak advokasi dan penyelidikan Persatuan Cinta Gaza Malaysia, ada dua kemungkinan yang akan berlaku di Palestin dalam masa terdekat. Pertama - serangan bakal berlaku tetapi boleh jadi menjadi ia terpecah kepada dua kategori iaitu: 

  1. Serangan secara bersendirian oleh PIJ 
  2. Serangan yang dicetuskan oleh gabungan antara PIJ dan HAMAS

Melihat kepada situasi HAMAS yang masih mendiamkan diri tanpa sebarang kenyataan rasmi, tidak mustahil PIJ akan meneruskan serangan secara bersendirian demi menuntut pembelaan ke atas kesyahidan empat orang pemimpinnya. 

Malah sebenarnya ketika penulisan analisis ini, PIJ masih dengan pendirian mereka untuk meneruskan serangan selagi mana Gaza diserang oleh rejim Israel. Tidak cukup dengan itu, PIJ juga menuntut rejim Israel untuk membatalkan Perarakan Bendera yang akan disambut pada minggu hadapan sempena Hari Jerusalem. 

Berdasarkan kenyataan ini sudah cukup untuk menyimpulkan bahawa ada potensi tinggi untuk mereka melakukan serangan secara berterusan sehingga rejim Israel mengalah. 

Tetapi, bagaimana pula jika HAMAS memutuskan untuk ikut masuk campur dalam pergelutan ini? Jawapannya, ia akan menjadi perang rasmi dan tidak mustahil setara dengan Saif al-Quds yang meletus pada 2021. Maka, tidak hairan mengapa pemerhati konflik dua entiti ini - Palestin dan Israel - tertunggu dan tertanya bilakah HAMAS akan beraksi. Atau paling tidak, di manakah kenyataan rasmi mereka? Boleh jadi sikap HAMAS yang mendiamkan diri ini sebenarnya menjadi punca mengapa Israel terus memprovok PIJ sehingga mengeluarkan satu kenyataan terbaharu:

“From our perspective, if they stop firing at us, there’s no reason to continue… If they continue, we will crush them and hit them — the IDF is doing this, the Air Force is doing this, the army is ready with further rounds of strikes.”

Kedua - gencatan senjata yang bersifat sementara di antara kedua-dua pihak. Situasi ini tidak mustahil akan berlaku jika Mesir bertegas dalam mencapai pendamaian.

Penglibatan Mesir sebagai mediator sebenarnya memainkan peranan penting bagi memastikan keadaan di Palestin reda daripada sebarang serangan. Sebagai rekod, ini bukan kali pertama Mesir berdiri sebagai pihak ketiga yang mendamaikan dua entiti tersebut. Pada Mei 2021 ketika berlakunya Perang Saif al-Quds, Mesir memainkan peranannya sehingga rejim Israel dan para pejuang Palestin bersetuju untuk bertenang. 

Bagaimanapun, serangan kali ini membuktikan bahawa pihak Mesir perlu berusaha lebih untuk mendamaikan kedua-duanya. Difahamkan Mesir telah pun menyeru untuk Palestin dan Israel menghentikan sebarang serangan baharu pada malam tadi. Tetapi usaha tersebut gagal apabila masing-masing masih berdegil dan enggan mengalah. 

Apa-apa pun, analisis ini sudah cukup membuktikan bahawa ada potensi tinggi untuk para pejuang Palestin dan rejim Israel saling membalas serangan selagi mana tiada pihak ketiga campur tangan. Di dalam konteks ini, pihak ketiga yang dimaksudkan boleh ialah HAMAS atau pun Mesir. Namun, sejauh mana pendirian HAMAS untuk berdiam diri dan kejayaan Mesir untuk mendamaikan Israel-Palestin masih belum jelas. 

Semoga ada jalan keluar kepada konflik ini dan kejayaan untuk Palestin!