All Articles

Analisis: Nakbah Agenda Politik Yang Terancang

8 min read
Written by
Haikal Zulkefli
Published on
May 15, 2023

Tahun ini adalah tahun ke-75 ulangtahun peristiwa Nakbah yang berlaku di Palestin dan penubuhan Israel di atas tanah milik rakyat Palestin. Peristiwa Nakbah ini secara umumnya sudah diketahui oleh sebahagian besar masyarakat dunia terutama umat Islam tapi kali ini kita akan membincangkan berkenaan fakta dan ilusi yang menjadi kekeliruan kepada kita semua. 

Selepas Perang Dunia Kedua, Britain telah menarik diri dari memberi komitmen kepada apa yang termaktub di dalam Kertas Putih 1939, di mana telah dinyatakan tentang penubuhan negara Palestin yang merdeka dalam tempoh 10 tahun, pengisytiharan Palestin tidak akan menjadi sebuah negara Yahudi.

Persoalan tentang masa hadapan Palestin telah dirujuk kepada United Nations General Assembly (UNGA), di mana mereka telah membentuk komiti khas yang mencadangkan pembahagian Palestin kepada dua negara; untuk orang Arab dan juga Yahudi. Di akhir UNGA, satu draf resolusi telah dihantar dan bersetuju untuk memberikan 54.7 peratus dari tanah Palestin untuk negara Yahudi dan 44.8 peratus pula untuk negara Arab, manakala 0.5 peratus kawasan yang meliputi Baitul Maqdis dijadikan sebagai zon antarabangsa. 

Ramai yang tidak tahu, ketika mana UNGA membuat keputusan untuk membahagikan Palestin kepada dua negara pada 29 November 1947, rakyat Palestin masih menguasai 94 peratus dari tanah Palestin, bermaksud semua usaha 30 tahun Zionis dan penjajahan British untuk merampas tanah-tanah Palestin telah menemui kegagalan. 

Selain itu, rakyat Palestin masih menjadi majoriti penduduk dengan peratusan yang tinggi iaitu 68.5 peratus, walaupun orang Yahudi meningkat sebanyak 13 kali ganda disebabkan imigrasi dan penempatan haram mereka yang hanya 50 ribu pada tahun 1918 meningkat kepada 650 ribu pada tahun 1948. Kalau diikutkan imigrasi itu berlaku di bawah perlindungan penjajah British. 

Disebabkan itu, pembahagian ini tidak boleh dijayakan kecuali dengan pembunuhan, pencerobohan tentera dan pembersihan etnik, yang disokong oleh kuasa antarabangsa terutama kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Soviet, Britain dan lain-lain. 

Keputusan untuk pembahagian Palestin memerlukan ⅔ undi majoriti. Kuasa-kuasa besar tiada majoriti yang diingini dan pengundian hampir berlaku pada 26 November 1947, yang mana jika ia berlaku, ia akan menggagalkan projek pembahagian. Namun begitu, presiden UNGA ketika itu yang merupakan delegasi Brazil menangguhkan sesi pengundian tersebut. 

Yahudi Zionis mula menjalankan advokasi mereka dengan melobi ahli politik AS dan AS melancarkan kempen untuk meraih undi dari negara-negara yang terlibat. Kerajaan Haiti, antara negara yang pada mulanya menentang pembahagian Palestin, telah mengarahkan delegasinya untuk menyokong resolusi pembahagian tersebut, selepas AS berjanji untuk membantu ekonomi Haiti.

Seorang usahawan AS yang ternama iaitu Robert Nathan telah menggunakan pengaruhnya untuk membeli undi Guatemala, syarikat Firestone pula mengugut ekonomi Liberia jika mereka tidak mengubah kedudukan berkecuali mereka kepada menyokong, dan Filipina telah ditekan dengan kuat yang menyebabkan mereka beralih dari tidak menyokong kepada menyokong. Inilah taktik kotor yang digunakan oleh mereka dalam memastikan nasib Palestin dan Masjidil Aqsa berada di bawah kuasa mereka. 

Pada 29 November 1947, resolusi tersebut telah disokong oleh 33 negara, 13 tidak menyokong dan 10 yang lain berkecuali. Maka, Palestin telah dibahagikan tanpa kerelaan rakyat Palestin sendiri.