All Articles

‘Aidil Adha, Manifestasi Kemenangan Agung Orang Beriman

8 min read
Written by
Lia Maryam
Published on
April 11, 2023

Sedari kecil, kita selalu tertunggu-tunggu hari yang kita sebutkan sebagai hari raya. Tahukah kita apa sebenarnya makna hari raya? Hari raya merupakan hari untuk bergembira dan berseronok bagi seluruh umat Islam. 

Bagi semua orang beriman, kita dimuliakan dengan tiga buah hari raya di dunia. Bukan sahaja di dunia, di akhirat juga mereka bakal meraikan hari raya selepas bermujahadah di dunia. 

Tiga hari raya di dunia itu terdiri daripada satu hari raya yang akan berulang sekali setiap seminggu dan dua hari yang datangnya hanya setahun sekali. 

Satu hari raya yang berulang sekali seminggu, iaitu hari Jumaat merupakan hari raya mingguan selepas kita menyempurnakan solat fardhu Jumaat yang dituntut oleh Islam. 

Dua hari raya yang datang setelahnya yang disambut hanya setahun sekali adalah Hari Raya ‘Aidil Fitri dan Hari Raya ‘Aidil Adha. 

Orang beriman menyambut hari raya dengan penuh keinsafan, kesyukuran dan bermaafan sesama mereka. Mereka menyambut hari raya ibarat menyambut hari pembebasan oleh tuannya; setelah berjaya menyempurnakan serta teguh menunaikan segala arahan Tuhannya, dan beroleh ganjaran pahala atas usahanya itu. 

Penulisan kali ini akan memfokuskan pada Hari Raya ‘Aidil Adha atau seringkali disebut sebagai Hari Raya Korban. 

Hari Raya Korban (‘Aidil Adha) adalah hari raya yang paling banyak kelebihannya berbanding hari raya yang lain. Hari raya ini diraikan selepas umat Islam selesai menyempurnakan ibadah haji yang merupakan rukun Islam yang kelima. 

Ibadah haji, padanya terkumpul amal ibadah besar ganjarannya yang mana dilaksanakan di tanah haram dan akhir sekali dikurniakan ‘Aidil Adha sebagai manifestasi kemenangan bagi orang-orang yang  beriman. Baik yang telah selesai menyempurnakan ibadah haji, mahupun mereka yang tidak berkemampuan untuk menunaikannya. 

Jika ‘Aidil Fitri disambut sebagai tanda kemenangan umat Islam setelah menyempurnakan ibadah berpuasa selama sebulan lamanya, bagaimana pula dengan ‘Aidil Adha? Tahukah kita, ‘Aidil Adha dikurniakan kepada umat Islam sebagai hari untuk mereka bergembira atas pengampunan dosa dan pelepasan daripada api neraka? 

Hal ini kerana, hari Arafah (9 Zulhijjah), iaitu sehari sebelum hari raya ‘Aidil Adha merupakan hari pelepasan daripada api neraka dengan Allah melepaskan mereka daripada azab api neraka bagi yang wukuf di Arafah dan kaum muslimin di negara lain yang tidak berwukuf. Sesungguhnya menyempurnakan haji dengan wukuf di padang Arafah merupakan rukun haji yang sangat agung seperti sabda Rasulullah SAW dalam Riwayat Ibnu Majah (3015), al-Nasaie (3016):

الْحَجُّ عَرَفَةُ

Maksudnya: ''Haji itu berada di Arafah.''

Lalu, apabila selesai melakukan ibadah di Arafah, maka ‘terlepaslah’ orang-orang beriman itu daripada azab api neraka dan setelahnya semua umat Islam menyambut hari raya. Pada hari rayalah umat Islam diperintahkan untuk melakukan penyembelihan korban, iaitu dengan menumpahkan darah mana-mana binatang yang dibenarkan untuk dikorbankan. 

Namun, bagi mereka yang menunaikan ibadah haji, mereka selanjutnya melontar jamrah, disyariatkan juga ke atas mereka untuk bertahallul daripada perkara yang diharamkan haji, melakukan sunat haji, menunaikan nazar mereka, menyembelih binatang untuk dikorbankan kemudian melakukan tawaf di Baitul ‘Atiq (Kaabah).

Oleh itu, umat Islam diperintahkan agar mempersembahkan ibadah korban (bagi yang berkemampuan) sebagai simbolik kepada rasa syukur atas nikmat pengampunan dosa dan pelepasan daripada azab api neraka. Bahkan dikatakan, solat dan korban pada ‘Aidil Adha adalah lebih mulia daripada solat dan sedekah pada Hari Raya ‘Aidil Fitri. Apatah lagi kerana korban adalah sunnah yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS dan Nabi Muhammad SAW. 

Dalam hadis riwayat Zaid bin Arqam yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad (19283), dikatakan kepada Rasulullah SAW:

قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا هَذِهِ الْأَضَاحِيُّ قَالَ سُنَّةُ أَبِيكُمْ إِبْرَاهِيمَ قَالُوا مَا لَنَا مِنْهَا قَالَ بِكُلِّ شَعْرَةٍ حَسَنَةٌ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ فَالصُّوفُ قَالَ بِكُلِّ شَعْرَةٍ مِنْ الصُّوفِ حَسَنَةٌ

Maksudnya: “Apa itu korban?” Baginda bersabda, “Ia sunnah bapa kamu, iaitu Nabi Ibrahim,” Beliau bertanya lagi: “Apakah padanya kebaikan kepada kami wahai Rasulullah ?” Baginda bersabda: “Setiap helai rambut adalah pahala.” Katanya lagi: “Bagaimana pula dengan bulunya?” Baginda bersabda: “Setiap helaian rambut daripada bulunya adalah pahala.”

Demikianlah, pelbagai keistimewaan yang dikurniakan kepada umat Islam khususnya orang-orang beriman bagi menyambut Hari Raya ‘Aidil Adha. Nyatanya, keraian ini tidak hanya semata musim untuk bergembira kosong, tetapi ia adalah sebagai sebuah manifestasi agung orang beriman atas usaha keras dan keteguhan mereka dalam menunaikan ibadah haji yang begitu panjang tempohnya. Manifestasi kemenangan atas sebuah kesyukuran kepada Sang Tuhan.