Fitch Ratings, agensi kredit yang berpusat di Amerika, salah sebuah agensi yang tersenarai dalam tiga agensi kredit terbesar telah pun menurunkan taraf kredit Israel daripada A+ kepada A. Kenyataan Fitch menyebutkan perang yang berterusan di Gaza dan risiko tekanan geopolitik yang semakin meninggi menjadi antara punca utama. Agensi itu juga turut mengelaskan Israel sekarang berada dalam kelompok negatif, bermakna akan ada penurunan taraf dalam masa terdekat.
Selepas tindak balas HAMAS pada 7 Oktober 2023 terjadi, pasaran saham dan nilaian mata wang Israel mula merosot. Namun sedikit demi sedikit keduanya kini bangkit semula, namun kebimbangan mengenai ekonomi Israel berterusan wujud. Unjuran awal terhadap Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Israel menganggarkan akan ada pertumbuhan sebanyak 3.5%, tetapi hanya mampu mencapai 2% sahaja tahun lepas.
Kuasa membeli pengguna, perdagangan dan pelaburan juga mencatatkan penurunan, ditambah dengan sektor swasta mencatatkan kerugian sebanyak 27%, dengan banyak perniagaan dijangka tutup akibat kekurangan tenaga kerja dan keyakinan pelabur yang mula merosot.
Ratusan ribu kini tidak bekerja, ratusan ribu juga pelajar tidak ke sekolah. Lapangan terbang, pengangkutan, institusi pendidikan, sektor swasta — teknologi, mekanikal, pembuatan — turut terkesan.
Perang kali ini juga memperlihatkan peningkatan mendadak terhadap perbelanjaan ketenteraan Israel. Sekurang-kurangnya peningkatan melonjak sehingga 93% pada tiga bulan terakhir 2023, jika dibandingkan dengan tempoh yang sama pada tahun 2022. Kebanyakan peningkatan perbelanjaan ini digunakan untuk menampung gaji tentera simpanan yang dikerahkan, senjata dan sistem keselamatan Israel.
Ini antara kesan terhadap ekonomi Israel apabila meneruskan serangan terhadap Gaza.
Histadrut, kesatuan buruh Israel juga telah pun menyeru untuk menjalankan mogok dengan dijangka ratusan ribu bakal menyertainya, dalam usaha menghantar mesej kepada rejim Israel bahawa terlalu banyak masa sudah dibazirkan apabila tiada langsung perjanjian dapat dipenuhi. Kesatuan itu menyebutkan bahawa Lapangan Terbang Ben Gurion, hab utama pengangkutan udara Israel akan ditutup bermula 8 pagi waktu tempatan, untuk memastikan penutupan sektor utama ekonomi Israel, termasuklah perbankan dan kesihatan.
Mogok ini antara lain untuk memberi tekanan kepada rejim Israel mencapai persetujuan gencatan senjata dengan HAMAS. “Tanpa gencatan senjata, tanpa kembalinya para tahanan di Gaza ke Israel, kita tidak akan dapat memulihkan masyarakat kita dan tidak akan dapat memulihkan ekonomi Israel,” ujar ketua kesatuan buruh, Ron Tramer.
Pemimpin pembangkang Israel, Yair Lapid turut menyokong mogok tersebut untuk dijalankan.
Apakah ia akan memberi kesan? Sehari ekonomi tidak berjalan di Israel, ia akan memberi persepsi buruk bukan sahaja kepada kerajaan, tetapi akan menyebabkan pelabur juga hilang keyakinan terhadap ekonomi Israel.
Terkini dilaporkan, puluhan ribu telah pun berdemonstrasi di Tel Aviv, meminta agar perjanjian gencatan senjata dapat dipenuhi selepas 6 orang warga Israel terkorban dalam satu serangan yang dilakukan Israel terhadap Gaza.
Para demonstran menyebutkan “Sekarang! Sekarang!” dan meminta Benjamin Netanyahu untuk mencapai perjanjian persetujuan gencatan senjata dengan HAMAS dan membawa pulang semua tahanan yang masih ada di Gaza.
Ramai dalam kalangan mereka menghalang jalan-jalan utama di Tel Aviv dan ada juga yang berkumpul di hadapan pejabat Netanyahu yang terletak di barat Baitul Maqdis.
Dalam satu kenyataan, sebuah gerakan masyarakat sivil yang menggelarkan diri mereka sebagai Hostages and Missing Families Forum mewakili keluarga tahanan di Gaza menyebutkan bahawa kematian enam orang tahanan di Gaza adalah hasil keengganan Netanyahu di dalam mencapai persetujuan untuk gencatan senjata di Gaza.
Amerika Syarikat dalam masa yang sama meneruskan perbincangan dengan Mesir dan Qatar mengenai perjanjian baru yang akan dikemukakan kepada HAMAS dan Israel minggu hadapan. The Washington Post melaporkan bahawa perjanjian kali ini ialah perjanjian terakhir yang akan dikemukakan; ambil atau tinggalkannya.
Perjanjian kali ini kelihatan dibuat dalam keadaan Amerika Syarikat berada dalam keadaan tekanan kerana daripada enam mangsa yang terkorban di Gaza, salah seorang daripadanya memiliki kerakyatan AS. Sama ada kejadian pembunuhan enam warga Israel ini akan memudahkan atau menyukarkan rundingan, ia masih menjadi teka-teki.
Berdasarkan laporan yang sama, seorang pegawai pentadbiran senior Biden mengatakan jika Israel dan HAMAS gagal menerima perjanjian kali ini, ia menandakan rundingan yang diketuai oleh AS ini gagal.
Sekali lagi ‘bola’ berada di gelanggang musuh.
Ke mana sebenarnya hala tuju perbincangan gencatan senjata ini?