All Articles

2027: Unjuran Sheikh Ahmad Yassin hampir menjadi kenyataan

8 min read
Written by
Lia Maryam
Published on
September 25, 2023

Siapa yang tidak mengenali seorang sosok tubuh tua namun jiwanya digeruni kawan mahupun lawan, as-Syahid Sheikh Ahmad Yassin? Meskipun beliau telah kembali ke pangkuan Ilahi hampir 19 tahun, namun sebuah kenyataan yang pernah dilontarkan suatu ketika dahulu masih relevan untuk kita renungi berdasarkan realiti semasa. Apatah lagi bilamana ia menjadi ‘bom waktu’ yang menjadi kebimbangan seluruh masyarakat Israel. Iaitulah unjuran tarikh tanah Palestin yang bakal ‘bersih’ daripada sebarang entiti bangsa Yahudi. 

Ketika beliau diwawancara oleh Ahmad Mansour, yang merupakan pengacara bagi Podcast Tanpa Had (Bilaa Hudud) pada tahun 1999, kenyataannya tentang pengakhiran usia bangsa Yahudi di tanah Palestin telah menggemparkan dunia. Susulan daripada itu, pelbagai tohmahan dilemparkan terhadap Sheikh Ahmad Yassin. Beliau dituduh gila, sesat, menyampaikan hadis palsu, angau dan pelbagai lagi berikutan kenyataannya yang panas. Pun begitu, video yang berdurasi 1 minit 28  saat itu telah mencapai sebanyak 62 ribu tontonan sejak setahun ia dimuat naik ke laman Youtube

Sheikh Ahmad Yassin dalam wawancara tersebut, ketika disoal tentang pandangan beliau berkenaan masa depan Israel. Menurutnya, Israel adalah sebuah negara tanpa masa depan yang bakal berakhir tempoh hayatnya. Beliau meletakkan tahun 2027 sebagai titik pengakhiran bagi negara haram itu. Apabila ditanya oleh Ahmad Mansour, dari sumber manakah beliau gunakan bagi menghasilkan unjuran yang sebegitu yakin, beliau tenang menjawab, unjuran itu berdasarkan al-Quran. Unjuran ini adalah berdasarkan kisah 40 tahun Bani Israel dihukum oleh Allah SWT dengan keadaan buntu dan sesat di sebuah padang pasir (Padang Tiih). 

Ketika Nabi Musa AS memerintahkan agar kaumnya iaitu Bani Israel masuk ke tanah suci (Palestin) (Quran;5:21), mereka sengaja beralasan lalu meninggalkan jihad. Padahal mereka telah pun diingatkan agar tidak melupakan nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada mereka terutamanya selepas diselamatkan Allah SWT ketika diburu Firaun dan tenteranya di Laut Merah. Oleh kerana kedegilan dan biadapnya mereka terhadap Nabi Musa AS, baginda kemudiannya mendoakan agar Allah SWT memisahkan dirinya daripada kaumnya itu (Quran;5:25). Justeru itu, Allah SWT menjawab permohonan baginda dengan mengharamkan Bani Israel daripada memasuki Baitul Maqdis selama 40 tahun. Mereka berputar-putar kebingungan di padang Tiih selama 40 tahun lamanya (Quran;5:26). Namun, generasi selepas itu merupakan generasi yang menang, di bawah pimpinan Yusya’ bin Nun. Mereka akhirnya berjaya menakluki kota Baitul Maqdis.

Atas dasar inilah, Sheikh Ahmad Yassin mengatakan setiap 40 tahun generasi-generasi ini akan berubah. Beliau mengumpamakan, 40 tahun pertama adalah generasi yang buntu, mundur dan kalah. Dikenang sebagai Nakbah Palestin, iaitu ketika mula tertubuhnya Israel secara rasmi di Palestin (14 Mei 1948). Lalu generasi kedua, generasi yang mempersiapkan diri dan memperbaiki dalam konteks persediaan. 40 tahun generasi kedua tercetusnya Intifada pertama (8 Disember 1987). Dan akhirnya generasi ketiga, iaitu 40 tahun selanjutnya, menjadi unjuran tahun kemenangan rakyat Palestin dengan kejatuhan seterusnya berakhirnya usia Zionis Israel dan bangsa Yahudi. Tahun 2027 merupakan tahun ke-40 generasi ketiga, iaitu generasi kemenangan seperti yang didakwa Sheikh Ahmad Yassin.

Beberapa tahun kemudian, pada 1 April 2022, sebuah majalah tersohor AS, Newsweek yang memfokuskan berita-berita serta analisis-analisis politik dalam dan luar negara telah menggemparkan dunia. Judul di laman utama akhbar tersebut menarik perhatian dunia, dengan tajuknya: “Masa Depan Israel, Bagaimanakah Ia Bertahan?” Pelbagai kritikan dan komen muncul susulan judul akhbar Newsweek yang panas.

Masa depan Israel telah menjadi bualan dunia. Buktinya, selepas 3 tahun kenyataan Sheikh Ahmad Yassin dikeluarkan, berita sebegini muncul. Melalui kajian yang telah diterbitkan, dan wawancara yang dilakukan bersama pelbagai sejarawan Israel bahkan Yahudi dan juga lain-lain, akhbar tersebut menyatakan seterusnya menyimpulkan bahawa Israel adalah sebuah negara tanpa masa depan! Meskipun perbualan berkenaan pengakhiran hayat Israel sudah pun bermula sejak Intifada Pertama tahun 1987, namun kajian akademik yang mendalam baru bermula dalam tempoh 25 tahun akhir ini. 

Selain Sheikh Ahmad Yassin, seorang rabbi Yahudi beraliran Kitab Taurat, Dovid Weiss juga dijemput dalam sesi wawancara oleh Ahmad Mansour. Rabbi Yahudi ini merupakan jurucakap rasmi gerakan Neturei Karta. Gerakan yang ditubuhkan pada tahun 1935, iaitu 13 tahun sebelum tertubuhnya negara haram Israel. Ahli gerakan ini terdiri daripada bangsa Yahudi dari seluruh dunia, kira-kira 1 juta, dan berpusat di Brooklyn, New York, AS. Bagi mereka yang belum tahu, matlamat utama gerakan ini bukanlah untuk menubuhkan sebuah negara. Malah mereka adalah orang yang menentang penubuhan negara haram ini. Hal ini kerana, menurut Taurat yang menjadi pegangan mereka, bangsa Yahudi adalah bangsa diaspora. Mereka tidak memiliki tanah. Justeru, apa yang dilakukan puak Zionis hari ini adalah bertentangan dengan ajaran Taurat sebenar.

Apa yang disebutkan oleh rabbi Yahudi daripada Taurat ini  adalah selari dengan fakta yang terdapat dalam al-Quran. Di mana dalam surah al-Isra’ ayat ke 104, Bani Israel diperintahkan agar tetap diam (tinggal) di bumi. Penggunaan kalimah “uskunuul ard” mempunyai pelbagai tafsiran. Namun, yang paling banyak digunakan adalah, bahawa perintah agar tinggal di bumi ke atas Bani Israel ini adalah bersifat umum. Allah SWT tidak menyebutkan secara spesifik. Lalu sebahagian ulama mentafsirkan bahawa Bani Israel adalah bangsa diaspora; tidak memiliki tanah. 

Tambahan lagi, Dr Abdul Wahab al-Maseeri, seorang sejarawan kelahiran Mesir yang banyak menghasilkan kajian dan penulisan berkenaan Yahudi, Judaism dan Gerakan Zionis. Jangkaan kedepan yang dilakukan oleh beliau pula adalah hasil daripada kajian-kajian yang dilakukan hampir separuh usianya. Al-Maseeri yang merupakan penulis kitab “Mausu’ah al-Yahudi wal Yahudiah wa as-Sohyuniah” Ensiklopedia Yahudi, Judaisme dan Zionis menyatakan, Israel merupakan sebuah negara penjajah pendudukan yang ditubuhkan oleh Barat di bawah payung gerakan Zionis dan Yahudi demi mendapatkan manfaat daripadanya selepas kuasa kolonial berundur dari rantau itu selepas Perang Dunia 2. 

Dr. al-Maseeri banyak mengulas serta membincangkan berkenaan Israel dan seluruh isinya melalui kajian-kajian ilmiah semasa. Strategi Israel berjaya menduduki tanah Palestin dan menjadi sebuah kuasa besar yang menguasai seluruh Palestin, sebagaimana Amerika Syarikat menguasai dunia. Menurut kajiannya, disebalik keberhasilan negara rejim ini, ia sebenarnya berdiri di atas bantuan daripada ‘bekalan’ luar, sama ada dalam bentuk penghijrahan beramai-ramai bangsa Yahudi ke tanah haram atau bantuan kewangan asas yang disalurkan kepada mereka untuk terus kekal dan mapan demi kepentingan Barat.

Berbalik kepada kedua-dua unjuran iaitu unjuran Quraniyah oleh Sheikh Ahmad Yassin dan unjuran Taurat oleh rabbi Yahudi Dovid Weiss, apa yang menarik, mereka mempunyai satu tarikh atau jangka masa yang hampir sama dalam mengunjur masa depan pengakhiran hayat negara Zionis ini. Bukti-bukti yang mengukuhkan kedua unjuran ini ada dibentangkan oleh Ahmad Mansour di dalam siri podcastnya. Justifikasi yang dibentangkan adalah berkenaan realiti masyarakat negara haram itu sendiri selain keadaan pentadbiran kerajaan dan pemerintahannya yang ibarat telur di hujung tanduk! 

Pertama, pernyataan sebuah persoalan di dada utama akhbar yang menggemparkan dunia. Akhbar Newsweek yang sudah disebutkan di awal penulisan, sebuah akhbar mingguan yang memuatkan edisi istimewa dengan tajuk Masa Depan Israel, Bagaimana ia akan Bertahan? Persoalan yang jelas lagi nyata ini seolah-olah melemparkan soalan pada kita semua agar berfikir, adakah negara haram ini akan terus kekal bertahan hidup? Apakah jaminannya? Dengan pelbagai isu, kekecohan, kebejatan sistem politik dan dengan pilihan raya yang tidak berkesudahan, identiti negara yang bagaimanakah yang bakal mereka lahirkan? 

Antara faktor yang menyumbang kepada kebejatan sistem politik dan pemerintahan Israel, negara ini utamanya tidak memiliki perlembagaan. Israel sebuah negara tanpa perlembagaan sejak tahun 1948. Meskipun mereka mengamalkan Undang-undang Asas atau Undang-undang Separa (Basic Laws - quasi-constitutional laws) yang pada asalnya dimaksudkan sebagai asas kepada perlembagaan. Namun, menurut pengkritik reformasi, mereka mengatakan bahawa demokrasi Israel akan lebih dilindungi jika Israel mempunyai perlembagaan bertulis sebenar dan bukan hanya Undang-undang Asas. Nyatanya, apa yang mereka risaukan itulah yang sememangnya berlaku. 

Terdapat 3 tonggak utama yang mereka wujudkan sebagai dasar bagi meneruskan sistem rejim dan kuasa mereka di rantau itu, iaitu Knesset, kerajaan parliamentary system dan Supreme Court of Justice. Apa yang ingin ditekankan disini, Supreme Court of Justice atau Mahkamah Agung Israel mempunyai bidang kuasa khas untuk mendengar rayuan dalam hal pemilihan Knesset, keputusan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, keputusan tatatertib Persatuan Peguam Israel, penahanan pentadbiran dan petisyen tahanan yang dirayu daripada Mahkamah Daerah. Dalam erti kata lain, mahkamah agung ini berhak menyemak semua undang-undang yang berkaitan dengan Knesset, sama ada untuk meluluskan atau menolak. Justeru, perkara ini menimbulkan kebimbangan kelompok ekstrem sayap kanan yang merupakan sebahagian utama dalam kerajaan Netanyahu. Mereka merasa terganggu dan mengatakan bahawa kuasa mahkamah agung ini telah melampaui kuasa Knesset dan kuasa kerajaan. 

Mereka tidak dapat mentadbir negara disebabkan mahkamah agung menghalang segala perkara menurut undang-undang dan keputusan yang ditetapkan. Oleh itu, mereka berhasrat ingin menjadikan mahkamah agung hanya sebagai imej serta merendahkan bidang kuasanya agar Knesset dan kerajaan menjadi pihak yang lebih berkuasa untuk memutuskan apa jua keputusan yang tertinggi dan utama. Lalu, ketika mereka berjaya melaksanakan usaha ini, segala perkara buruk akan terjadi. Mereka akan menjarah, merampas dan melakukan apa sahaja yang mereka mahu di negara itu tanpa perlu mendapatkan kelulusan dari mahkamah lagi. Namun, hasrat ini ditentang pihak lawan, malah menimbulkan masalah dalaman politik sesama mereka. Mereka yang menentang perubahan ini berpendapat bahawa ia akan merosakkan sistem demokrasi di Israel. Mereka mengatakan, Israel akan berubah menjadi negara berlatarbelakangkan diktatorik jika perubahan ini berlaku.

Kedua, oleh kerana pergolakan yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan Israel di atas, maka muncul isu yang seterusnya. Dalam tempoh 4 tahun sahaja, pilihan raya Israel telah berlangsung sebanyak 5 kali. Perkara ini jelas menunjukkan tidak adanya kestabilan politik dalam kerajaan pentadbiran Israel. Ringkasnya, tahap pengamalan rasuah di Israel hari ini berada pada tahap sangat kritikal di mana mereka telah pun mengalami ketidakstabilan sistem politik sejak 5 tahun yang lalu. Mereka tidak memiliki kerajaan yang mampu menguruskan hal ehwal pentadbiran dengan efektif. Hal ini disebabkan kebanyakan pimpinan politik mereka terutamanya Netanyahu, terlibat dalam skandal dan kes rasuah. Sebuah institusi menegaskan bahawa, "Israel telah menjadi sebuah demokrasi berparlimen dengan kekerapan pilihan raya tertinggi, di mana keadaan ini mencerminkan tahap ketidakstabilan dan kelemahan tadbir urus yang membimbangkan."

Ketiga, rentetan daripada situasi buruk yang berlaku dalam politik dan pentadbiran Israel, perkara ini mula menjejaskan aspek pertahanan negara. Ketidakpatuhan tentera awam Israel terhadap pimpinan pemerintah negara buat kali pertamanya dilaporkan sepanjang sejarah penubuhan negara haram itu. Perlu diketahui, negara haram Israel dilindungi oleh kumpulan tentera. Mereka juga berperanan melindungi kesejahteraan Mahkamah Agung Israel. Justeru, bilamana blok kumpulan Netanyahu dengan hasrat mereka untuk meneruskan rombakan badan kehakiman, ia telah membangkitkan kemarahan pasukan tentera simpanan. Hal yang demikian menyebabkan ketegangan Israel semakin meningkat apabila pasukan tersebut mengancam untuk menolak daripada melaksanakan tugas. 

Dalam sebuah kenyataan akhbar maya, The Guardian bertarikh 29 Julai 2023, Leftenan Kolonel Simpanan, Zur Allon, 46 tahun menyatakan kekesalannya terhadap kerajaan Israel. Katanya, “That’s why we are so angry, the government is breaking a very simple contract we have – to protect a Jewish and democratic Israel.” Tindakan mereka menyatakan penolakan untuk berkhidmat adalah sebagai protes terhadap keputusan kerajaan untuk merombak badan kehakiman. Meskipun tentera Israel ini tidaklah ramai mana, namun jumlah mereka yang agak kecil sangat bergantung kepada 465,000 anggota tentera simpanan. Oleh kerana itulah, Netanyahu menyifatkan keingkaran tentera ini sebagai bahaya yang dasyat.  

Gambar: Tel Aviv: Demonstrasi terbesar rakyat Israel menentang Netanyahu (Reuters) - sumber: Anadolu 

Sementara dalam akhbar maya Turkiye, Anadolu pula menyatakan puluhan juruterbang daripada pegawai simpanan Tentera Udara Israel mengumumkan bahawa mereka tidak lagi akan menghadiri latihan ketenteraan. Tindakan tersebut sebagai protes terhadap rancangan rombakan badan kehakiman oleh kerajaan Netanyahu. Selain itu, kira-kira 150 pegawai dan askar perisikan tentera dari unit 8200, menandatangani petisyen untuk tidak hadir perkhidmatan pelatihan persediaan atas sebab yang sama. Dan lebih daripada 100 doktor pelatih mengumumkan bahawa mereka akan segera berhenti daripada perkhidmatan pelatihan persediaan ketenteraan. Sejak dua minggu sebelum akhbar ini diterbitkan, ratusan pegawai simpanan mengumumkan akan memboikot perkhidmatan ketenteraan sekiranya Netanyahu masih ingin meneruskan cadangan rombak badan kehakiman.

Keempat, kenyataan-kenyataan yang diucapkan oleh figura-figura penting negara haram Israel juga perlu diberi perhatian. Naftali Bennett, bekas Perdana Menteri Israel sebelum ini pernah memberi amaran bahawa negara itu kini berada di ambang kehancuran. Perkara ini ada dinyatakan dalam sebuah akhbar yang diterbitkan pada 5 Jun 2022. Katanya, “Kedaulatan bersatu kita telah hancur dua kali pada zaman dahulu akibat konflik dalaman. Perpisahan pertama berlaku selepas 80 tahun penubuhan, manakala yang kedua berlaku kira-kira 77 tahun kemudian. Kita pada hari ini hidup dalam era ketiga, dan menghampiri tahun ke-80. Kita semua sedang menghadapi ujian sebenar, dan tertanya-tanya sama ada kita mampu atau tidak untuk memelihara Israel,” Ucapannya itu dihantar pada ulang tahun pertama penubuhan kerajaan campuran.

Selain itu, bekas ketua agensi perisikan Mossad Israel, Tamir Pardo juga pernah memberi amaran akan terjadinya malapetaka yang belum pernah berlaku sebelum ini. Beliau berkata dalam sebuah wawancara televisyen yang disiarkan oleh saluran Ibrani, Saluran 12 pada 9 Mac 2023, “Everyone is following up closely on what is happening with Washington, Iran, Hezbollah and Hamas, while this threat is not there. What is happening sends a message of weakness to the world.” Katanya lagi bahawa Israel, “Does not need a nuclear bomb to be destroyed… our state has decided to experience a self-destruction method.” Menurutnya, Israel hari ini telah mencapai satu tahap yang sangat genting berhubung gerak kerja dalaman yang berlaku secara asing, kesan daripada apa yang telah dilakukan kumpulan sayap kanan bagi melemahkan badan kehakiman seterusnya menjadikan negara itu sebagai sebuah negara diktator. 

Israel ialah sebuah negara yang dilindungi oleh tentera dari aspek ketenteraan, sementara keselamatan dan maklumat, ia dilindungi oleh Mossad. Kehancuran yang mula meresapi institusi perisikan inilah yang membimbangkan Mossad. Ketika Tamir Pardo ditanya tentang unjuran masa depan Israel menurut pengamatannya. Dia menyatakan, “I am 70 years old. I had never imagined that we would reach this point. This is the most existential danger since the independence.” Demikianlah ucapannya yang begitu risau akan masa depan Israel. Kata-kata yang diucapkan oleh seorang bekas ketua agensi perisikan Israel, Mossad. Israel kini sedang berdepan ancaman paling besar yang pernah wujud sejak tahun 1948. 

Seorang penyelidik Israel dan pakar ekonomi, Profesor Daniel Kahneman pernah dianugerahi Hadiah Nobel dalam Ekonomi pada tahun 2002. Ketika wawancaranya bersama Saluran 12 Israel pada Januari 2023 lalu, beliau  telah menyampaikan ucapan yang sangat berisiko dan begitu penting untuk kita fahami dengan baik. Beliau pernah mengatakan bahawa dirinya lebih bimbangkan  Israel hari ini, berbanding Israel pada Perang Yom Kippur pada Oktober 1973. Kerana krisis yang beliau lihat dan sedang berlaku sekarang sejak Januari dan semakin meruncing sehingga mencapai keadaan sekarang. Dalam pada itu, beliau turut memberi amaran berkenaan realiti isu yang berlaku sekarang. Katanya lagi, "Bagi saya, situasi hari ini hampir kepada pengakhiran dunia. Ini adalah pengakhiran Israel seperti yang saya ketahui.."

Tambahan lagi, dalam konteks yang sama, The Times of Israel ada menukilkan ucapannya dalam sebuah artikel bertarikh 26 Januari 2023. Beliau mengatakan, “I feel like I’m in a place I don’t know. I’m completely shocked. For me, the end of Israeli democracy is no small thing. It’s the end of a dream.” Sambungnya lagi, “I want to believe there is hope, but… this is not the Israel I knew, that I grew up in. This is not the Israel I want my children and grandchildren to grow up in.” Inilah ucapan yang diungkapkan oleh seorang ahli ekonomi Israel, yang arif dan pakar tentang hal ehwal ekonomi negara haram. Nyatanya, negara Israel yang sedia ada sudah dirasakan tidak selamat, bergolak dan terancam serta berpotensi besar untuk jatuh pada bila-bila masa sahaja. Inilah pengakhiran Israel, titik noktah kepada demokrasi negara. 

Kelima, di samping kenyataan-kenyataan yang diucapkan oleh figura penting berkenaan kebimbangan mereka terhadap realiti Israel, perkara ini dikuatkan lagi dengan beberapa fakta yang ada. Pada 7 September 2014, sebuah akhbar maya, Globes ada menerbitkan hasil tinjauan yang mereka lakukan tentang keseriusan warga Israel untuk berhijrah keluar negara. Ia menyatakan bahawa 30% daripada Israel serius mempertimbangkan keputusan untuk berhijrah keluar dari Israel. Ucap Elad, salah seorang responden ketika ditemu bual, "I can't explain it, but in Israel there's a feeling… I wouldn't say that there's no future, but that there's pressure, severe pressure all the time, wherever it comes from - rockets, taxes, the atmosphere in the streets, the overdraft at the bank. One day I just said to myself that I'd like something else."

Hasil tinjaun yang terkini pula, pada 26 Julai 2023 lepas, The Times of Israel mengeluarkan hasil tinjaun dalam konteks yang sama. Dengan tema utama akhbar tersebut ia menyatakan, 28% rakyat Israel mempertimbangkan untuk meninggalkan negara di tengah-tengah pergolakan kehakiman. Tinjauan yang dijalankan susulan tindakan kerajaan meluluskan undang-undang pertama dalam projek baik pulih badan kehakiman yang memecahbelahkan mendapati, bahawa lebih 1/4 daripada rakyat Israel sedang mempertimbangkan untuk meninggalkan negara itu. Ada juga laporan yang mendedahkan dengan mengatakan bahawa, hampir semua anak-anak elit pemerintah Israel tinggal di luar negara.

Fakta-fakta yang dilampirkan disini cukup untuk mengukuhkan hujah bahawa Israel pada mata rakyatnya sendiri, adalah sebuah negara yang tidak lagi stabil dan selamat. Malah, seorang penulis senior yang terkenal di Israel, Rogel Alpher pernah menulis sebuah artikel yang diterbitkan pada 31 Ogos 2014 dalam Haaretz. Beliau berkata, “I cannot justify to my children continuing to live here. Israel is a dangerous place, which takes much more than it gives, for reasons that I do not accept. From my perspective, what goes for Tel Aviv goes for the communities on the Gaza border: You cannot live a good life here. You can die here, you can take shelter or you can simply leave.” 

Semua fakta yang disebutkan disini adalah penting, kerana angka-angka inilah memainkan peranan yang sangat besar di negara yang jumlah kelahiran penduduknya sedikit, dan banyak bergantung kepada kemasukan migrasi dari luar. Hal ini secara tidak langsung menunjukkan, adanya gejala penurunan yang signifikan dalam aliran migrasi Israel, yang dapat kita ertikan sebagai tanda-tanda keruntuhan dalam aspek demografi yang begitu penting bagi negara tersebut. Meskipun Netanyahu telah berusaha mengurangkan krisis-krisis yang ada, namun pastinya dia tidak mampu untuk menyelesaikan krisis besar yang sedang berlaku. 

Demikianlah sedikit sebanyak bukti-bukti yang ada, yang boleh mengukuhkan justifikasi kepada unjuran yang dibuat oleh Sheikh Ahmad Yassin. Terdapat banyak lagi fakta-fakta lain dan terkini yang boleh dikaitkan, namun cukuplah lima poin utama ini untuk kita renungi bersama. Hakikatnya, Israel sebuah negara haram yang kian hancur. Bukanlah rakyat Palestin yang menjadi karakter utama dalam kejatuhan mereka ini, namun mereka dimusnahkan oleh tangan mereka sendiri! Perkara ini bertepatan dengan ayat kedua daripada surah al-Hasyr yang bermaksud; 

وَقَذَفَ في قُلوبِهِمُ الرُّعبَ ۚ يُخرِبونَ بُيوتَهُم بِأَيديهِم وَأَيدِي المُؤمِنينَ فَاعتَبِروا يٰأُولِي الأَبصٰر

Dan Allah melemparkan ketakutan dalam hati mereka; mereka memusnahkan rumah-rumah mereka dengan tangan mereka sendiri dan tangan orang-orang mukmin. Maka ambillah (kejadian itu) untuk menjadi pelajaran, hai orang-orang yang mempunyai wawasan.”

Malah, seorang profesor merangkap ahli sosiologi Israel turut memetik ayat daripada al-Quran ini dalam ucapannya ketika dalam sebuah sesi wawancara. Katanya, "Kami kini sedang memusnahkan rumah kami dengan tangan kami sendiri.!" Meskipun pemudah cara sesi pada ketika itu kehairanan. Pun begitu, kata-katanya terlihat begitu meyakinkan, kerana apa yang dia boleh katakan, begitulah realiti yang sebenarnya sedang berlaku di Israel.