Melawan Naratif Normalisasi Penjajah Oleh NasDaily

Normalisasi Arab-Israel ini bukanlah bermula pada tahun 2020, tetapi projek normalisasi ini telah pun dimulakan semenjak Israel berjaya menubuhkan negara haram mereka di atas tanah dan darah rakyat Palestin yang majoritinya berbangsa Arab. Pasca tahun 1948, negara-negara Arab melihat kepentingan mereka cuba diganggu-gugat oleh Israel dan para sekutunya. Malah perang pertama mereka dengan Israel bukanlah disebabkan kepentingan Baitul Maqdis kepada umat Islam, tetapi atas kepentingan diri mereka sendiri. 

Israel pula tidak pernah berhenti untuk menyatakan bahawa mereka membawa agenda keamanan yang perlu diperakui oleh segenap lapisan masyarakat di seluruh dunia, terutama selepas mereka dizalimi dalam peristiwa Holocaust yang berlangsung ketika Perang Dunia Kedua. Selepas mereka menjajah tanah Palestin, mereka mula mengungkapkan soal kebersamaan atau coexistence bersama orang Arab Palestin. Inilah propaganda yang dimainkan oleh Israel dan sekutunya untuk mengabsahkan kehadiran Israel bukan sebagai penjajah, tetapi sebagai penyelamat dunia. 

Saya mahu mengajak pembaca untuk kita melihat semula beberapa kenyataan yang kurang tepat yang telah disebut oleh NasDaily di dalam sebuah video melalui hantaran di laman Facebook, bertarikh 4 Oktober 2022. Kenyataan yang disebutkan pula tidaklah berasaskan fakta yang konkrit, tetapi hanya bermain sentimen semata-mata. Kenapa kita perlu ambil berat sangat dengan video yang dikeluarkan oleh NasDaily ini? Kerana penonton kepada video ini sangat responsif dan menyokong apa yang telah diperkatakan dan ia menjadi tanggungjawab sosial kita untuk menerangkan perkara yang sebenar berdasarkan sumber yang kita miliki.

1. Pada permulaan video tersebut, NasDaily telah meletakkan tiga situasi yang dihadapi olehnya sebagai seorang Muslim berbangsa Arab Palestin yang dipandang serong oleh budak perempuan Yahudi berumur 15 tahun. Kemudian, dia juga pernah dimarahi oleh askar Israel dan pernah ditahan di lapangan terbang kerana status bangsanya. Tetapi apabila dia menulis dari sudut pandang warga Israel, dia menggambarkan bahawa dia hanya melihat roket yang dilancarkan dari Gaza ke Israel dan mengatakan Yahudi di Israel berada dalam ketakutan sepanjang masa. 

Jawapan: NasDaily sangat tidak adil di dalam membuat perbandingan terhadap situasi yang dia nyatakan. Persoalannya, kenapa NasDaily tidak menggambarkan bahawa penduduk Palestin sama ada di Gaza mahupun Tebing Barat tidak diberikan akses seperti mana dirinya di Israel? Selama 75 tahun, rakyat Palestin terus dinafikan hak mereka terhadap pendidikan, pekerjaan, ekonomi dan sebagainya. Malah, selepas Israel menjajah tanah Palestin, seramai 750,000 orang telah dipaksa keluar dari tanah air mereka sendiri menjadi pelarian di negara terdekat seperti Lubnan, Syria dan Jordan. Sejak 2008 hingga 2021, kematian rakyat Palestin dianggarkan berjumlah 6,077 orang manakala rakyat Israel pula berjumlah hanya 274 orang di dalam tiga perang utama yang pernah tercetus.

2. NasDaily telah mengatakan bahawa dia melihat orang Yahudi dihalau dari Timur Tengah disebabkan mereka itu orang Yahudi dan menyamakan keadaan ini seperti pelarian Palestin yang menjadi pelarian disebabkan mereka adalah orang Palestin. 

Jawapan: Perbandingan ini sebenarnya tidak berasas kerana orang Yahudi tidak pernah dihalau dari Timur Tengah terutama Palestin. Lupakah NasDaily ketika Saidina Umar RA menakluk Baitul Maqdis, Saidina Umar tidak pernah menzalimi orang Kristian dan Yahudi malah diberikan jaminan keamanan selagi mana mereka berada di Baitul Maqdis dan mengikuti syarat-syarat yang ditetapkan oleh pemerintah.

Ketika Baitul Maqdis sekali lagi ditakluk oleh Salahuddin al-Ayyubi, orang Yahudi tidak pernah dihalau malah mereka bebas untuk mengamalkan agama dan budaya serta diberikan hak yang sama seperti orang Islam. Itulah yang diteruskan oleh pemerintahan Islam selepas itu sehinggalah keruntuhan kekuasaan Islam pada tahun 1924.

Mereka lupa bahawa yang menzalimi dan membunuh orang Yahudi adalah Nazi di Jerman dan negara-negara Eropah yang lain sehingga lahirnya istilah anti-semitik. Majoriti penduduk di Eropah ketika itu adalah penganut agama Kristian, jadi dari mana pula datangnya naratif yang mengatakan orang Arab dan Islam menzalimi orang Yahudi?

3. NasDaily juga ada mengatakan bahawa, “Israel perlu wujud dan Palestin juga perlu wujud, dan jika ada yang mengatakan Israel adalah sebuah negara haram, ia adalah hujah yang dangkal (stupid argument).” Melalui hujah ini juga kita dapat lihat bahawa NasDaily mencuba untuk menghidupkan kembali idea two-state solution yang sebenarnya tidak lagi relevan pada pandangan masyarakat dunia.

Kenapa two-state solution tidak lagi relevan?

Kerana Israel sendiri yang memungkiri perjanjian Oslo 1995 ini dengan membina lebih banyak penempatan haram di Tebing Barat, di mana kawasan ini adalah di bawah pemerintahan Palestinian Authority (PA). Two-state solution juga dianggap sebagai salah satu cara untuk Israel dan sekutunya melambatkan pemberian hak-hak yang sepatutnya diberikan kepada rakyat Palestin dan ia digelar sebagai managing the peace but not resolving it.

Palestin tidak akan boleh untuk hidup bersama dengan Israel kerana Israel adalah penjajah yang telah menjalankan dasar Apartheid terhadap rakyat Palestin seperti yang telah dilaporkan oleh Amnesty International sejak awal mereka menjajah tanah Palestin lagi

Melihat kepada penutup video tersebut, dia mengatakan bahawa kita perlu keluar dan berkawan dengan musuh supaya kita dapat melihat sisi baik yang dilihat olehnya. Benarkah perjuangan rakyat Palestin di Gaza adalah satu tindakan ekstremis? Jika diperhatikan dengan teliti, Gaza telah dikepung selama 15 tahun dan keadaan ini menyebabkan akses seperti pendidikan, ekonomi dan kesihatan tidak diperolehi secara optimum oleh rakyat Palestin di Gaza. Dalam masa yang sama, Israel berterusan menikmati kecukupan keperluan hidup seharian dan tanpa segan silu terus menjarah hak milik rakyat Palestin. 

Secara konklusinya, video yang telah dikeluarkan oleh NasDaily ini telah memanipulasi beberapa perkara yang penting:

i. Apabila NasDaily menyebut soal ekstremisme, dia hanya menggambarkan rakyat Palestin yang memegang senjata seolah-olah mahu menyerang Israel.

ii. Apabila NasDaily cuba untuk meletakkan Palestin dan Israel sama rata, dia terlepas beberapa fakta penting iaitu:

– Nisbah banduan di penjara Israel adalah seorang Israel bersamaan dengan 5000 rakyat Palestin dan seramai 200 orang banduan Palestin adalah banduan di bawah umur 16 tahun.

– Israel mengawal seluruh kawasan sama ada darat, air mahu pun udara.  

Perjuangan membebaskan Palestin dan Baitul Maqdis ini bukanlah perjuangan yang sia-sia. Keamanan di dunia akan dapat dicapai sekiranya Baitul Maqdis ini dibebaskan daripada sebarang penjajahan yang mencemarkan kota suci ini. Rasulullah SAW telah merangka pembebasan Baitul Maqdis seawal zaman kenabian lagi dan rancangan ini tidak terputus selepas Rasulullah SAW wafat, malah ia diteruskan oleh Saidina Abu Bakar RA dan Saidina Umar RA. 

Begitu juga ketika Imaduddin Zenki menyampaikan kesedaran tentang pentingnya pembebasan Baitul Maqdis kepada orang Islam dan cita–cita ini diteruskan oleh Nuruddin Zenki dan direalisasikan oleh Salahuddin al-Ayyubi. Musuh telah menggunakan cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW untuk membina strategi melawan kembali umat Islam. Antara kaedah yang digunakan ialah dengan melemahkan kita melalui perhambaan intelektual (intellectual slavery).

Kita perlu membebaskan akal kita dengan ilmu pengetahuan yang bermanfaat dan manfaat ini digunakan untuk membebaskan Baitul Maqdis.  

Rujukan:

  1.  Data on casualties. (2020). Data On Casualties. United Nations Office for the Coordination of Humanitarian Affairs – Occupied Palestinian Territory. https://www.ochaopt.org/data/casualties
  2. El-Awaisi, A. F. (2021), Buku Emas Baitul Maqdis, Institut Al-Aqsa
  3. Phillips, G. (2018, September 19). Antisemitism: How The Origins of History’s Oldest Hatred Still Hold Sway Today. The Conversation.
  4. Andrews, J. (2020). The World In Conflict : Understanding The World’s Troublespots. Economist.
  5. Amnesty International. (2022, February 1). Israel’s Apartheid Against Palestinians: Cruel System of Domination and Crime Against Humanity. Amnesty International.

Ditulis oleh:
Muhd Haikal Luqman Bin Zulkefli
Eksekutif Penyelidikan & Advokasi
Persatuan Cinta Gaza Malaysia

Scroll to Top