La Convivencia: Merealisasikan Andalusia di Palestin 

Ditulis oleh:
Nur Sabrina Binti Suhaimi
Eksekutif Penyelidikan & Advokasi
Persatuan Cinta Gaza Malaysia

Pemerhati konflik Palestin dan Israel percaya sebuah negara baharu atau one state yang menggabungkan entiti Arab dan Yahudi wajar dibangunkan di tanah suci itu sebagai usaha menghentikan keganasan yang berlanjutan sejak 1948.

Namun, adakah idea ini sudah cukup kuat untuk dua budaya dan agama bersatu dalam negara yang sama? 

Tingkah Israel yang tiada empati dengan nasib rakyat Palestin – kehilangan tanah kelahiran, dihalau keluar, dan dibunuh tanpa alasan munasabah, sudah cukup menyimpulkan bangsa Arab dan Yahudi mustahil dapat hidup secara harmoni di dalam sebuah negara. 

Kehidupan di Palestin jauh berbeza dengan Andalusia yang pernah mengecapi era kegemilangan yang mana menyaksikan keamanan dan kesepakatan hati di antara Kristian, Yahudi dan Islam. 

Pada ketika itu, sikap menuding jari tidak wujud dan tiada pertumpahan darah berlaku seperti yang disaksikan dunia di Palestin. Mereka memiliki nilai peradaban yang tinggi dengan menyantuni agama dan budaya masing-masing.

Jika pun gabungan bangsa Arab dan Yahudi berlaku, era la convivencia merupakan zaman terbaik bagaimana sebuah negara memiliki pelbagai budaya serta agama dapat bergerak seiring di bawah pemerintahan Islam sehingga menaikkan nama Andalusia ke mata dunia.

La Convivencia di Andalusia

Convivencia merupakan terma popular diperkenalkan oleh ahli sejarawan, Amercio Castro yang merujuk kepada co-existence – kewujudan atau kehidupan bersama.

Siapa sangka Andalusia (kini: Portugal dan Sepanyol) yang dibuka oleh Tariq bin Ziyad bersama Musa bin Nusair pada 711 M pernah melalui era la convivencia di bawah pemerintahan Islam selama lebih 700 tahun. 

Sejarah Bani Umayyah bertapak di Andalusia bermula apabila kerajaan Bani Umayyah bertapak di Cordova dan diketuai Abd Rahman Ad-Dakhil (Abd Rahman I)

Hasil pemerintahannya menumbuhkan Andalusia menjadi sebuah negara yang ampuh daripada serangan puak Kristian dan paling stabil di semenanjung Iberia. Tidak cukup dengan itu, sebagai seorang pemerintah yang terpelajar, Abd Rahman I giat menyebarkan ilmu pengetahuan serta menjadikan Cordova sebagai sebagai pusat perkembangan ilmu, kesenian dan kesusasteraan di seluruh Eropah. 

Titik mula era la convivencia telah dikenal pasti melalui sikap toleransi Abd Rahman I terhadap penganut Kristian dan Yahudi di Andalusia. Difahamkan beliau menyediakan hakim khusus untuk orang Kristian dan Yahudi bagi menangani masalah sesuai dengan ajaran agama masing-masing.

Sebagai rekod, sebelum kedatangan orang Islam, kaum Kristian dan Yahudi terlebih dahulu menjadi penduduk di negara itu kerana penaklukan pelbagai kuasa dan bangsa – suku kaum Eropah, Barbar, orang Phoenecia, orang Romawi, dan seterusnya Visigoth.

Disebabkan sikapnya yang bertoleransi dan orang Islam sangat beradab tinggi, budaya Islam menjadi satu ikutan dalam kalangan orang Kristian dan Yahudi. Malah, agama Islam dipandang tinggi ketika itu.

“Al-Andalus was a melting pot for civilizations and cultures. Each unit developed its own persnality, whilst choosing to belong to a whole, which was Arab/Muslim.”

Tingkahnya ini juga terkait dengan pemerintah Andalusia ke-4, Abdul Rahman Al-Mutawassith (Abd Rahman II) menggiatkan pembinaan sekolah-sekolah dan Universiti Cordova ketika pentadbirannya (822M-852M).

Tidak cukup dengan itu, keharmonian hubungan masyarakat di Andalusia juga kerana para pemerintah Khalifah Umayyah menggalakkan ahli fekah, alim ulama, ahli falsafah dan ahli syair ke Cordova tanpa mengira latar belakang mereka untuk ‘memeriahkan’ perpustakaan-perpustakaan yang dibangunkan dengan tujuan sebagai pusat penyelidikan dan tempat pertemuan para cendekiawan dari seluruh pelusuk dunia.

Hal yang sama juga diaplikasikan ke dalam bidang masing-masing di mana mereka bebas untuk menterjemah dan mengajar sesuatu ilmu berdasarkan bahasa pegangan.

Misalnya, sejarah telah merekodkan bahawa seorang doktor berbangsa Yahudi, Hasdai Ibn Shaprut pernah merawat pemerintah Andalusia ke-5, Abdul Rahman An-Nashir (912M-961M) dan pada masa yang sama telah menterjemah kajian berkaitan perubatan ke dalam bahasa Latin, Arab, Frank, dan Ibrani.

Maka tidak hairanlah jika ketika itu banyak bahan bacaan dan kajian dihasilkan di dalam pelbagai bahasa kerana kesungguhan pemerintah dalam mengetengahkan konsep toleransi dalam kalangan ilmuwan dan masyarakat telah mengangkat nama Andalusia.

La Convivencia di Palestin – Sebuah Jawapan?

Umum mengetahui Palestin masih belum bebas dari jajahan Israel walaupun pelbagai usaha telah dilaksanakan demi membebaskan negara yang menyaksikan banyak sejarah Islam.

Ketika majoriti percaya Palestin mula dijajah pada 1948, rekod menunjukkan negara ini sebenarnya sudah menjadi sasaran Israel sejak 1897 ketika World Zionist Organization ditubuhkan dengan misi mendapatkan tanah Palestin untuk orang Yahudi.

Hal ini berpaksikan kepada janji Tuhan terhadap keturunan Bani Israel:

Musa berkata kepada orang Israel, “Tuhan akan membawa kamu ke tanah orang Kanaan, yang telah dijanjikan-Nya kepada kamu dan nenek moyang kamu”. – (Exodus, 13:11)

Janji ini juga ada disebut di dalam al-Quran;

“(Nabi Musa berkata lagi): “Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya); dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang-orang yang rugi (di dunia dan di akhirat)”. – (Al-Maaidah, 5:21)

Bagaimanapun, kaum Yahudi dan kerajaan Israel masih ‘bermimpi’ kerana gelaran mereka sebagai bangsa terpilih sudah tidak lagi sah memandangkan golongan fasik ini sudah terputus daripada nasab sebenar mereka, Nabi Yaakub AS.

Mewujudkan la convivencia di Palestin adalah tidak mustahil. Namun, perlu ada kesepakatan antara kedua-dua pihak: Israel dan Palestin, terutama daripada pihak yang memilih penindasan untuk mendapatkan tanah suci itu. 

Mengapa? Jawapannya: Kekerasan bukanlah satu kemerdekaan. 

Bagaimana sesebuah negara dianggap merdeka jika penduduk asalnya masih menjadi pelarian, ditindas, disekat haknya, serta dibunuh tanpa sebab munasabah?

Pada ketika ini, sikap toleransi dilihat berpotensi tinggi untuk bermula dengan hal pertama – penghapusan perjanjian-perjanjian yang telah termeterai dan deklarasi yang diumumkan. 

Misalnya penghapusan Perjanjian Oslo yang menjadi tunjang kepada rancangan penubuhan dua negara di Palestin (two state); dan Deklarasi Balfour 1917 yang menjadi titik mula kepada pencerobohan Israel di negara itu:

“His Majesty’s Government view with favour the establishment in Palestine of a national home for the Jewish people.”

Tidak cukup dengan itu, Israel perlu berhenti paranoid dengan kehadiran penduduk Palestin yang majoritinya beragama Islam kerana mereka hanya mempertahankan tanah itu sebagai hak mereka. 

Ketakutan Israel jelas dibuktikan apabila pasukan pertahanan dan orang Palestin mengangkat senjata, mereka membalas serangan dengan kekasaran (memukul, mengugut, memaksa wanita menanggalkan niqab dan purdah) atau pembunuhan, kononnya mereka telah ditindas.

Lebih tidak masuk akal, Israel juga takutkan dengan bendera Palestin sehingga seluruh penduduk tanah suci itu diharamkan untuk mengangkat bendera negara mereka bermula awal Jun 2022.

Difahamkan tindakan mengibarkan bendera Palestin adalah simbolik kesungguhan rakyat Palestin yang tidak mengalah menuntut kemerdekaan dan ini memberi ancaman kepada tentera Zionis;

The flag battle is not about the flag per se, but about the legitimate existence of Palestinians in their homeland.

Sudah tiba masanya untuk Israel menerima kenyataan bahawa tanah Palestin bukan milik mereka dan tiada sebab untuk mereka menolak solidariti yang diketengahkan oleh penduduk tempatan negara dan umat lain seluruh dunia.

Seperkara lagi yang boleh diambil contoh dalam membentuk Andalusia di Palestin ialah perihal pentadbiran di negara suci itu. Jika pemerintahan Palestin menjadi milik Israel, sesuatu yang harus mereka lakukan adalah memastikan majoriti jawatan di dalam pentadbiran diserahkan kepada pemimpin berkelahiran negara itu. Melalui cara tersebut, pentadbiran Palestin berpotensi untuk mewujudkan sebuah negara yang harmonis sebagaimana Andalusia pernah capai.

Pun begitu, harus dilihat bagaimana Bani Umayyah memutuskan untuk menyerahkan sebahagian jawatan dalam pentadbiran kepada pemimpin Yahudi, bukan Kristian:

Christians, of course, did not hold any positions of power since there were far fewer of them in al-Aandalus, and the Muslims were at war with the Christians. This afforded the Jews a certain unique position in society. They were not considered the enemies by either the Muslims or the Christians. They were indeed, “neutrals,” having their services utilized by both Muslims and Christians.

Era kegemilangan Andalusia membuktikan agama Islam dan seluruh penganutnya bukanlah satu ancaman. Jika tidak, mengapa golongan Kristian dan Yahudi pada ketika itu cukup mengagumi keindahan budaya Islam sehingga menjadikan ia satu cara hidup yang sebenar?

Sikap terbuka dan toleransi yang diamalkan oleh pemerintah Bani Umayyah di Andalusia telah membuka mata ramai orang bahawa diskriminasi atau rasisme sebenarnya tiada ruang untuk bercambah dalam sesebuah komuniti selagi mana ada kesefahaman budaya dan agama. Sekaligus ini menyokong kuat dengan satu dakwaan daripada Sanaa Osseiran di dalam bukunya, Cultural Symbiosis in al-Andalus;

Culture can play a role in peace-building and conflict resolution when it has the ability to develop, adapt and modify certain exclusive features which may cause fear … This is how culture and cultures can become a bridge toward conflict prevention and resolution.

Idea menjadikan Palestin sebagai one-state atau menghadirkan la convivencia di negara itu bukanlah satu paksaan atau kemestian untuk dijadikan satu realiti. 

Namun tidak mustahil ia mampu menjadi rangka kerja ke arah kemerdekaan Palestin, lagi-lagi puak Yahudi dan Islam di negara itu pernah hidup aman damai sebelum menjadi sasaran Israel. 

Sudah terlalu lama Palestin berada dalam cengkaman Yahudi-Israel dan sudah masanya untuk umat Islam seluruh dunia bersatu hati mencari jalan dalam membebaskan Palestin. 

Penulisan ini diharapkan dapat merancakkan perkongsian ilmu tentang Palestin, sekaligus menjadi sandaran atau rujukan untuk kemerdekaan negara suci itu. 

Adakah la convivencia jawapan untuk Palestin? 

Tiada perkara yang mustahil untuk mereka yang teraniaya. Semoga Palestin kembali bangkit!

RUJUKAN

Buku

Cultural Symbiosis in Al-Andalus

Kertas Kajian

Heine and Convivencia: Coexistence in Muslim Spain

Abdul Rahman Ad-Dakhil “Penerus Legasi Umaiyyah”: Kepimpinannya Pada Tanah Andalus

Achievements and Contributions of al-Andalus: Exploration of Material Culture and Science

Convivencia: Christians, Jews, and Muslims in Medieval Spain

Laman Sesawang

Perjuangan Dua Dekad Berakhir, Adakah Masafer Yatta Layak Untuk Israel?

Why is Israel so afraid of the Palestinian flag?

Before Zionism: The shared life of Jews and Palestinians

Remembering Granada: The Last Muslim Kingdom of Spain. 

Scroll to Top