55 Tahun Naksah: Adakah Kita Masih Kalah?

Kredit gambar dari laman web The Patriots

Ditulis oleh:
Muhd Haikal Luqman Bin Zulkefli
Eksekutif Penyelidikan & Advokasi
Persatuan Cinta Gaza Malaysia

Setiap tahun pada 5 Jun adalah tarikh penting yang diingati bukan sahaja oleh rakyat Palestin tetapi oleh semua umat Islam di seluruh dunia, di mana pada tarikh ini, ia adalah titik perubahan geopolitik di rantau Asia Barat. Negara- negara Arab kembali dihukum oleh Zionis Israel selepas kekalahan mereka pada tahun 1948 dan 1956. Kemudian, berlaku lagi perang di antara negara-negara Arab dan Israel pada tahun 1967 selama enam hari.

Bagi umat Islam, khususnya tarikh 5 hingga 10 Jun 1967 menandakan tahap paling rendah dalam sejarah kerana Masjidil Aqsa, Baitul Maqdis kembali terjajah setelah ia dibebaskan oleah Salahuddin Al-Ayubi pada tahun 1187. Sembilan belas tahun selepas peristiwa Nakbah, rakyat Palestin melalui satu lagi peristiwa pahit yang dikenali sebagai an-Naksah atau ‘hari kekalahan’.

Apa yang sebenarnya berlaku pada 5 Jun hingga 10 Jun 1967?

Pada waktu itu, Zionis Israel telah memulakan perang dengan serangan ketenteraan secara mengejut atau disebut blitzkrieg terhadap barisan pertahanan Mesir di Sinai dan Terusan Suez. Dengan serangan Israel yang dianggap cemerlang dan pertahanan Mesir yang tidak kukuh, maka mereka telah berjaya mengambil alih sebahagian besar tanah Arab. Mereka berjaya menjajah Tebing Barat dan Semenanjung Gaza, Sinai serta Tanah Tinggi Golan.

Selain itu, Israel juga berjaya mengambil alih sumber minyak di Sinai serta sumber air di Tebing Barat dan Tanah Tinggi Golan. Ini membuka peluang kepada Israel untuk terus membenarkan kemasukan imigran Yahudi dan membangunkan penempatan haram di tanah yang telah terjajah. Israel tanpa segan silu telah memulakan agenda pengyahudian (judaization) secara sistematik. 

Rancangan ini mampu berjaya kerana buat pertama kalinya Zionis memiliki akses penuh ke atas Baitul Maqdis yang menempatkan Masjidil Aqsa, di mana pada tahun 1948, Zionis hanya boleh menduduki di bahagian barat Baitul Maqdis saja. Ini menjadi motivasi buat Israel untuk mengalahkan tentera Arab. Tentera Israel memasuki Masjidil Aqsa yang mulia dan mencemarinya dengan pelbagai perbuatan biadap. Mereka bersorak menghina umat Islam dengan melaungkan Khaibar! Khaibar! Dan mereka menganggap pada hari tersebut penghinaan yang ditimpakan ke atas mereka oleh umat Islam di Madinah pada zaman Rasulullah SAW ditebus dengan jatuhnya Masjidil Aqsa di tangan Yahudi.

Apabila Mesir dan Jordan bersetuju mengadakan gencatan senjata yang telah diputuskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 8 Jun, seluruh Baitul Maqdis Timur dan Tebing Barat sudah pun diduduki oleh Israel. Syria juga memilih untuk patuh dengan gencatan senjata pada 9 Jun, namun Israel terus menceroboh wilayah Syria dengan menduduki ⅔ dari Tanah Tinggi Golan sehingga kini. Menjelang 10 Jun, Israel menguasai wilayah yang keluasannya dua kali ganda dari negara haram Israel didirikan ke atas wilayah Palestin pada tahun 1948. 

PBB juga bertindak meluluskan Resolusi 242 pada 2 November 1967 yang memutuskan Israel perlu berundur semula ke sempadan sebelum 1967 dan mengembalikan ‘sebahagian dari wilayah yang ditawan’. Namun Israel lebih licik dari itu apabila mereka menggunakan wilayah yang ditawan sebagai bahan tawar-menawar (bargaining chip) untuk mencipta perdamaian palsu melalui apa yang disebut sebagai pertukaran wilayah (land swap). 

Kekalahan tentera Arab ketika itu bukan sahaja memalukan mereka tetapi telah menyebabkan pengaruh mereka di Asia Barat semakin lemah dan ini telah digunakan sebaik mungkin oleh Israel untuk terus mengiktiraf negara haram mereka dan menghalalkan segala kezaliman terhadap rakyat Palestin. Buktinya selepas 55 tahun, Israel adalah sebuah kuasa geopolitik yang penting di Asia Barat berbanding Amerika Syarikat. 

Peristiwa an-Naksah telah menyebabkan negara-negara Arab mula berpecah dan hanya memikirkan kelangsungan politik dan sekali gus menyebabkan peristiwa normalisasi Arab-Israel yang berlaku dapat tahun 2020. Faktor kekalahan tentera Arab pada tahun 1967 juga adalah disebabkan matlamat tentera Arab yang tidak jelas kerana tentera Arab ketika itu hanya bertindak selepas wilayah mereka dirampas oleh Israel sedangkan sebelum tiba tahun 1967, mereka hanya berfikir untuk menjaga negara mereka dan bukanlah untuk membebaskan Palestin dari cengkaman penjajah. 

Melalui peristiwa an-Naksah ini, kita dapat melihat bahawa kebatilan yang tersusun mampu untuk mengalahkan kebenaran yang tidak sistematik. Tentera Arab ketika itu adalah tiga kali ganda berbanding tentera Israel tetapi masih tidak mampu untuk mengalahkan Israel malah beberapa wilayah negara Arab dengan mudah dijajah oleh Israel. Ini menunjukkan tentera Israel tidaklah kuat tetapi tentera Arab yang begitu lemah dalam menghadapi mereka. 

Selain itu, kepentingan politik didahulukan berbanding kepentingan ummah. Negara Arab yang terlibat seperti Syria, Jordan dan Mesir hanya bertindak apabila wilayah mereka mula dirampas oleh Israel kerana kawasan dirampas adalah kawasan strategik kepada sumber semulajadi seperti minyak dan air. Mesir dan Jordan adalah antara negara Arab yang paling awal menormalisasikan hubungan mereka dengan Israel sejak penubuhan negara haram tersebut pada 1948. 

Jadi, persoalan yang timbul, adakah umat Islam masih kalah?

Umat Islam tidak akan pernah kalah jika mereka terus bersatu merentasi sempadan negara, bangsa, mazhab dan warna kulit. Ini kerana bilangan umat Islam di seluruh dunia adalah sebanyak 26 peratus daripada populasi dunia dan bilangan umat Islam di Malaysia adalah sebanyak 61.3 peratus. Jika dinilai dari segi bilangan, umat Islam mampu mengalahkan Israel dalam hanya satu hari sahaja. 

Ini ditambah lagi dengan penganut agama lain seperti Kristian, Hindu dan Buddha yang menjadi pendukung kuat 3.12 juta orang rakyat Palestin sama ada di Tebing Barat atau di Gaza yang telah dinafikan hak kebebasan bersuara dan hak mereka sebagai penduduk asal di tanah Palestin. Selagi mana kita terus memberi kesedaran dan pendidikan kepada masayarakat tentang isu Palestin, maka isu ini tidak akan pernah padam malah akan terus mendapat tempat di hati mereka yang ternanti-nanti untuk beribadah di Masjidil Aqsa.

Scroll to Top