‘Arab Factor’ Yang Membawa Kehancuran Kerajaan Israel

Ditulis oleh:
Muhd Haikal Luqman Bin Zulkefli
Eksekutif Penyelidikan & Advokasi
Persatuan Cinta Gaza Malaysia

Politik Israel kembali berkecamuk apabila beberapa ahli gabungan parti yang dibentuk oleh Naftali Bennett dan Yair Lapid telah menarik diri dari gabungan tersebut dan meletakkan gabungan Bennett-Lapid ini bagai telur dihujung tanduk selepas mereka berjaya menjatuhkan kerajaan pimpinan Benjamin Netanyahu pada Jun 2021. 

Gabungan parti politik yang dibentuk oleh Bennett adalah sebuah gabungan berani mati seperti yang disebut oleh Mairav Zonszein, wartawan Israel, di mana dia banyak membuat liputan keadaan politik di Israel. Kenapa ia disebut sebagai gabungan berani mati? Kerana gabungan ini telah mengumpulkan parti politik yang berbeza ideologi dan prinsip parti-parti di dalamnya tidak sesekali dapat disatukan.

Kerajaan Bennett yang berhaluan tengah-kanan telah dijatuhkan dan pilihan raya akan berlaku pada penghujung bulan Oktober atau awal November. Satu realiti politik di Israel adalah kemungkinan untuk menubuhkan kerajaan yang kukuh kerana pilihan raya yang akan dihadapi oleh mereka nanti adalah antara Netanyahu dan anti-Netanyahu. Kedua-dua kelompok ini sangat sukar untuk menubuhkan kerajaan tanpa penyertaan parti Arab di Israel. 

Di dalam kerajaan Bennett, parti Ra’am, sebuah parti Islam yang mewakili populasi Badwi di Negev (Naqab) adalah king maker dalam mana-mana gabungan yang ditubuhkan dalam pentas politik Israel. Agenda Ra’am adalah untuk mempromosi dan mengangkat nilai konservatif agama dan menyediakan keperluan rumah dan perkhidmatan kepada sektor Arab di Israel.

Disebabkan pembawaan Ra’am yang konservatif, mereka lebih ‘selesa’ untuk berada dalam kerajaan yang dipimpin Netanyahu berbanding Bennett. Kerajaan Netanyahu sebelum ini mempunyai parti yang beraliran ultra-ortodoks dan haluan tengah manakala kerajaan Bennett yang berhaluan tengah-kanan dan liberal sekular. Ra’am dilihat mampu menjadi swing vote 

kepada mana-mana blok parti yang ingin menjadi kerajaan seterusnya. Walaupun Netanyahu ingin menjatuhkan Bennett, tetapi dia juga menyerang dan cuba mengharamkan Ra’am dengan menggelar Ra’am sebagai “parti pengganas Ikhwanul Muslimin yang anti-Zionis”.

Parti Arab Muslim yang lain seperti Joint Arab List tidak akan menyertai kerajaan gabungan yang diketuai oleh Likud, tetapi lebih memilih untuk bersama dengan gabungan Yair Lapid yang merupakan bakal menjadi Perdana Menteri Israel jika kemenangan berpihak kepada gabungan Blue and White. Cuma persoalannya, boleh atau tidak kemenangan berpihak kepada mana-mana gabungan tanpa penyertaan parti Arab?

Jika kita lihat kepada kerusi yang dimiliki oleh parti-parti di Israel, Likud hanya mempunyai 30 kerusi dari 120 kerusi yang dipertandingkan. Untuk membentuk kerajaan, Likud memerlukan 61 kerusi. Gabungan pimpinan Lapid pula dilihat mempunyai peluang yang cerah apabila Ra’am dengan 4 kerusi dan berkemungkinan Joint Arab List yang mempunyai 6 kerusi akan menyertai parti gabungan yang dipimpin Lapid. 

Jika kita lihat, pilihan Ra’am dan Joint Arab List untuk bersama gabungan yang dibentuk Lapid ini lebih memberikan kelebihan kepada kelompok ultra-Zionis Yahudi yang sememangnya mahu orang Arab dihalau dari Israel. Parti-parti Arab ini mempunyai pilihan sebenarnya untuk tidak memilih mana-mana gabungan dan memperkuatkan jentera parti mereka untuk memenangi hati orang Arab di Israel yang berjumlah hampir 2 juta orang, di mana mereka mewakili 30 peratus daripada keseluruhan rakyat Israel dan mungkin juga orang Yahudi yang bukan Zionis. 

Keberadaan parti-parti Arab di Israel bukanlah hanya sekadar ada, tetapi menjadi wadah yang melindungi orang Arab Palestin di Israel serta menjadi pencatur dalam politik Israel yang kian goyah akibat daripada pertelingkahan dalaman dan ideologi yang bertentangan dengan Zionisme. Kita yakin dengan usaha yang berterusan, parti-parti Arab mampu menjadi pesaing kepada parti-parti yang ada di Israel.

Scroll to Top